BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, October 27, 2010

PEMBACAAN KUTUB SITTAH SIRI 2

Saya cemburu kepada seluruh sahabat-sahabat yang mengikuti Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 2 di Nadi Riyadi hari ini.  



Sebenarnya, awal-awal pagi lagi saya telah bersiap menuju ke destinasi yang menjadi lokasi Majlis Pembacaan Kutub Sittah. Alhamdulillah, berjaya tiba di lokasi majlis dan selamat mendaftarkan diri di tempat urusetia. Sebaik mengambil tempat bersama anak-anak Negeri Sembilan yang lain, badan mula rasa lain macam. Selang lima belas minit, sakit ekoran kemalangan kelmarin mula menyerang. Seluruh badan terasa bisa-bisa dan menjadi amat sakit. Saya masih cuba bertahan, sayangnya kondisi kesihatan memang tidak mengizinkan. Akhirnya keputusan untuk tidak menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah hari ini terpaksa  diputuskan.


 Buah tangan yang diperolehi sewaktu pendaftaran

Sebaik membaringkan tubuh di atas katil, buku sederhana kecil yang diperoleh sewaktu pendaftaran tadi saya selak lembarnya satu persatu. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Sebuah hadith Nabi saw bersiponggang di telinga; "Apabila kamu melewati taman-taman syurga, minumlah hingga puas." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah saw, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu?" Nabi saw menjawab; "Majlis-majlis ta'lim (majlis ilmu)." -Hadith riwayat At-Thabrani.


Kitab Sahih Bukhari yang bakal dibacakan selama empat hari ( 27, 28, 30, & 31 Oktober 2010)

Dalam sebuah hadith yang lain, Nabi saw bersabda; "Apabila kalian berjalan melewati taman-taman syurga, perbanyakkanlah berzikir." Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah saw, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu?" Baginda saw menjawab; "Iaitu halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)."

Saya hanya mampu berdoa, semoga kesihatan akan bertambah baik, dan Allah swt mengizinkan tubuh kerdil ini untuk menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 2 pada keesokan hari. Saya juga turut berdoa, semoga Allah swt melindungi perjalanan Majlis Kutub Sittah Siri 2 kali ini daripada tangan-tangan yang cuba menggagalkannya. Amin.

Sunday, October 24, 2010

IFF DI MANA KITA SELAKU MAHASISWA?

Dengan nama Allah saya menulis entry kali ini setelah berulangkali memikir dan melakukan beberapa penelitian dan pembacaan terhadap isu yang sedang hebat diperkatakan. Suka saya ingatkan mereka yang membaca entry ini, saya menulis berdasarkan pandangan peribadi setelah mengambil kira beberapa perkara sebelum berani menyuarakan pandangan di sini. Dan saya bertanggungjawab secara penuh terhadap tulisan-tulisan saya di dalam blog yang tidak seberapa ini. Doa saya, mudah-mudahan pandangan insan kerdil yang kurang pengetahuan ini dapat memberi sedikit manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

Islamic Fashion Festival adalah singkatan daripada IFF yang akan saya ulas dalam entry kali ini. Saya, tidaklah berniat mahu mengulas panjang akan isu ini. Hanya ada beberapa perkara yang ingin saya utarakan dalam entry kali ini sebagai tanda rasa peduli terhadap isu ini. Semudah mungkin saya cuba  menulis mengenai isu ini bagi memudahkan kefahaman kalian yang membaca blog ini. Saya tidak akan mengulas hukum secara panjang lebar kerana saya yakin telah ramai yang berbuat sedemikian. Kalian boleh sahaja search di internet, merujuk kepada siapa yang berkenaan atau badan-badan berwajib mengenainya sekira mahukan hukum berkenaan.

Ke arah merialisasikan tahun kebangkitan mahasiswa sempena tahun ini, saya dengan rendah diri menulis isu ini.

Saya mengagumi pendirian PMRAM terhadap isu semasa yang berlegar. Tindakan PMRAM menganjurkan pertemuan malam tadi yang pada awalnya disebut sebagai program Munajat atau Solat Hajat Sempena Kutub Sittah harus diberi pujian. Ternyata, program malam tadi tidak sekadar solat hajat mahu pun munajat. Ada isu besar yang diangkat, dan banyak isu semasa yang sebelum ini hanya didengar sebelah pihak atau disebut sekadar dengar-dengar cakap orang menjadi jelas. Saya juga tidak mahu mengulas isu yang telah dibahaskan malam tadi.

