BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 6, 2012

HIDAYAH ALLAH TIDAK MENGENAL USIA

PAGI tadi, saya duduk menadah telinga mendengar bicara seorang pensyarah UTM, ustazah Norhafizah Musa. Tiada yang lebih membahagiakan apabila Allah memberikan kita ruang berkumpul dan berkongsi ilmu yang bermanfaat dan kisah tauladan yang menginspirasikan untuk terus menjadi hamba-Nya yang terbaik. 

Perbincangan tentang keluarga menjadi topik hari ini. Di tengah perkongsian, ustazah Norhafizah berkongsi suatu kisah berkenaan hidayah. Saya tidak mampu menahan airmata, terasa jantung berdebar dan berdegup kencang. 



Kerana kisahnya amat menusuk kalbu, saya memilih untuk berkongsi di teratak ini. Semoga ianya bermanfaat untuk kita bersama. Saya berdoa setelah mendengar kisah ini, "Wahai Allah, berkati anak ini dan limpahkanlah rahmat serta kasih sayang-Mu berterusan bersama dirinya. Wahai Allah, semoga bakal anak-anak kami juga nanti seperti anak ini. Menegur dan mendoakan kami apabila kami tersasar daripada jalan lurus menuju-Mu."

Inilah kisahnya...
Suatu hari selepas saya memberikan satu pengisian di dalam slot bersama remaja, datang seorang remaja darjah enam duduk di meja saya.

"Ustazah, doakan saya dapat 5A dalam UPSR."
"Inshaallah, 5A UPSR."

Selepas saya berkata sedemikian, dia masih tidak berlalu pergi. Dia tetap duduk sahaja dekat dengan meja saya.

Katanya lagi, "Ustazah, ini serius tahu?"
Saya senyum sambil berkata, "Ya, saya tahu. Memang UPSR 5A daripada dahulu hingga sekarang. Atau bukan sudah 5A lagi sekarang?"
"Ustazah ini beriya-iya mahu berdoa, tetapi tidak pula bertanyakan nama saya."

Saya mula merasakan, anak ini serius dengan kata-katanya. Saya bertanyakan namanya. Setelah diberitahu nama, dia berkata lagi, "Ustazah mesti doakan saya dapat 5A ya."
"Boleh ustazah tahu, mengapa kamu bersungguh-sungguh mahu ustazah doakan?"
Dia menyambung lagi, "Ustazah, saya meminta untuk didoakan agar dapat 5A dalam UPSR kerana saya mahu menuntut hadiah daripada ibu saya. Ibu tidak tahu lagi, apa hadiah yang saya mahukan."

Dalam fikiran saya, tentulah hadiah yang dimahukan seperti basikal, PS2, video game dan yang seumpama dengannya. 

"Boleh kamu berkongsi dahulu dengan ustazah, hadiah apakah yang kamu mahukan daripada ibu kamu sekiranya kamu mendapat 5A?"
"Ustazah, saya harus dapat 5A. Kerana sekiranya saya dapat 5A, saya mahu tuntut hadiah daripada ibu supaya dia menutup aurat dengan sempurna, memakai tudung."

Pada ketika itu juga, saya menadah tangan berdoa, "Wahai Allah, Engkau mendengar luahan hati anak ini. Sekiranya dengan 5A boleh menjadi penyebab ibunya mendapat hidayah-Mu, Engkau berikanlah 5A kepada anak ini wahai Allah."

*Hidayah Allah tidak pernah mengenal usia. Kadangkala, seorang anak mendapat hidayah terlebih dahulu daripada ibunya. Oleh kerana itu, mohonlah hidayah Allah dengan airmata, bukan air liur. Jangan pernah berhenti berdoa sebelum hidayah Allah menghuni jiwa. Kasih Allah lebih luas daripada kesalahan dan kealpaan diri kita. Pengampunan Allah pula lebih besar daripada dosa yang pernah kita lakukan. Sungguh Allah itu dekat, apabila kita berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos