BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 27, 2011

KUASA PUJI MENGIKUT TEKNIK NABI

PAGI Rabu itu saya hadir ke Pusat Islam UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan perasaan sedikit gementar. Berbekal selawat dan surah Insyirah kaki melangkah masuk ke kawasan masjid UTM yang tersergam indah. Sudah lama tidak mengajar, apalagi terlibat dengan aktiviti seperti ini memang mengundang gugup dan sedikit resah di hati. Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. 
Sebahagian peserta Kem Generasi Qurani (Gen_Q 11)

Setelah melapor diri kepada pegawai Pusat Islam, saya dibawa masuk bertemu peserta-peserta Kem Generasi Qurani (Gen_Q 11) dan juga barisan fasilitator yang lain. Selesai bertaaruf ringkas, saya memilih untuk duduk di belakang barisan peserta yang telah diatur duduk dalam kumpulan masing-masing. Saat itu, slot pagi sedang dikendalikan oleh salah seorang pegawai Pusat Islam UTM. Menurut seorang fasilitator yang ada, aktiviti pagi yang bermula jam 8.30-9.30 merupakan slot wajib yang akan dikendalikan oleh pegawai Pusat Islam UTM.

Satu jam masa yang diperuntukkan untuk slot pertama pagi itu, saya hanya menjadi pemerhati. Pemerhatian menurut saya amat perlu untuk memudahkan kita berbahasa dan berusaha menunaikan amanah mengikut tahap keperluan seseorang. Itulah juga yang banyak dilakukan Nabi saw kepada para sahabat dan masyarakat sekelilingnya.

Satu jam berlalu. Sepanjang tempoh itu, saya perhatikan ada segelintir peserta yang tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang sedang disampaikan oleh pegawai Pusat Islam tersebut. Pandangan saya jatuh pada beberapa orang peserta lelaki yang berada di saf lelaki. Mereka bermain dan bergurau sesama mereka tanpa segan silu. Beberapa kali dimarahi dan dihukum pegawai tersebut, masih juga tidak menampakkan tanda mahu berubah. Terdetik juga di hati saya, apakah mereka ini pelajar yang nakal? Namun melabel atau menghukum mereka dengan gelaran itu adalah tidak adil sebelum terbukti kenakalan mereka.

Jam menunjukkan pukul 9.45 pagi. Sebaik selesai sarapan pagi, semua peserta diserahkan kepada fasilitator masing-masing untuk kelas hafazan al-Quran. Setelah diperjelaskan oleh pegawai tentang modul dan matlamat untuk slot kedua ini, saya masuk ke kelas. Masa untuk slot kedua tamat dengan baik meskipun ada beberapa orang pelajar mengantuk dan tidak menumpukan perhatian sepenuhnya.

11.30 pagi adalah slot ceramah. Fasilitator terpilih akan ditugaskan menjadi penceramah untuk tajuk tertentu. Hari itu, penceramah yang bertanggungjawab adalah seorang fasilitator lelaki. Beliau akan menghuraikan tajuk ‘Cinta Rasul’. Seperti pagi tadi, permulaan slot bermula dengan agak baik. Saya masih memilih untuk tetap menjadi pemerhati. Selain mahu menilai minat dan tahap peserta, saya juga perlu melihat cara dan gaya penyampaian fasilitator untuk memahami konsep kem yang sedang dijalankan.

Namun apa yang memeranjatkan ketika ceramah masih berlangsung, majoriti peserta bukan sahaja tidak fokus, pelajar yang bergurau dan bermain pagi tadi berlari mengekori dan menarik-narik baju fasilitator tersebut kerana mahukan gula-gula. Situasi ini mebuatkan suasana tidak terkawal. Daripada dua, tiga orang pelajar yang membuat perangai, bertambah menjadi jumlah yang lebih besar. Fasilitator atau ustaz yang ada cuba meleraikan, masih juga tiada perubahan.

Saya dapati, di kalangan peserta yang membuat perangai itu, ada seorang pelajar yang amat aktif atau istilah bahasa kurang baiknya ‘nakal’. Sekiranya fasilitator sedang berceramah, dia merupakan orang yang berani bermain, bercakap dan berlari ke sana ke mari sesuka hatinya. Ketika peserta diletakkan di dalam LDK (latihan dalam kumpulan), dia akan keluar kumpulan dan mengganggu peserta-peserta kumpulan lain.

“Saya pegang kumpulan pelajar tahap bawah, faham-faham sahajalah. Mereka itu nakalnya membuatkan saya rasa mahu lempang-lempang sahaja. Geram sugguh. Paling nakal pelajar yang bernama Fadzil. Saya cakap bukan dia dengar. Berlari ke sana kemari, ganggu kawan-kawannya yang lain. Tetapi kalau sebut tentang hafalan Al-Qurannya, dia seorang yang cepat menghafal.”