Kembali ke titik asal tujuan entry ini ditulis; IFF dimana kita selaku mahasiswa? Tajuk ini saya pilih kerana saya melihat kepincangan beberapa perkara di dalam program KELAP mahu pun Solat Hajat Sempena Kutub Sittah malam tadi. Tidak mahu menunding jari pada sesiapa, sekadar mengingatkan sekali lagi: "Ini adalah pandangan peribadi saya terhadap isu yang berlaku." 

Melihat situasi tegang malam tadi, saya jadi terfikir satu perkara. 'Menjadi seorang yang alim (tahu dan faham sesuatu) itu lebih baik daripada menjadi seorang abid (kuat beribadah), dan menjadi seorang mahasiswa yang beriitba' (ikut dengan ada dalil) lebih baik daripada menjadi seorang mahasiswa yang bertaqlid (ikut tanpa dalil). Itu yang sempat saya suarakan kepada seorang sahabat yang duduk bersebelahan di dalam program malam tadi. Ucapan ini terlontar setelah melihat majoriti mahasiswa mahu pun mahasiswi menzahirkan emosi terhadap isu semasa yang dibahaskan malam tadi. 

Ya, saya setuju 100% dengan kalam penggulungan daripada presiden PMRAM; ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime yang menyatakan mahasiswa perlu berani dan tegas terhadap isu semasa yang berlaku. Berani dan tegas mahasiswa harus punya hujah-hujah yang menyokong setiap tindakannya. Ini poin yang saya gariskan untuk melanjutkan entry ini.

Saya bukanlah orang yang hebat pengetahuan dalam segala perkara. Tetapi saya sentiasa belajar untuk menjadi manusia yang bergelar hamba Allah yang benar melalui banyak perkara. Hasil muhasabah diri terhadap dua program semalam menemukan saya satu kesimpulan yang saya kira perlu saya utarakan di sini. Di kalangan warga mahasiswa Azhari masih ada yang kurang membaca. Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menunding jari pada sesiapa jauh sekali mahu menghukum keseluruhan mahasiswa Al-Azhar di bumi Mesir ini. Saya menilai dengan melihat sikap mahasiswa terhadap dua program malam tadi.

Saya berbangga dengan majoriti ustaz-ustaz (gelaran bagi mahasiswa Al-Azhar di sini) seperti presiden PMRAM, barisan pimpinan PMRAM dan ustaz-ustaz yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan amat baik apabila berhujah. Tetapi saya khuatir dengan minoriti mahasiswa dan majoriti mahasiswi yang lebih banyak menyepi. Buktinya, lihat sahaja dua program semalam (penilaian ini menurut pandangan peribadi saya). Perbezaannya begitu ketara apabila mahasiswa dan mahasiswi memberi respon terhadap isu semasa yang dibahaskan kelmarin. Tidak kurang juga ketika slot program KELAP berlangsung. 

Kita kurang membaca, mengkaji dan menulis, sebab itu kita tidak mampu menjadi seorang yang mampu berhujah seperti presiden, barisan pimpinan PMRAM yang lain. Mahasiswi terutamanya, kita lebih banyak bertaqlid tanpa mahu berittba' (ayat ini saya gunakan bukan untuk memukul rata semua mahasiswi). Tidak dinafikan, memang ada mahasiswi yang berkebolehan sama seperti mahasiswa yang telah saya sebutkan tadi. Tetapi jumlahnya amat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Justeru, apakah sumbangan yang mampu kita berikan untuk menangani isu ini? 

Kerana alasan ini, saya menulis entry ini. Bukan untuk menghentam atau menjatuhkan sesiapa, tetapi juga untuk ingatan diri sendiri selaku seorang agamawan yang bergelar mahasiswi. Sahabat-sahabiah yang dikasihi, sekiranya kepincangan kecil ini (membaca, mengkaji dan menulis) tidak mampu kita tangani, bagaimanakah nanti apabila kita berhadapan dengan masyarakat di tanah air yang semakin pandai dan banyak membaca penulisan yang entah apa-apa. Jangan biar agama kita terfitnah kerana kesilapan tingkah kita. Apa yang paling saya risaukan adalah jangan sampai ilmu yang kita timba di sini melaknat diri kita. Nau'u zu billahi min zalik.

Jadilah mahasiswa mahupun mahasiswi yang punya jati diri. Bertindak bukan atas dasar ikut-ikutan, tetapi bertindak atas hujah-hujah yang jelas bersandarkan sumber perundangan Islam yang sebenar. Kita pelangsung dakwah para nabi dan alim ulamak. Belajarlah dengan banyakkan membaca, mengkaji dan menulis. Jika tidak kita yang mengislah (membaiki) masyarakat dan membela Islam siapa lagi yang kita harapkan.

Membantah tindakan IFF biar ada dalil yang kuat dengan memikirkan cara mengatasi. Jangan hanya membantah dengan emosi yang berapi-api untuk masa waktu sekejap, kemudian layu setelah hari semalam berlalu. Masyarakat di luar sana khususnya di Malaysia  masih ramai yang  tidak celik agama. Mereka lebih banyak mengikut contoh yang ada di hadapan mata berbanding belajar dan mengkaji mengenainya. Tugas kitalah membetulkan kesilapan tersebut. Memudah kefahaman mereka terhadap agama Islam adalah tanggungjawab mahasiswa seperti kita. Seandainya kita masih kekal dengan sifat ikut-ikut, alangkah ruginya Islam. Usaha sahabat-sahabat juga dalam mengejar sehelai syahadah (sijil) Al-Azhar tidak memberi apa-apa manfaat melainkan untuk diri sahabat-sahabat seorang sahaja.

Suka saya sebutkan. Saya membantah IFF kerana terdapat dua perkara besar yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah disebutkan badan pengurus semalam.

Pertama: Kerana IFF bukan imej wanita Islam sebenar. Bantahan ini berdasarkan firman Allah swt; 
"Katakanlah kepada wanita beriman; "Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka, kecuali yang biasa terlihat (muka dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dada mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya yakni aurat mereka..." An-Nur: 31.

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang beriman; "Hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka ke seluruh tubuh mereka." Itu lebih mudah untuk mereka dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Sangat Pengampun, Sangat Penyayang." Al-Ahzab:59.


 Berdasarkan dalil-dali di atas, jelaslah bahawa Islam menggariskan aurat bagi seorang wanita Islam adalah:
  1. Memakai tudung yang menutup rambut serta melabuhkannya sehingga menutup dada.
  2. Memakai pakaian yang tidak ketat serta tidak menampakkan bentuk badan.
  3. Tidak menzahirkan perhiasan.
  4. Tidak bertudung seperti bonggol unta.
  5. Tidak boleh berpakaian tetapi seperti bertelanjang.
Ciri-ciri ini tidak dijaga dalam IFF. Malahan ia amat jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Kedua: IFF terang-terangan menghina Nabi Muhammad saw. Dan hukum bagi mereka yang menghina Nabi menurut pendapat ulamak adalah; (sekadar menyebutkan satu hadith dan dua pendapat ulamak, banyak lagi pendapat para ulamak selain daripada yang disebutkan)

Abdullah bin Abbas berkata; "Ada seorang lelaki buta yang isterinya selalu mencela dan memburuk-burukkan Nabi saw. Lelaki itu berusaha mengingatkan dan melarang isterinya agar tidak melakukan hal itu. Namun dia tetap melakukannya. Pada suatu malam isterinya mula mencela dan memburuk-burukkan Nabi saw. Oleh kerana tidak tahan dengan perbuatan isterinya, lelaki itu menikam isterinya sehingga mati. Keesokan harinya turunlah wahyu kepada Rasulullah saw menjelaskan kejadian itu. Lalu Nabi saw mengumpulkan kaum muslimin seraya bersabda: “Dengan menyebut asma Allah, aku berharap orang yang melakukannya, yang tindakannya itu haq (benar), berdiri”. Kemudian aku melihat, lelaki buta itu berdiri dan berjalan meraba-raba sehingga tiba di hadapan Rasulullah saw, dia duduk dan berkata , “Wahai Rasulullah, akulah suami yang melakukannya. Kulakukannya kerana dia selalu mencela dan memburuk-burukkan dirimu. Aku telah berusaha melarang dan selalu mengingatkannya, mamun dia tetap melakukannya. Daripada wanita itu aku dikurniakan dua orang anak yang cantik bagai mutiara. Isteriku amat sayang kepadaku. Akan tetapi semalam dia kembali mencela dan memburuk-burukkan dirimu. Sebab itulah aku membunuhnya“. Mendengar penjelasan ini, Rasulullah SAW bersabda, “Saksikanlah bahawa darah wanita itu halal.” Hadith Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i.

Hadis ini menegaskan bahawa darah orang yang menghina Nabi saw adalah halal. Dengan kata lain hukuman ke atas orang-orang yang mencela, merendahkan, memperolok-olok dan menghina Rasulullah saw adalah hukuman mati. Hukuman tersebut diucapkan oleh Rasulullah SAW secara langsung dan bukannya ijtihad (pendapat) para fuqahak mahupun ulama. Dengan kata lain hukumannya adalah pasti dan qath'i (tidak berubah).

Manakala Qadhi Iyad r.a berkata bahawa di dalam al-Quran, Sunnah dan Ijmak banyak dijelaskan tentang hak-hak Rasulullah saw; kehebatan, kebesaran, dan kemuliaan baginda saw. Oleh sebab itu, Allah mengharamkan perbuatan menyakiti Nabi saw seperti mana yang disebut di dalam al-Quran. Sehubungan dengan itu, semua ulamak tanpa khilaf menerima hukum bunuh bagi umat Islam yang memperkecil dan menghina Rasulullah saw.

Sesiapa yang menghina Rasulullah saw dengan menyebut kekurangan pada diri, keturunan, agama, gerak-geri baginda, atau pun membuat keraguan dengan suatu  niat tujuan untuk menghina dan mencela baginda saw atau memperkecilkan dan merendah-rendahkan baginda, hukumnya adalah dibunuh. Demikian juga sesiapa yang melaknat atau mendoakan sesuatu keburukan ke atas Rasulullah saw atau bercita-cita untuk memberi kemudaratan ke atas baginda atau menyebut sesuatu yang tidak layak bagi diri baginda (untuk mengeji diri baginda), maka para ulama dan ahli fatwa daripada kalangan sahabat baginda saw bersepakat mengatakan mereka harus dijatuhkan hukuman bunuh.

Manakala menurut kesepakatan ulamak mazhab Syafie, sesiapa yang menghina Nabi saw, jatuh hukum murtad ke atas dirinya. Hukuman baginya adalah sama seperti orang yang murtad iaitu diberi peluang untuk bertaubat dan sekiranya dia tidak mahu dan tetap dengan pendiriannya, hendaklah dia dibunuh. Sekiranya dia bertaubat, hendaklah dibebaskan walaupun dia mengulangi perbuatannya dengan syarat taubatnya itu mesti disertai dengan mengucap dua kalimah syahadah, dan menzahirkan taubatnya serta menyesal di atas perbuatannya yang melanggar hak Islam.

Daripada keterangan dalil-dalil dan pendapat ulamak di atas, saya mahu anda yang membaca entry ini membuat kesimpulan. Nilailah dengan telus isu IFF ini. Sebelum akhirnya, sekali lagi saya dengan tegas menyatakan pendirian diri selaku hamba Allah swt, umat Islam yang menyintai Nabi Muhammad saw dan seorang mahasiswa agama bahawa saya tidak akan berkompromi dalam perlanggaran hukum Syariat Islam. Mereka yang melanggar Syariat Allah harus diperangi. 

 Inilah wajah-wajah di sebalik IFF (melihat foto ini sahaja kita sudah boleh membuat penialaian)

Saya turut mencadangkan kalian yang membaca entry ini membaca web Saifulislam.com dan web Zaharuddin. Net untuk penjelasan yang lebih detail. Melalui entry ini juga, saya memohon maaf kepada mahasiswa dan mahasiwi Al-Azhar yang terasa hati dengan entry ini. Anggaplah ini satu teguran ikhlas daripada saya yang juga tidak memiliki pengetahuan setinggi mana. Tiada lain niat di hati kecil ini melainkan ingin melihat anda semua menjadi aset berharga untuk Islam seluruhnya.

Friday, October 22, 2010

NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH KAMU DUSTAKAN


Mahu menghayati ciptaan Tuhan! Itu alasan utama saya meninggalkan Kaherah beberapa hari yang lalu. Berhijrah daripada suatu tempat kepada suatu tempat yang lain itu sangat perlu untuk diri saya bagi membina semula struktur-struktur iman yang hampir layu. Niat saya tidak lain hanyalah  benar-benar mahu menghayati dan mengiktibari ciptaan Tuhan. Manakala doa saya sebelum dan sepanjang perjalanan, semoga dengan penghayatan yang benar-benar tulus akan bercambah serta mekar suburlah pohon-pohon iman, dan akan  hilanglah keangkuhan yang sering meraja di dalam diri.

Hijrah merupakan suatu sunah. Sirah Islam mencatatkan, Rasulullah saw dan para sahabat melakukan hijrah bagi membina kekuatan sebuah daulah Islamiah setelah dakwah Rasulullah saw ditentang hebat oleh penduduk musyrikin Mekah. Antara punca yang menjadi sebab penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat ke Madinah (ketika itu dikenali dengan nama Yatsrib) adalah;

  1. Hijrah merupakan perintah daripada Allah untuk mempertahankan Islam.
  2. Ancaman terhadap Islam semakin memuncak dan menjadi-jadi daripada penduduk musyrikin Mekah.
  3. Permintaan daripada penduduk Madinah sendiri supaya Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke negara mereka. Mereka memberi jaminan terhadap keselamatan Rasulullah saw dan para sahabat.
  4. Hijrah merupakan suatu strategi dakwah Rasulullah saw dalam memperkukuh dan menguatkan Islam ketika itu.

Kemuncak hijrah inilah seluruh umat Islam menyaksikan Rasulullah saw telah menjadi seorang pemimpin pertama dunia  Islam. Malah, hijrah turut mengubah nasib kaum Muslimin yang pada awalnya hanya merupakan sebuah kelompok kecil dakwah di bawah kepimpinan Rasulullah saw di Mekah. Ia kemudiannya menjelma menjadi suatu kelompok dakwah yang besar dan umat Islam  memiliki satu identiti politik antarabangsa yang boleh dibanggakan ketika itu. Kedudukan Rasulullah saw sebagai ketua negara berjaya menerapkan sistem pemerintahan berdasarkan wahyu. Ini menjadikan perundangan dan pentadbiran  sistem pemerintahan ketika itu amat bersistematik. Demikian hijrah memainkan peranan besar terhadap sejarah Islam.

Mengambil iktibar daripada sirah ini, perjalanan ke suatu tempat baharu saya mulai setelah memperoleh keizinan suami. Perjalanan ini merupakan sebuah perjalanan kehidupan yang lebih baik menurut saya berbanding perjalanan sebelum-sebelum ini. Dan benarlah, jika di permulaan niat kita betul, Allah pasti melorongkan nusrah. Begitu yang saya alami sepanjang tiga hari perjalanan.

Hari pertama, meski hanya menemani sahabat-sahabat melepas lelah seusai konvo di sebuah taman permainan, sebuah pengajaran saya perolehi. Ketika semua yang ada berada di dalam nubari suka, saya didatangi bisikan halus jauh di dalam diri; “Bagaimana seandainya saat gembira begini Allah mengutus malaikat mencabut nyawa saya? Akankah saya akhiri kehidupan ini dalam redha Tuhan? Apakah nikmat pinjaman hidup yang diberikan, telah saya sempurnakan sebaik-baiknya?” Menahan kegelisahan ini, saya mematikan hasrat untuk bermain dan membiarkan diri daripada terlalu suka. Lalu menggantikan perasaan dengan menyebut lafaz istighfar berkali-kali. Saya mahu pergi dalam keadaan yang diredhai. Saat ini diri menyedari, tiada sekali nafas harus terbiar tanpa mengingati Ilahi. Nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan wahai diri?

Perjalanan tiga hari cukup memberi erti. Saya bertemu sepasang suami isteri warga tempatan di sebuah taman menjelang senja. Sebuah kerusi roda, sepasang suami isteri, dan sebidang tanah yang ditumbuhi rumput hijau meruntun hati. Seorang isteri begitu setia menemani suami yang sedang terlantar sakit di atas tanah yang ditumbuhi rumput. Allah, betapa diri jauh merasa beruntung. Sesusah manapun hidup, kami masih tidak seperti pasangan tersebut. Insaf, sebak menggempur nubari. ‘Ya Allah, tiada lain yang aku mahukan saat ini melainkan Engkau peliharalah suamiku. Jadikan kami pasangan yang tidak berkeluh-kesah terhadap ujian daripada Mu.’

Menutup tirai kembara adalah saat yang tidak akan dilupakan. Seorang wanita dan kematian guru tauladan terbaik saya meneruskan kehidupan. Kegigihan seorang wanita di perhentian keretapi mencuit rasa. Barangkali dia ibu tunggal, balu atau janda. Kegigihannya memberi pengalaman kepada saya bahawa wanita bukan makhluk biasa-biasa. Demi membesarkan anak-anak, mereka akan berusaha sehabis kudrat untuk melihat anak yang pernah dikandung sihat dan tidak mengalami nasib yang sama seperti dirinya. Sekiranya wanita ini adalah satu contoh Allah mengajar saya akan makna hidup, saya mahu lahir menjadi wanita yang luar biasa. Dan hanya mereka yang berani menentang arus akan berhasil menjadi orang yang berjaya. Tauladan di hadapan mata, saya sematkan kejap ke dalam minda. Alangkah beruntungnya mereka yang memerhati setiap kejadian Allah dengan menjadikan ia sebagai guru dalam merentas laluan menuju Tuhan.

Setelah berlalu sebuah kehidupan, pasti kematian akan segera datang. Lalu di mana jasad ini akan ditempatkan? Peluang bertawasul dalam kembara mencari damai di persisiran pantai tidak disia-siakan. Alhamdulillah, berpeluang menziarahi ahli bait Rasulullah saw dan para wali. Hati terasa dekat apabila tarbiah Rasulullah saw dan para sahabat diiktibari, terasa jauh apabila syariat dibelakangi. Moga Allah menerima kepulangan saya nanti ke sisinya sebagaimana insan-insan mulia ini. Amin ya rabbal alamin.

SEMINAR DAN BENGKEL KELAP 2010

Sila klik untuk paparan yang lebih jelas.

Sunday, October 17, 2010

HASRAT YANG TERTANGGUH

Musafir saya di bumi Mesir bakal berakhir sedikit masa lagi. Bumi ini bakal ditinggalkan. Tidak tahu bila akan tiba pertemuan berikutnya setelah kepulangan ke tanah air nanti. Saat ini, dalam kotak fikir beranting idea mahu meninggalkan usaha terakhir kepada seluruh sahabat yang masih tinggal di bumi ini. Saya bukanlah seorang yang hebat atau yang boleh dibanggakan berbanding sahabat yang lain. Perjalanan hidup saya di bumi ini juga begitu sederhana. Hanya sahaja ia menjadi istimewa menurut saya setelah ranjau gelora yang melanda berjaya saya iktibari dengan membiarkah kalimah redha terpahat kukuh di jiwa. 

Julai lalu sebelum kepulangan ke Malaysia, saya pernah menyimpan hasrat mahu menyumbang khidmat kepada Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP). Saya kira, ia merupakan usaha terakhir untuk Persekutuan Republik Arab Mesir (PMRAM) sebelum kehidupan di tanah air saya mulai. Hasrat ini sempat saya suarakan kepada sahabat terdekat KELAP. Sayangnya, hasrat yang satu ini tidak kesampaian. Akur, ketentuan ini membuatkan saya berlapang dada. Saya optimis, hasrat saya hanyalah sebuah sumbangan kecil yang tidak akan memberi apa-apa impak melainkan ada yang sudi memenuhi dan mempelajarinya.

Hasrat ini tidak lebih hanya sekadar perkongsian pengalaman sepanjang saya berkecimpung dalam dunia perjuangan melalui mata pena. Ia lahir daripada hati yang terlalu ingin melihat lebih ramai golongan Azhari terjun ke dalam dunia penulisan setelah diri sendiri menghadiri rencam seminar dan bengkel penulisan di Malaysia sebaik berumah tangga. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya seorang teman hidup yang turut berjuang melalui mata pena. Barangkali, berkat meneliti dan memerhati perjalanan suami terhadap kerja-kerja yang melibatkan penulisan, penterjemahan dan penerbitan bersama sebuah syarikat penerbitan di Malaysia mencetuskan satu hasrat. Hasrat inilah yang masih kekal hingga ke hari ini. Hasrat yang telah tertangguh kerana ketiadaan ruang yang sesuai untuk dikongsikan.

Cinta terhadap penulisan tidak pernah pudar daripada jiwa saya. Meskipun kebelakangan ini, saya banyak mendiamkan diri, tidak bermakna penulisan telah saya abaikan apalagi tinggalkan terus. Saya masih menulis, hanya sahaja penulisan saya di masa mendiamkan diri lebih kepada mahu menghasilkan penulisan terbaik untuk tatapan pembaca karya-karya saya. Tempoh mendiamkan diri ini merupakan tempoh saya belajar berdiri sendiri secara penuh dalam dunia penulisan. Diajar bagaimana mahu menjadi seorang penulis yang tidak hanya menulis secara berkala atau menghadkan penulisan terhadap genre-genre tertentu.

Tempoh senyap ini juga menemukan saya pada kesungguhan menjadi seorang penulis. Melalui kesungguhan tersebut saya akan mampu berdiri, bahkan berlari dalam dunia mata pena. Tentunya mereka yang terlibat dalam membantu saya berjalan dan kadangkala berdiri dengan lebih yakin adalah usaha dan ketekunan suami terhadap kerja-kerja penulisan. Setelah banyak input masuk ke kotak minda, saya mula terfikir. Alangkah baiknya jika apa yang saya ketahui dapat dikongsikan bersama orang lain. Bertitik tolak daripada ini menyusullah hasrat yang telah saya sebutkan tadi.