Saya kemaskan ingatan dengan memasukkan ayat positif terakhir luahan seorang fasilitator untuk mencari kunci mendekati pelajar yang bernama Fadzil tersebut. Memang saya akui, setelah hampir seminggu menjalankan amanah di Pusat Islam UTM itu, kenakalan peserta kem kadangkala menguji iman dan kesabaran. Dengan perangai peserta yang bising, panjat tembok masjid, bermain, berlari di dalam masjid (lebih-lebih lagi ketika ada jemaah luar) dan sebagainya benar-benar melatih diri agar lebih sabar. Namun di kalangan ‘kenakalan’ peserta-peserta, tiada pelajar yang mampu menandingi ‘kehebatan’ peserta yang bernama Fadzil tersebut.

Tengahari itu, kami berkongsi perkembangan pelajar yang diletakkan di bawah jagaan masing-masing. Boleh dikatakan, hampir semua fasilitator lelaki meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kanakalan peserta.

Sebagai seorang yang lebih tua, saya turut membuka mulut berkongsi pandangan, “Apabila kita melihat mereka, lihatlah mereka sebagai sebahagian daripada kita. Begitulah konsep dakwah yang diajarkan oleh baginda Nabi saw. Di dalam dakwah apabila kita melihat sesuatu, kita tidak boleh mengatakan, ‘Itu bukan kerja saya. Itu kerja ustaz dan ustazah’. Begitulah juga dengan peserta-peserta kem ini. Anggaplah mereka adik-adik dan anak-anak kita, jadikan mereka sebahagian daripada kita. Inshaallah saya yakin, mereka akan boleh menerima setiap teguran kita. Mari kita ikut cara Nabi Muhammad saw, baginda merupakan manusia yang paling banyak menghadapi masalah. Tetapi baginda tidak pernah sebut ‘masalah’. Kerana sebutan masalah itu merupakan satu doa, apabila berulangkali disebut, memang akan membuatkan kita bermasalah”

Kekuatan dan nasihat itu saya peroleh ketika berpeluang mengikuti kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot anjuran Tim Hadith Psikologi di hotel De Palma, Ampang pada 17 Disember yang lalu.

Tengahari itu juga, saya dipanggil oleh ketua pegawai program Gen_Q 11. Beliau memberikan amanah untuk saya menjadi penceramah pada keesokan hari. Tajuk yang diberikan adalah ‘Kelebihan Berzikir’. Saya menerima taklifan tersebut dengan hati yang cukup tenang, alhamdulillah. Dalam kepala, saya sudah merancang mahu menggunakan teknik Nabi Muhammad saw dalam mendorong pelajar corot. Corot yang dimaksudkan di sini, bukanlah corot dari segi akademiknya sahaja, tetapi juga akhlak dan peribadi seseorang. Wajah Fadzil terbayang. ‘Wahai Tuhan yang sangat penyayang, permudahkanlah.’

Sebelum semua peserta dibenarkan pulang petang hari itu, berlaku satu kemalangan yang agak mencemaskan. Seorang pelajar lelaki kakinya terseliuh kerana dihempap besi penghadang solat di ruangan wanita. Setelah diselidiki, ternyata pelajar yang bernama Fadzil tersebut turut terlibat dalam peristiwa ini.

Keesokan harinya ketika saya berdiri di hadapan barisan fasilitator dan hampir 100 orang peserta kem yang berumur 5-16 tahun, Fadzil masih nampak tidak mahu duduk diam. Saya melihat dia mengganggu kawannya dengan mengusik telinga dan beberapa bahagian anggota yang lain. Ketika melihat dia mahu berdiri, (mungkin mahu berlari) saya memanggil Fadzil.

“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.” Fadzil tersenyum-senyum mendengar pujian saya.

Saya menambah lagi, “Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu (Mawwaddah; kakak Fadzil merupakan peserta di bawah jagaan saya), kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat dengan menghafal al-Quran.” Fadzil terus tersenyum sambil mengangguk-angguk. Dia akhirnya duduk kembali di dalam saf sehingga saya selesai memberi ceramah dalam keadaan yang sangat baik. Peserta lain juga memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang saya sampaikan.

Petang itu ketika menanti imam masjid UTM mengimami solat Asar, masih ada beberapa orang peserta bermain dan bergurau. Saya mencari kelibat Fadzil, dia saya perhatikan memegang kertas hafalan zikir sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi. Allahu akbar, hampir menitis airmata saya. Dalam hati saya berdoa, ‘Wahai Allah, berkatilah anak-anak ini. Jadikan dia hamba-Mu yang paling baik.’

Sekali lagi saya tidak mampu menahan airmata ketika para peserta kem mahu pulang. 

Sebagaimana kebiasaannya, peserta lelaki akan menyalami fasilitator lelaki atau ustaz-ustaz mereka. Begitulah sebaliknya, peserta perempuan akan menyalami fasilitator perempuan atau ustazah-ustazah mereka. Sebaik semua peserta perempuan selesai menyalami saya, Fadzil datang memanggil nama saya. Saya menoleh, beliau menghulur tangan mahu menyalami saya. 

Memandangkan beliau baru berumur 9 tahun, saya rasa tiada salahnya saya menyantuni dia secara baik. Saya menyambut salam yang dihulur Fadzil. Tangan saya dicium Fadzil sambil berkata’ “Ustazah, terima kasih.” 

Keesokan harinya, ketika berada di dalam kelas hafazan, saya bertanyakan kakak Fadzil, bagaimana situasi Fadzil di rumah selepas dipuji semalam. Menurut Mawaddah, Fadzil merasa suka sekali apabila saya memujinya dengan berkata kepada keluarganya; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang budak baik.”


 Inilah Fadzil dan kakaknya Profesor Mawaddah

Kisah di atas hanyalah merupakan satu contoh kejayaan daripada penggunaan teknik Nabi Muhammad saw yang diajarkan di dalam kursus tempohari. Saya  telah menggunakan beberapa modul lembaran aktiviti untuk mendorong pelajar corot. 

Antara modul lembaran aktiviti yang telah saya praktikkan adalah hadith lembaran aktiviti  3 (Bila Pujian Patut Diucapkan), hadith lembaran aktiviti 5 (Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan), dan lembaran aktiviti 8 (Menaikkan Self-Esteem dengan memberi gelaran kepada pelajar mengikut kesukaan mereka). Kesemua modul atau teknik yang saya cuba membuahkan hasil yang luar biasa. Puji dan syukur hanya untuk Allah. Modul lembaran aktiviti 3 ini paling membekas di hati saya.

Dalam analisis hadith lembaran aktiviti 3, Nabi Muhammad saw memuji seorang sahabat yang melakukan perkara yang tidak disuruh. Boleh baca di sini.

Dalam kisah ini, terdapat beberapa prinsip yang harus kita faham.
Prinsip 1: Pujian/ penghargaan harus segera didahulukan daripada memberi ceramah
Saya segera memuji Fadzil sebelum menyelesaikan ceramah (ketika ceramah masih berlangsung).

Kebaikan memberi pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat adalah kerana:
-Supaya kita tidak lupa tingkah laku positif tersebut
-Supaya tingkah laku positif tersebut diulang-ulang
-Supaya orang yang mendengar tidak lupa
-Supaya dapat meninggikan maruah @ self esteem pelaku (kredit Puan Khairulaniza Khairuddin)

Prinsip 2: Apabila teknik dilakukan ditempat terbuka, kita harus puji secara terbuka
Dalam kisah ini, Fadzil berlari di dalam masjid, di hadapan peserta-peserta program dan fasilitator. Jadi, saya juga memujinya secara terbuka di hadapan para peserta program dan fasilitator.

Prinsip 3:  Pujian diberikan kepada perbuatannya, bukan dirinya
Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 4: Memuji satu orang, menyebabkan orang lain merasa termotivasi
Saya perhatikan Fadzil memegang kertas hafalan zikir, sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi.

Prinsip 5: Puji orang kecil di hadapan orang besar bagi menaikkan maruahnya
Saya memuji Fadzil di hadapan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazahnya (orang besar)

Prinsip 6: Daya usaha sendiri, diberi dorongan / apabila kita lihat dia membuat sesuatu yang baik tanpa disuruh, kita harus memujinya dengan kata-kata, “ Saya kagum dengan kerja kamu.”
Dalam kisah ini, saya memuji dengan kata-kata, “Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 7: Puji perbuatan pelaku dengan menyebut impaknya (action+impak)
“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.”
“Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu, kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat dengan menghafal al-Quran.”

Dengan menggunakan teknik Nabi Muhammad saw ini, saya telah berjaya mendorong Fadzil  tanpa disuruh menjadi lebih baik. Hasilnya adalah,
-Sementara menantikan imam mengimami solat Asar, Fadzil duduk menghafal zikir
-Fadzil datang sendiri menyalam dan mencium tangan saya sambil mengucapkan ‘terima kasih’
-Di rumah, Fadzil berkata; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik.”

Inilah sedikit pengalaman saya daripada menggunakan teknik Nabi Muhammad saw mendorong pelajar corot. Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd dan Tim Hadith Psikologi yang telah berusaha keras memperkenalkan pengajaran terbaik ini. Allah berkati kalian dengan pahala yang tidak kunjung putus. Terima kasih kepada suami yang mendesak saya hadiri kursus ini. Sesungguhnya benar setiap perlakuan, perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad saw mempunyai hikmah, pelajaran dan kebaikan yang tidak sedikit. Wallahu a’lam.

Saturday, October 22, 2011

SELAMATKAN AKIDAH


Liriknya indah. Lagunya juga sangat karib dengan jiwa. Terbayangkan, alangkah indah sekiranya ia berkumandang kala undang-undang Hudud dilaksana di Malaysia. Sudah di ulangkali dengar, masih juga tidak puas.
Selamatkan Akidah ~Gabungan Kumpulan Nasyid Malaysia

Ayuh kita bersama
Satu hati suara
Meluahkan rasa gundah di jiwa (Bazli Unic)
Gejala melanda Akidah Umat di cabar
Marilah kita pertahankannya (Mirwana)

Bersatu suara dan satu usaha
Bergandingan tangan menggapai cita (Ramai)
Tiada mustahil jika ummahnya
Teguh bersama
Dengan keizinan Allah Yang Maha Esa (Pian Saujana/ Hazamin Inteam)