Selama berada di Malaysia (sebaik Mesir saya tinggalkan pada Julai 2010), hasrat itu tidak pernah lagi saya fikirkan. Saya lebih banyak memikirkan tentang bagaimana saya ingin menjadi penulis sepenuh masa dengan melibatkan diri dengan penulisan-penulisan yang lebih besar dan mencabar. Saya mahu menjadi salah seorang daripada agamawan yang serba boleh dalam dunia penulisan. Lantaran itu, saya tidak pernah berhenti belajar memantapkan diri melalui segala cara dan pemerhatian. Ringkasnya, usaha saya ketika itu lebih tertumpu untuk diri sendiri dan tidak orang lain.

Tanpa diduga, rencana Allah menghendaki saya segera pulang ke Mesir kerana urusan pengajian. Sebaik melayari internet di Mesir kala itu, saya disapa oleh salah seorang sahabat KELAP yang menawarkan peluang menjayakan program KELAP yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi. Saya keharuan, betapa Allah sangat mengetahui apa yang pernah menghuni hati ini. Dan kerana itu, saya masih setia bertahan demi sebuah hasrat yang telah tertangguh. Saya percaya, apabila kita mengajar diri menulis kerana Allah di situ akan ada pertolongan Allah. Dan apabila kita memberi tanpa mengharapkan balasan, di situ akan lahir sifat qanaah (rasa cukup) biarpun kadangkala usaha kita tidak dihargai.

Sebentar tadi, telah terialisasi sebahagian hasrat saya dengan wujudnya sebuah pertemuan dengan mantan peserta KELAP di Rumah Kelantan Baru Kaherah. Meski yang hadir tidaklah penuh dewan, memadailah bagi saya dengan kuantiti yang sedikit tetapi punya jiwa yang bernyala-nyala untuk sebuah penulisan. Satu penghormatan juga saya kira, apabila salah seorang daripada yang hadir adalah wakil pelajar Merocco yang turut sama memerhati pertemuan perjalanan dunia penulisan di bawah seliaan Kem Latihan Penulis PMRAM.

Saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi terhadap perjalanan dunia penulisan di bumi Mesir ini. Tetapi sebelum menutup entry kali ini, suka saya memetik kata-kata seorang sahabat yang pernah menjadi salah seorang guru kepada saya dalam perjuangan mata pena; "Biarlah jika hanya tinggal seorang peserta yang ada kesungguhan dalam dunia penulisan di Mesir ini itu lebih baik. Sastera atau penulisan tetap akan terus hidup. Tidak akan mati ditelan zaman". Saya pula menambah; "Apa gunanya kuantiti yang ramai, tetapi menulis sekadar hangat-hangat tahi ayam." Moga Allah bantu diri kerdil ini untuk terus istiqamah berjuang melalui mata pena. Allahumma amin...amin..amin.

Thursday, October 14, 2010

MENERIMA TAKDIR DALAM RASA SYUKUR

10 Oktober 2010 saya selamat dinobatkan sebagai salah seorang graduan Al-Azhar. Alhamdulillah, perjuangan hampir tujuh tahun akhirnya membuahkan hasil. Tiada lain yang mampu saya ungkapkan saat ini melainkan puji-pujian atas takdir yang tercatat. Jiwa diselubungi nuansa sebak dan keharuan. Allah, akhirnya Engkau perkenankan hasrat arwah ayah. Sehari sebelum majlis, ingatan terhantar pada seraut wajah yang sudah tiga tahun meninggalkan kami sekeluarga.

"A.Y.A.H" Satu nama yang tidak akan mungkin kami sekeluarga lupakan. Tarbiah ayah mengajar kami adik-beradik menelan takdir dalam rasa syukur yang sarat. Tarbiah ayah juga menemukan kami bahawa Allah sentiasa dekat. Tarbiah ayahlah yang menyebabkan saya masih tetap berjuang meski sering dihempas badai  gelora yang amat hebat. 

"Allah itu sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Ayah tidak pernah impikan anak-anak ayah berjawatan besar dan hidup mewah. Cukuplah jika ilmu yang kalian timba boleh memberi manfaat pada diri sendiri dan orang lain. Ayah sudah cukup bersyukur."

"Alang pergi Mesir ya. Kat sana ada angah, tentu urusan belajar akan lebih mudah. Nanti ada rezeki boleh pergi haji sama-sama." 

"Dah cukup sekali. Lepas ini jangan balik lagi sampai habis belajar." 