Andainya warga bersatu
Kan gentar seteru
Angin sengketa pun tak kan mampu bertiup (Unic/ Zul Rabbani)
Keimanan yang utuh
Tidakkan mudah runtuh
Biarpun dihasut musuh-musuh agama (Munif Hijjaz/ Far East)

Mantap Aqidah
Kukuh Agama
Perkasa Ummah
Teguh Negara
Bersatu Jiwa
Tak kira warna kulit dan bangsa
Erti bersaudara (Ramai)

Marilah kita bersama zahirkan
Rasa keperihatinan
Dalam usaha selamatkan Aqidah Ummah (Ramai)

Ya Rabbi sallimna wa sallim imanana wa sallim tauhidana
Ulang rangkap kedua

Lagu: Isman Hijjaz
Lirik: Atie & edited by Munsyid

Friday, October 21, 2011

ISTIMEWA BUAT WANITA HAMIL (^_^)


ISTIMEWA untuk pengunjung blog Saat Jemari Bermain Kekunci dan rakan-rakan FB yang sedang hamil, saya kongsikan beberapa potongan wirid dan doa untuk kalian yang diambil daripada buku Mengatasi Masalah Hamil dan Kelahiran yang sempat dibaca sebelum keguguran tidak lama dahulu. Semoga bermanfaat. (^______^)

Doa Nabi Zakaria as untuk dikurniakan zuriat:

رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Maksudnya: "Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, Engkaulah Tuhan yang paling baik dalam memberikan waris."


Wirid bagi mengelakkan keguguran:

المحي
Maksudnya: "Yang memulakan kejadian".

*Banyakkan membaca zikir ini baik suami atau isteri yang sedang hamil. Sekiranya suami yang membaca, hembus atau sapukanlah kepada isteri yang hamil bagi mengelakkan keguguran.



Doa agar kandungan tidak cacat sepanjang tempoh kehamilan:

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa hamba-Mu".


Doa agar zuriat yang bakal lahir menjadi anak soleh/ solehah:

اللهم احفظ ولدي ماداما في بطني واشفه أنت شاف لا شفاء إلا شفاؤك لا يغادر سقما.اللهم صوره في بطني صورة حسنة وثبت قلبه إيمانا بك وبرسولك. اللهم اجعله صحيحا كاملا وعاقلا حاملا عاملا. اللهم طول عمره وصحح جسده وحسن خلقه وافصح لسانه وأحسن صوته لقرائة القرأن والحديث ببركة محمد صلى الله عليه وسلم والحمد لله رب العالمين

Maksudnya: "Ya Allah, peliharalah anakku semasa dia di dalam kandunganku ini, dan sembuh serta sihatkanlah dia, sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan melainkan dengan penawar-Mu, kesembuhan yang tiada meninggalkan kesan buruk."

"Ya Allah, jadikanlah dia sihat sempurna daripada dalam kandunganku ini dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera, tetapkan hatinya beriman dengan-Mu dan rasul-Mu."

"Ya Allah, jadikanlah dia sihat sempurna, cerdik, berakal dan berilmu serta beramal soleh."

"Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkan tubuh badannya, dan elokkanlah akhlak serta perangainya, fasihkanlah lidahnya dan elokkanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan Hadith dengan berkat Nabi Muhammad saw."

*Digalakkan membaca doa ini setiap kali selesai solat lima waktu.

Doa sewaktu bersalin:

حسبنا الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم
Maksudnya: "Cukuplah Allah bagi kami dan tiada daya upaya dan tiada kekuatan hanya karena pertolongan Allah yang maha agung."

Tuesday, October 4, 2011

SAAT MANIS BERSAMA BENGKEL KARYAWAN MUDA LUAR NEGARA

INI merupakan kali ketiga saya menghadiri bengkel penulisan Karyawan Muda Luar Negara anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) bersama DBP. Pertama kali dahulu di hotel Mandrin Court, Kuala Lumpur pada tahun 2007 dan kali kedua di hotel Ancasa, Kuala Lumpur pada tahun 2008. Manakala kali ketiga di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.  
Bengkel GKLN-DBP 2007

Ketiga-tiga bengkel yang dihadiri mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri. Jika pada tahun 2007, bengkel karyawan muda luar negara dihadiri oleh ramai penulis berstatus pelajar luar negara, tahun 2008 pula mencatatkan keseimbangan penulis dari dalam dan luar negara. Sementara pada tahun 2011 mencatatkan bilangan penulis yang sangat sedikit berstatus pelajar luar negara. Malah, boleh dikatakan tiada langsung. Sekiranya ada pun, hanya kami suami isteri yang telah menjadi bekas pelajar berstatus luar negara.

 Bengkel GKLN-DBP 2008 

Sugguhpun begitu, ia bukanlah bermakna bengkel kali ini hanya dihadiri oleh saya dan suami sahaja. Ada beberapa orang lagi pelajar daripada Institut Pendidikan Guru yang turut sama memeriahkan bengkel kali ini.

Seperti yang telah saya sebutkan dipermulaan tadi, setiap bengkel yang dianjurkan DBP dengan kerjasama GKLN mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri.
2007, bengkel penulisan Karyawan Muda Luar Negara dibanjiri penulis-penulis mapan dan professional untuk membimbing peserta dalam genre puisi, cerpen dan novel. Ia merupakan kekuatan bengkel tahun itu menurut saya. Manakala keistimewaannya pula, ada pada peserta yang hadir daripada pelbagai latar pengajian luar negara. Ada peserta daripada Ireland, Mesir, United Kingdom, Morocco, India, Indonesia, Malaysia dan lain-lain lagi yang berkongsi minat yang sama dalam bidang penulisan. Mohon maaf, saya tidak dapat sebutkan semua kerana sudah tidak ingat.

Masih terkenang-kenang di ingatan saya, bagaimana tegasnya bonda Zaharah Nawawi yang membimbing kami ketika itu. Beliau sangat tegas dan berdisiplin. Pernah beberapa orang sahabat lewat turun masuk ke dewan, mereka diberi peringatan tegas. Saya sendiri pernah dimarahi ketika menjawab soalan yang diajukan tentang karya yang sedang beliau bedah. Mulanya, agak tersinggung juga. Menurut saya, beliau tanya, saya jawablah. Tetapi dimarah pula. =)
 
Beberapa bulan usai bengkel, baru saya faham mengapa ketegasan dan disiplin amat penting untuk seorang penulis. Saya juga bersyukur dimarahi. Sekiranya tidak kerana marah seorang bonda kepada anaknya, tentulah tiada karya-karya saya di media perdana.

Puan Anna Balkis moderator bengkel 2008

 2008, perhatian kami lebih terfokus dengan pengkhususan genre cerpen yang dikelolakan penulis mapan Puan Anna Balkis. Belajar dengan beliau, banyak pemahaman penulisan yang sebelum itu awang-awangan menjadi terang dan jelas. Konsep santai tetapi padat yang disampaikan Puan Anna Balkis sangat memikat hati kami. Saya menjadi semakin gigih menulis selepas pulang ke Mesir.

Maka lahirlah antologi Cinta Dan Rona Kinanah, antologi Dalam Sepuluh Yang KuGelar Cinta dan beberapa karya lagi yang tembus di media cetak serta media perdana Malaysia. Paling mahal, satu karya yang pernah tersiar di Berita Minggu ketika itu mendapat komentar seorang penulis professional tanah air.

 Antara peserta bengkel GKLN-DBP 2011

Sementara 2011, bengkel anjuran GKLN bersama DBP sekali mencatat pengalaman manis apabila adanya ‘kelainan’ dalam bengkel ini.

Entah mungkin kerana ketiadaan peserta luar negara atau memang pihak DBP mahu mengumpul manuskrip untuk diterbitkan, bengkel kali ini mempunyai dua nama. Satu bengkel Karyawan Muda Luar Negara, satu lagi bengkel Perolehan Manuskrip DBP.

Menariknya bengkel kali ini, kami bertukar genre kepada penulisan manuskrip buku kanak-kanak dan remaja. Memang satu kelainan yang belum pernah ada dalam bengkel-bengkel sebelum ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari dengan penyusunan atur cara yang lebih santai tidak membebankan peserta berbanding bengkel-bengkel sebelum ini. Kami hanya mempunyai aktiviti di sebelah siang. Manakala waktu malam adalah masa untuk peserta memikirkan idea manuskrip yang mahu dibentangkan di hari terakhir nanti.

Susun atur cara bengkel kali ini dibahagikan kepada tujuh sesi. Sesi pertama adalah sesi Pengenalan dan Peluang Penerbitan, sesi kedua; Penerbitan Buku Kanak-kanak, sesi ketiga; Penerbitan Buku Remaja, sesi keempat; Bersama Penulis Kanak-kanak, Sesi kelima; Bersama Penulis Remaja, sesi keenam; Penyediaan Kertas Cadangan Judul dan sesi terakhir adalah sesi Pembentangan Kertas Cadangan Judul.

Di antara sesi-sesi tersebut, saya amat tertarik dengan sesi Penerbitan Buku Kanak-kanak dan sesi Bersama Penulis Buku Kanak-kanak.

 Antara contoh buku konsep kanak-kanak Bawal

Dalam sesi Penerbitan Buku Kanak-kanak, kami diperkenalkan dengan buku-buku konsep kanak-kanak yang berumur seawal setahun. Buku-buku sebegini juga dikenali sebagai buku Program Bacaan Awal (Bawal). Melalui buku konsep ini, kami dibimbing dengan cara bagaimana mahu berkomunikasi dengan kanak-kanak seawal setahun seperti mengenal objek, warna, tempat, binatang, bentuk dan sebagainya melalui buku yang ditulis.

Tidak pernah saya tahu sebelum ini ada buku sebegini. Ia sangat menarik. Tanpa perlu kanak-kanak tersebut membaca, isi kandungan buku-buku tersebut boleh sampai ke dalam minda mereka melalui bantuan ibubapa. Saya mula bercita-cita mahu menulisnya.