Luruh air mata saya mengingati bait-bait kalimah ayah. Dia terlalu ingin melihat anak-anaknya berjaya di negeri Arab. Namun apakan daya, Allah lebih menyayangi ayah daripada kami. Ayah pergi sebelum sempat melihat saya atau angah berjaya di bumi ini. 

Hari ini, hasrat itu terpenuh tanpa ayah, suami atau tanpa keluarga meraikan kejayaan saya. Hanya sahabat terdekat sebagai pengganti ayah, suami dan keluarga. Lafaz hamdalah tetap menjalar ke seluruh urat nadi. Syukurlah, biar tanpa ayah, suami dan keluarga di sisi, Allah menggantikan sahabat-sahabat yang elok budi pekerti menemani. Kesedihan bubar saat mereka di sisi. Mereka hadiah Allah buat saya di sini. 

Biarpun suami dan keluarga tiada di sisi, saya tahu. Restu dan doa mereka tidak pernah putus. Itu lebih bererti buat saya. Rantaian doa-doa mereka adalah kekuatan yang telah menyuburkan obor perjuangan, rantaian doa mereka pelengkap tawakal sesudah benih usaha disemai, dan doa-doa mereka adalah baja yang menyuburkan sebuah bustan kejayaan saya hari ini. Tanpa doa-doa mereka, barangkali saya bukan diri saya yang hari ini. Lantaran itu, kejayaan ini bukan hasil usaha saya sendiri, tetapi ia sebuah usaha bersama. Moga kejayaan ini mampu memberi damai pada ayah yang telah pergi. Kejayaan ini buat mu ayah! Moga Allah menaungi ayah di bawah lembayung rahmat kasih sayang Nya. Terima kasih ayah kerana telah melorongkan jalan ini sebagai arah laluan hidup saya.

" Salam. Siti, Mu sihat ke? Mu dah nak konvo eh? Tujuh tahun mu duduk sana? Ya Allah, lamanya mu berjuang. Macam mana hampir tujuh tahun tu?" 

Satu mesej masuk di kotak facebook saya tempoh hari. Seorang sahabat yang pernah sama-sama menimba ilmu di Kelantan menyapa ramah. Saya terselingar. Bagaimana harus dijelaskan agar sahabat ini mengerti. Lambat-lambat jemari menekan kekunci;  "Susah nak jelaskan. Allah takdirkan saya belajar lama. Maaflah tak tahu nak terangkan macam mana. Situasi Malaysia dengan Mesir kontra. Mungkin mu kena datang sini, baru senang nak jelaskan =). Lama atau sekejap tidak lagi jadi persoalan. Yang penting, mohon doa darimu supaya ilmu yg saya timba berkat sepanjang hidup." 

Akhirnya jawapan itu terlontar menjadi balasan. Dalam hati, saya sama sekali tidak bermaksud mahu meninggi diri apa lagi berlagak sombong. Allah itu sangat mengerti, betapa saat itu saya tidak punya jawapan terhadap persoalan yang diutarakan. Tambahan pula situasi dua benua yang berbeza dalam bidang pengajian sering mengundang salah faham masyarakat terhadap golongan seperti kami.

Bagi yang menilai daripada zahir, akan tampaklah tempoh tujuh tahun tersebut lama. Namun bagi yang sudi menghalusi, akan tampak pula rahsia-rahsia Allah penuh hikmah tersembunyi. Lama itu suatu proses melahirkan saya menjadi manusia yang lebih terpuji. Lama itu suatu anugerah pengalaman daripada Ilahi yang tidak akan mampu dibeli. Lama itu suatu rahmat bagi saya mengenali diri sendiri.

Saya tidak menyesal, apa lagi malu dengan tempoh waktu yang telah ditakdirkan. Setiap manusia punya takdir yang telah tertulis, dan inilah takdir saya. Saya harus bersyukur menerimanya. Bukankah manusia yang tahu bersyukur disayang Allah dan para rasul? Sebaliknya manusia yang kufur dilaknat Allah, dibenci para rasul. Menyedari hakikat ini, saya bersyukur dan merasa beruntung. Syukur pada Mu ya Allah kerana telah memilih saya untuk menjadi insan terpilih melalui episod-episod kehidupan selama tujuh tahun di sini.

Dengan kejayaan ini, saya berdoa; "Ya Allah, jangan Engkau jadikan ilmu yang pernah kami timba sebagai fitnah kepada kami. Jadikanlah ya Allah, kejayaan ini sebagai titik permulaan bagi kami untuk terus menjadi pengemis ilmu. Bantulah kami ya Allah, mengamalkan ilmu yang kami pelajari dalam urusan kehidupan kami."

Monday, October 11, 2010

Testing 123