Puan Mahaya Yasin dalam sesi Bersama Penulis Kanak-kanak

Sementara dalam sesi Bersama Penulis Kanak-kanak, kami diajar dan dibimbing memahami psikologi kanak-kanak. Puan Mahaya Yasin mengajak kami berpantun, bergurindam, bernyanyi mengikut tahap akal dan sifat kanak-kanak.

Dua orang editor dan seorang pembantu editor yang bertanggungjawab bersama kami selama tiga hari program adalah Puan Khatijah Ismail (editor buku remaja DBP), Puan Azihani Md Mizan (editor buku kanak-kanak DBP) dan Cikpuan Norhamiza Mohd Tuharni (penolong editor DBP). Sementara Profesor Dr Faisal Tehrani pula bertanggungjawab mengendalikan sesi Bersama Penulis Remaja.

Puan Azihani Md. Mizan; editor buku kanak-kanak DBP

 Profesor Dr Faisal Tehrani, sesi Bersama Penulis Remaja

Di akhir bengkel, semua peserta diminta membentangkan  kertas cadangan judul manuskrip masing-masing mengikut kecenderungan ke arah remaja mahupun kanak-kanak. Saya memilih menulis manuskrip buku konsep kanak-kanak dan siri kisah Nabi untuk diterbtkan bersama DBP. Satu daripada manuskrip yang telah dibentangkan sudah hampir siap 90% untuk dinilai seterusnya diterbitkan bersama DBP. Mohon doa sahabat-sahabat agar ianya berjalan seperti yang dirancang!
Ini gambar sekitar program tempohari.

Tekun mencari idea untuk manuskrip yang bakal dibentangkan

Bertukar pandangan

Sesi pembentangan

 Editor dan penolong editor turut membantu beri pandangan

Friday, September 9, 2011

DIARI RAMADAN & AIDILFITRI 1432H

MALAM 29 RAMADAN 1432H
Hujan menimpa bumbung rumah kami dan tempiasnya mengenai telapak tangan saya. Seakan ia berbisik; “Aku menangisi pemergian Ramadan kali ini.”

“Duhai Hujan, kami turut sayu dengan berlalunya Ramadan.”

Saya duduk berdiam diri; cuba memahami bahasa alam yang bernama Hujan. Lantas buku ditangan ditutup untuk merenung lama hujan yang sedang turun dengan lebatnya. Tanpa sedar, air jernih turut mengalir di kelopak mata.

“Jika Hujan menangisi pemergian Ramadan, apatah lagi perindu-perindu akan hadirnya diri mu wahai Ramadan.”

Sebaik mungkin saya cuba memahami bahasa alam yang satu ini.

“Kadangkala, tarbiah dan petunjuk Allah tidak datang  secara terus kepada kita. Ia juga datang dalam bentuk bahasa alam dan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita.” Konklusi daripada pembacaan firman-firman Allah yang diimani saya kejapkan dalam diri.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata; “Tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami daripada azab api neraka.” Al-Imran 190-191.

Akur pada kebenaran firman ini, saya biarkan jemari bermain kekunci menaik status di ruangan fb. Tiada lain niat di hati melainkan mahu bersama berkongsi rasa yang sedang menjalar di nubari.

Mahasuci Allah, bahasa alam yang sedang cuba difahami bukan hanya saya yang merasai. Malah, beberapa orang sahabat lagi berkongsi rasa yang sama. Setelah berbalas dan berkongsi perasaan, akhirnya saya benar-benar merasai yang Sang Hujan benar-benar menangisi pemergian Ramadan.

Ramadan yang memberi erti
MENGENANG hari-hari Ramadan yang telah dilalui, saya mengucap syukur. Ramadan kali ini sangat memberi erti. Meski tidak lagi berpuasa di bumi Nabi (Mesir), kemeriahan Ramadan di sini sangat dirasai.

Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai seorang isteri.
Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai hamba Allah yang sedar diri.
Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai insan yang dibimbingi.

ANGKA perkahwinan saya dan suami mencecah tahun kedua. Meski pernah menerima kunjungan Ramadan di tahun pertama, kelainan dan meriahya sangat beda.

Di tahun pertama, pelbagai kesibukan melanda hingga adakalanya Ramadan terabai tanpa dicakna sempurna.

Memang Ramadan menjadi amat istimewa apabila kehadirannya difahami sempurna dalam penghayatannya. Maafkan kami kerana tidak cermat menerima Ramadan setahun lalu. Terima kasih Allah kerana memberi peluang bertemu Ramadan lagi di tahun kedua ini.

Ramadan seorang isteri yang ditemani suami di sisi adalah menjadi impian seluruh wanita muslimah. Itulah juga yang saya impikan selama bergelar isteri.

“Najwa nak makan apa lagi untuk berbuka?”
“Cukuplah dengan apa yang telah ada ini abang. Inipun sudah lebih dari cukup.”

Ramadan adalah bulan untuk kita belajar dan mengambil pelajaran. Dengan Ramadan, Allah memberi kita merasai bagaimana sukarnya saudara seislam yang susah menahan kelaparan.

Berbanding mereka, kita hanya merasai kepedihan perut menahan lapar sekitar 7-8 jam. Pun begitu, masih ramai yang tidak mahu belajar dengan pelajaran yang disusun Allah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan yang lebih menjimatkan bertukar menjadi pembaziran.

Statistik kajian menunjukkan masyarakat Malaysia melakukan pembaziran sebanyak 930 tan sehari di bulan puasa. Alangkah ruginya mereka yang menyambut Ramadan tanpa penghayatan. Na’u zubillahi min zalik.

Ramadan turut mengajar umat bergembira saat tibanya waktu berbuka sebagaimana gembiranya saudara seislam kita yang susah ketika bertemu sedikit rezeki sebagai makanan.

Hikmah ini merupakan satu pelajaran Allah untuk melatih kita menjadi hamba yang mensyukuri nikmatnya. Namun, kegembiraan sewaktu berbuka bukanlah membawa erti kita harus menjamu diri dengan makanan yang berlebihan. Memadailah untuk tenaga dan kesihatan badan bagi meneruskan ketaatan kepada Tuhan.

“Bagi orang yang berpuasa itu, ada dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan sewaktu bertemu Tuhannya.” –Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai seorang isteri yang tidak menyusahkan suami. Saya juga bersyukur mempunyai seorang suami yang sering menegur ‘keborosan’ dalam mengurus rezeki sepanjang menjalani hari-hari Ramadan.

ISTIMEWANYA Ramadan bukan ditutur oleh seorang manusia biasa. Tetapi ia diungkapkan sendiri oleh penghulu sekalian umat manusia; “Telah diberikan kepada umat ku di bulan Ramadan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelum ku, iaitu; 1- Di permulaan Ramadan, Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa yang Allah melihat kepadanya, nescaya dia tidak akan diazab selama-lamanya.
2- Bau mulut orang yang berpuasa ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
3- Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
4- Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepada ya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hamba Ku. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju rumah Ku dan kemuliaan Ku.”
5- Pada malam terakhir bulan Ramadan, Allah mengampuni dosa mereka semuanya. Seorang sahabat bertanya; “Adakah kerana malam itu Lailatul Qadar?” Jawab Rasullah saw; “Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada para pekerja yang bekerja? Apabila mereka telah selesai daripada pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah mereka.” –Hadith riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Baihaqi.

“Alang, tadi orang DBKL cakap pada lelaki itu; “Hai, awal dah beli makanan berbuka.” Tengok muka pun kita dah boleh tahu puasa ke tidak.”

Saya kerling jam di tangan yang baru menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Sebolehnya pandangan saya palingkan daripada lelaki yang dimaksudkan. Ramadan, bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga menahan daripada berburuk sangka sesama manusia.

“Semoga Allah memberi hidayah kepadanya. Sudahlah, mari kita pergi. Tidak baik berburuk sangka, nanti Allah murka.”

Saya akui, suasana Ramadan sangat sukar dirasai di Malaysia sekiranya kita sendiri tidak menghidupkannya. 
Pagi itu, saya menemani adik-adik ke Kuala Lumpur untuk beberapa keperluan. Kami menaiki komuter. Saya sangat rindukan suasana bacaan al-Quran di dalam pengangkutan awam seperti di Mesir. Namun tidak dijumpai di Malaysia. Baik ketika pergi mahu pun pulang, tiada seorang yang kami temui memegang mashaf menghidupkan Ramadan dengan membaca Al-Quran.

Kami cuba berbaik sangka, ‘semoga hidayah Allah akan memenuhi jiwa kalian.’ Perlahan, mashaf hadiah suami saya keluarkan daripada beg sandang.

Terima kasih Allah kerana menyedarkan diri akan kedatangan Ramadan. Sungguh saya bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai hamba Allah yang sedar diri.

JUMAAT terakhir sebelum hari raya tiba, UIA dan Kolej Kejururawatan Murni tutup menjelang tengahari. Kami sedikit lapang. Sehari sebelumnya baru saya sedari yang persiapan hari raya belum lagi dibuat. Dengan baju raya yang entah bagaimana, kueh raya, persiapan rumah dan lain-lain persiapan belum sempat kami sempurnakan.

“Kita ke rumah Tuan Fazla dahulu, kemudian pulang ke kampong. Selepas itu sekiranya sempat, kita ke Putrajaya.” Saya memberi cadangan kepada suami yang bakal menempuh perjalanan yang agak jauh hari ini.

Semuanya gara-gara tidak sedar yang Ramadan hampir benar ke penghujung.

Sungguh ini kali pertama saya benar-benar asyik menyambut tibanya Ramadan. Hamdalah mercup di tangkai hati. Semoga kami tergolong dalam mereka yang telah berusaha menghidupkan Ramadan kali ini.

Kami selamat tiba di Kuala Johol (kampong saya) hampir jam enam petang. Memandangkan tahun ini giliran beraya di sebelah keluarga suami, balik ke kampong saya sebelum hari raya tidak termasuk dalam perancangan kami.

Setelah diberitahu yang baju raya harus diambil di sana, kelam kabut juga jadinya. Kami hampir tidak ingat akan kain baju yang telah dijahit jiran sekampong Mei yang lalu. Alhamdulillah, ada juga baju raya kami.

“Macam mana ni? Macam balut nangka saja? Abang izinkan ke Najwa pakai baju macam ini?” Sengaja saya menduga suami.

Jujur, saya sedih melihat kain-kain hadiah semasa perkahwinan kami dua tahun yang lalu menjadi baju yang tidak menepati syariat. Aidilfitri semakin karib. Saya walang jeda merenungi dua pasang baju yang sudah tidak mungkin dapat dipakai ketika hari raya yang bakal tiba.

“Anggaplah baju itu ujian. Mungkin Allah nak suruh Najwa bagi pada orang lain. Redha sudahlah. Abang tidak kisah tentang duit. Duit kita boleh cari. Kalau kita letak diri kita dalam orang susah, kita ini sudah jauh lebih baik daripada itu. Bersyukurlah dengan apa yang ada.”

Saya menangis. Kalau tadi kerana sedih kain-kain pemberian insan istimewa diperlakukan sedemikan rupa. Kini bertukar keharuan dan bersyukur dengan teguran Allah melalui suami yang menutur kata.

Benarlah Ramadan kali ini sangat memberi erti. Terima kasih ya Allah kerana dengan Ramadan syaksiah diri dapat dihalusi. Terima kasih ya Allah kerana Engkau melengkapkan kehidupanku dengan kehadiran seorang lelaki bernama suami. Terima kasih ya Allah kerana Engkau mengizinkan diri menyambut Ramadan sebagai insan yang dibimbingi.

Untuk kesekian kalinya, kami tiada berhenti mengutus doa semoga Ramadan yang telah dijalani diterima Allah dan turut diberatkan timbangan amal kebaikan menuju syurga Allah nanti. Juga semoga akan dipertemukan lagi dengan Ramadan yang akan datang. Allahumma amin…amin…amin.


AIDILFITRI 1432H
SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati masyarakat Arab ketika itu menyambut dua hari raya. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw tentang dua perayaan yang dirayakan, mereka menjawab bahawa dua hari raya tersebut diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah saw menyatakan kepada orang Arab Madinah; “Islam menggantikan dua hari raya yang lebih bermakna iaitu Aidiladha atau Hari Raya Korban dan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah”. –sumber hasil kajian kertas kerja di internet.

“Hari raya adalah hari kemenangan.”

Saya yakin, kita semua sudah kerap mendengarnya. Tetapi siapakah yang layak merayakan hari kemenangan tersebut?

Mereka yang menang adalah mereka yang keluar daripada madrasah Ramadan dengan tidak menderhakai Allah swt. Mereka adalah pemenang yang layak menerima sebuah piala Aidilfitri.

“Baju raya aku tahun ni 5 pasang.”
“Raya tahun ini kami akan beraya sakan.”
“Untuk raya sahaja bajet mencecah ribuan. Setahun sekali, bila lagi nak betul-betul beraya.”
“Hari raya pertama-hari raya ketujuh ada rancangan best di televisyen. Mesti tonton, rugi kalau tak tengok.”

Allah, berapa ramai manusia sebegini di hari raya? Mereka memahami tafsiran hari raya mengikut hawa nafsu sendiri. Hakikatnya, mereka tidak layak sama sekali merayakan Aidilfitri. Mereka biadab dengan Allah swt. Mereka meletakkan Aidilfitri lebih besar daripada Ramadan, mereka bukan pemenang tetapi mereka petualang yang dimurkai Allah. Merekalah insan keluar daripada madrasah Ramadan, tetapi tidak diredhai Allah. Na’u zu billahi in zalik.

Aidilfitri adalah hari kembali kepada fitrah. Disiplin sepanjang sebulan Ramadan harus kekal di jiwa setiap hamba yang menjalani tarbiah Ramadan. Malah, diri wajib lebih baik daripada sebelumnya. 

Sekiranya dalam Ramadan kita ahli al-Quran yang membaca al-Quran, berlalunya Ramadan kita harus berubah kepada ahli al-Quran yang bukan hanya membaca al-Quran, tetapi juga memahami isi kandungan dan bersedia melaksanakannya dalam kehidupan harian.

Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap tarbiah Ramadan.
Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap zakat fitrah yang dikeluarkan dengan tujuan meringan beban persaudaraan.
Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap kejayaan menjadi ahli al-Quran. Allahu akbar! Allahu akbar, besarnya kemenangan sebuah madrasah Ramadan.

Saya tunduk muhasabah diri sewaktu dingin pagi solat Aidilfitri. Sungguh Ramadan membuatkan kehadiran Aidilfitri lebih bererti. Doa saya, semoga Ramadan dan Aidilfitri tidak sekadar tradisi, tetapi keduanya difahami teliti dalam membentuk diri menjadi hamba Allah yang lebih terpuji dan diredhai. 

"Salam Aidilfitri buat semua pengunjung teratak Saat Jemari Bermain Kekunci;
تقبل الله طاعتك
Semoga Allah menerima amalan ketaatan kamu
واتم بالعيد فرحتك
dan menyempurnakan hari rayamu dengan kegembiraan
واقر عينيك بنصر امثك
dan menyejukkan matamu dengan kemenangan umatmu."

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos