BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 21, 2010

AIDIL ADHA TERAKHIR

KERIPUHAN
SAYA benar-benar keripuhan. Sudah berhari-hari cuba mencuri masa untuk update blog, namun ada sahaja aral yang tiba. Detik waktu yang berlalu di bumi Nabi Musa a.s kini terasa amat mencemburui saya. Masih banyak urusan yang harus diselesaikan sebelum kepulangan ke tanah air. Saya mohon berbanyak-banyak kemaafan kepada sesiapa sahaja yang ternanti-nanti entry terbaru di teratak saya ini. Juga saya mohon berbanyak-banyak maaf kepada sesiapa yang menegur (melalui sms, ym, fb dan lain-lain), mahukan bantuan atau sebagainya andai permintaan mahupun keinginan kalian tidak terlayan.

Tidak pernah terfikir, akan seripuh ini di hujung kembara. Benarlah satu kata-kata bijaksana; “Apabila kita didatangi waktu sibuk, baru terasa waktu lapang itu suatu anugerah yang amat berharga”. Waima demikian, insyaallah dalam ruang dan masa yang amat terbatas seboleh mungkin saya akan tetap menulis demi memenuhi niat dan azam saya terhadap blog baru ini. ‘Seripuh apapun, blog akan tetap saya update untuk tujuan manfaat pembaca-pembaca tulisan saya’.




AIDIL ADHA TERAKHIR
Memilih untuk tidak berhari raya di ARMA mahupun Rumah Negeri adalah suatu keputusan sukar yang telah saya lakukan sempena Aidil Adha kali ini. Sementelah diri berada di hujung kembara, perasaan tidak enak sering sahaja menghuni relung jiwa. Di ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiah Kaherah @ Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah), saya punya teman serumah yang baru sahaja tiba daripada Malaysia. Membiarkan sahabat itu sendiri, terkapai-kapai menambah gusar yang sedia ada. Sedang membiar adik-adik senegeri tidak dijenguk juga bukan tingkah biasa saya. Meski adik-adik bersilih ganti, dan saya semakin tidak dikenali. Mereka tetap perlu saya ziarahi. Memperkukuh ukhwah suatu yang dianjurkan dalam agama. Tidak mengambil kira usia tua mahupun muda.

Sesukar menelan liur yang pahit ketika disapa demam, akhirnya saya terpaksa memutuskan. Aidil Adha kali ini tidak di ARMA, tidak juga di Rumah Negeri. Untuk mengelakkan salah satunya berkecil hati, saya memilih Aidil Adha bersama seorang sahabat yang tinggal serumah dengan teman-teman daripada negara jiran; Thailand. Lokasi rumah sahabat yang strategik memudahkan saya untuk berulang-alik. Dalam sela waktu tertentu, saya pulang menjenguk teman serumah di ARMA, dan berziarah adik-adik di Rumah Negeri Sembilan Kaherah.


Ternyata, Aidil Adha kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Di rumah sederhana kecil sahabat saya ini, mawaddah dan sakinah merimbun di celah pohon-pohon persahabatan yang baru berputik. Kuntuman ukhwah mekar dengan semaian benih kerjasama untuk persiapan Aidil Adha keesokan harinya. Malam raya, kami bersengkang mata menyediakan juadah untuk teman-teman yang bakal berkunjung ke rumah sederhana kecil sahabat saya ini keesokan hari. Sememangnya jika di Malaysia, masyarakat negeri-negeri Pantai Timur menyambut Aidil Adha tidak kalah seperti kebanyakan negara Arab seperti di Mesir. ‘Lebih meriah, lebih bermakna’ menurut saya dari kebanyakan kata-kata orang. Pengalaman itu yang saya rasai ketika bersama seluruh teman-teman serumah sahabat saya ini.

Meski tiada seorangpun daripada kalangan teman serumah yang akan melakukan amalan sembelihan binatang korban, hikmah dan makna Aidil Adha itu sendiri telah kelihatan daripada kuntuman ukhwah yang baru mekar dalam diri setiap ahli rumah sahabat saya ini. Betapa tidak, ibadah sembelihan korban itu jika dinilai berdasarkan hablu minallah (hungan dengan Allah), ia dilakukan kerana ketaatan seorang hamba Allah untuk Tuhannya.  Sebagai tanda syukur atas nikmat Allah yang telah melebihkan rezeki kepada umat manusia.

Manakala, hikmah melakukan amalan korban dari sudut hablu minannas (hubungan sesama manusia) pula, ia dilakukan untuk memperteguh persaudaraan antara umat Islam yang kaya dan yang kurang berkemampuan. Tanpa hati yang bersih, mana mungkin golongan kaya akan menyanggupi untuk mengorbankan harta mereka demi melakukan suatu amalan penyembelihan binatang korban. Ini kerana untuk menyembelih satu-satu binatang korban memakan belanja yang tidak sedikit.  Hanya mereka yang memiliki jiwa yang tulus dan hati yang suci akan menyanggupi perkara ini. Daging korban itu pula, apabila diagihkan akan mengeratkan ikatan persaudaraan di antara umat Islam. Ia mampu merapatkan jurang di antara yang kaya dengan yang kurang berkemampuan. Itulah hikmah yang jarang diselongkar oleh masyarakat dalam melakukan sembelihan binatang korban.

Sementara sirah Aidil Adha yang amat masyhur wajib menjadi teladan luhur kepada setiap umat Islam yang mengimani Tuhannya.

Korban Nabi Ibrahim a.s bukan korban biasa. Ia merupakan korban seorang manusia. Korban seorang manusia yang amat disayangi setelah lama baginda mendamba kepada Tuhannya yang hanya dikabulkan kala lanjut usia. Nabi Ismail a.s putera kesayangan Nabi Ibrahim a.s dan saidatina Hajar yang dinantikan sekian lama. Saat putera itu bisa membantu keluarga, dia harus dikorbankan. Segalanya dilakukan kerana ketaatan juga ketakwaan kepada Tuhannya. Malah, kronologi ini telah dinukilkan di dalam lembar al-Quran;

“Wahai Tuhanku, anugerahkanlah aku seorang anak yang soleh.” As-Saffat: 100.

“Kemudian, kami beri berita gembira kepadanya dengan kelahiran anak yang sangat sabar iaitu Ismail a.s.” As-Saffat: 101.

“Ketika anak itu cukup umur, Ibrahim berkata; “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi aku telah menyembelihmu! Bagaimanakah menurut pendapatmu?” Ismail menjawab; “Wahai ayahku, lakukanlah sebagaimana yang telah diperintahkan Allah kepadamu! Dengan izin Allah engkau akan mendapati aku seorang yang sabar.” As-Saffat: 102.

“Ketika keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas keningnya untuk melaksanakan perintah Allah, kelihatan amat nyata kesabaran kedua-duanya.” As-Saffat: 103.

“Lalu kami panggil dia; “Wahai Ibrahim!” ” As-Saffat: 104.

“Sesungguhnya kamu telah mempercayai mimpi itu benar daripada Allah swt. Sesungguhnya Kami memberi balasan kepada orang-orang yang membuat kebaikan.” As-Saffat: 105.   

Menerusi Aidil Adha ini harus kita ketahui, bukan cebisan daging atau titisan darah yang Allah mahukan. Tetapi sebuah pengorbanan ketakwaan kita sebagai kayu ukur seorang yang mengaku beriman kepada Tuhan. Itulah pengorbanan harta, jiwa, serta kesatuan membantu mereka yang serba kekurangan dalam nurani dan hati yang bersih untuk kemaslahatan bersama umat Islam.

Saya menahan air mata saat khutbah Aidil Adha membicarakan tentang pengorbanan saidatina Hajar singgah di telinga. Sirah ini juga tidak harus dilupakan. Kala Nabi Ibrahim a.s akan meletakkan saidatina Hajar di bumi Mekah yang kering kontang ketika itu, beliau sempat bertanya kepada Nabi Ibrahim berkali-kali; “Tidakkah kasihan kepada Ismail a.s yang masih kecil?” Sesudah pertanyaannya tidak dijawab baginda Ibrahim a.s, beliau lalu bertanya soalan yang berbeza; “Apakah ini perintah daripada Allah?” Lalu setelah diiyakan baginda Ibrahim a.s, beliau lalu berkata; “ Lakukanlah perintah Tuhanmu.”

Tawakal yang bertabung di jiwa Hajar berasaskan iman, takwa dan keyakinan yang jitu  terhadap Tuhannya. Tawakal itu yang telah melahirkan qanaah (rasa cukup), lantas mentarbiah kalbunya mensyukuri nikmah (nikmat). Dia merelakan dirinya berpisah dengan suami tercinta demi Tuhannya. Tabungan tawakal itu juga telah menukarkan wajah kota Mekah sehingga menjadi kiblat utama umat Islam sedunia hari ini. Allahu akbar! Saat itu saya segera membingkis doa di dada agar semangat Hajar ini turut menular di jiwa lantaran berjauhan dengan suami tercinta serta kehilangan zuriat yang kami nantikan sekian lama. Moga Aidil Adha terakhir di bumi Nabi ini benar-benar melengkap kesempurnaan diri bergelar hamba.

MEMORI TERAKHIR SEMBELIHAN KORBAN 1432H
Siapa berusaha, dia pasti berjaya. Alhamdulillah, keinginan yang satu ini terpenuh dengan bantuan rafik akrab abang saya; Ustaz Muhammad melalui lensa sahabat-sahabatnya. Atas permintaan juga, saya publishkan potret-potret kenangan terakhir penyembelihan binatang korban sempena Aidil Adha terakhir di bumi Mesir di sini. Jazakumullah khairal jazak kepada yang menghulur pertolongan sehingga potret-potret ini selamat berada di dalam simpanan saya. Moga Aidil Adha kali ini benar-benar memberi impak kepada kita semua, amin. Buat akhirnya, inilah potret-potret kenangan terakhir yang sempat diabadikan sempena Aidil Adha yang lalu untuk tatapan bersama.


Antara binatang yang akan dikorbankan sempena Aidil Adha di sini;

1. Kambing biri-biri.


2.Lembu.



 3. Unta.



Detik-detik penyembelihan binatang korban sempena Aidil Adha; 

Pisau yang tajam bagi mengelakkan binatang korban disakiti dan ia juga menjadi syarat sahnya korban yang dilakukan.


 Aksi menjinakkan binatang korban.


Masih tetap berusaha menenangkan unta yang bakal dikorbankan.



Alhamdulillah, berkat usaha bersama.
  

 Dengan nama Allah yang sangat pengasih lagi sangat penyayang.



Moga darah yang mengalir bakal menjadi saksi di akhirat kelak bagi pemilik-pemilik setiap bahagian korban unta ini.  



Berbahagialah unta ini menuju Penciptanya kerana telah menjadi sembelihan korban bagi orang-orang beriman.





Juga kambing biri-biri ini.


Friday, November 12, 2010

BARAKALLAHU LAKUMA

Hari ini, adik lelaki saya Abd Hadi bin Abd Ghaffar selamat melangsungkan akad nikah. Selamat menempuh alam rumah tangga wahai adikku.

Sabar menanti upacara akad nikah.

Masuk kali ini sudah empat kali saya tidak berpeluang hadir ke majlis akad nikah adik-beradik. Kak Long Noor Aini Binti Abd Ghaffar; ketika itu saya baru menjadi mahasiswi di Perlembahan Nil ini. 

Angah Fadhil Noor Bin Abd Ghaffar; saya sedang jalani peperiksaan di sini.

Anjang Noor Amirah Binti Abd Ghaffar; juga saya sedang jalani peperiksaan di sini.

Terbaru, Uda Abd Hadi Bin Abd Ghaffar; urusan tamat belajar saya di sini masih belum sepenuhnya selesai.

Tidak mengapalah, hidup sebagai seorang musafir memang begini. Ada rezeki baru bisa pulang. Biarpun saya tidak bersama kalian, doa tetap sering saya utuskan. Alhamdulillah, berpeluang menatap gambar-gambar pernikahan Uda dari kejauhan. 

"Aku terima nikahnya..."

 
Penyerahan mas kahwin.



Selamat bergelar suami isteri.


Moga akan thabat dan tabah lalui alam rumah tangga.


Foto bersama sebilangan kecil anggota keluarga.


Moga kehadiran seorang lagi menantu bonda akan lebih menyerikan keluarga kami. Buat pasangan mempelai; 'Barakallahu lakuma wa baraka a'laikuma, wa jama'a baina kuma fi khairin. Insyaallah.' Terima kasih juga kepada suami yang mewakilkan saya di majlis pernikahan Uda petang tadi. Maafkan Najwa kerana terpaksa membiarkan abang sendirian. Insyaallah, sedikit masa lagi kita pasti bertemu. Amin.

Thursday, November 11, 2010

MANUSIA BIASA

MENANGIS. Hari ini, jiwa saya terlalu rapuh. Sehingga entry ini ditulis, saya tetap menangis. Menangis kerana saya amat sedar akan kerdilnya jiwa yang bergelar seorang manusia. Saya juga amat sedar, tidak akan berlaku sesuatu ujian melainkan akan ada rahmat Allah dan peringatan daripada Nya. Namun selaku manusia biasa, apabila keimanan diuji dan kesabaran sudah berada di penghujung, diri tetap akan menjadi manusia yang murah dengan air mata. Saya menangis bukan kerana kesal akan takdir yang tercatat, tetapi tangisan yang mengalir merupakan bukti betapa manusia yang bergelar 'hamba' itu sangat lemah dan perlukan penjagaan daripada Tuhannya.

Rasullah saw juga menangis apabila baginda diuji dengan kematian anak baginda bersama isteri baginda yang bernama Maryatul Qibtiah. Apalagi saya yang hanya manusia biasa, yang tidak punya apa-apa keistimewaan. Tangisan baginda ketika itu kerana kesedihan jiwa seorang manusia, bukan kerana menyesali takdir Yang Sangat Berkuasa. Itulah yang saya rasakan saat ini. 

"Najwa tahu, Najwa lalui macam-macam di sini sebab Allah nak kuatkan Najwa. Sebagai manusia, Najwa tetap punya perasaan sedih. Kadang-kadang, Najwa bagitahu abang bukan sebab Najwa tak tahu apa yang bakal abang cakapkan. Tapi Najwa perlukan tempat untuk luahkan. Najwa mahu ada yang mendengar."

Perbualan saya dan suami sebentar tadi cukup mengesankan. Alhamdulillah, suami sangat memahami. Hari ini, kami berkongsi tiga perkara yang amat menyedihkan. 

Pertama; "Belum rezeki kita sayang. Kalau dah empat puluh hari, mungkin dah ada roh. Kalau Allah izinkan, kita mohon janin itu beri syafaat untuk kita."

Kedua: "Ikut dasar, permohonan 'claim' tambang balik hanya boleh dibuat di Malaysia." -Pegawai N9.

"Insyaallah Allah akan berikan jalan keluar daripada rezeki yang tidak disangka-sangka. Kena yakin dan usaha setakat yang kita mampu." 

Ketiga: Keselamatan terancam apabila diri diekori dan dikejar seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Kita dapat bayangkan perasaan akak. Buat masa ini, akak jangan keluar untuk beberapa hari. Kita rasa, mungkin dia dah lama perhatikan akak" -Sahabat.

Tetap bersyukur. Meski kini berada di hujung kembara, tarbiah Allah terhadap diri masih berkesinambungan. Allah, saksikan saya telah redha akan takdir ini.

"Tengah malam macam ni teringat awak. Cekal, sabar dan sangat kuat. Mungkin taqarub kita tak sama, maka akak tak setabah dan sematang kamu. Semoga Allah pelihara ukhuwah ini. Akak bersyukur dapat kenal Najwa. Moga Najwa terus dipelihara dan dilindungi Nya." -Kak Sharliza Sha'ari.

Mudah-mudahan, saya benar-benar sebagaimana yang dinyatakan sahabat ini. Tuhan, jadikan ujian ini sebagai penambah mizan untuk kami menuju syurga Mu. Anugerahkan kami kesabaran yang sangat tinggi biarpun terpaksa melaluinya sendiri. Kami mohon agar kesedihan ini akan diganti dengan yang lebih baik daripada sebelumnya. Amin.

Thursday, November 4, 2010

MULAKAN DENGAN LANGKAH YANG PERTAMA

Sudah lama ingin menulis, namun sering sahaja halangan tiba. Situasi kesihatan yang baharu pulih daripada kemalangan kerap kali tidak mengizinkan diri berlama-lama menghadap komputer. Sementara keripuhan mengurus pelbagai urusan penting sebelum pulang ke Malaysia juga sering membantutkan niat untuk mengemaskini entry di blog ini. Syukurlah, hari ini kesempatan ada sekalipun terpaksa mencuri-curi masa.

 “Saya ada minat mahu menulis, tetapi saya tidak tahu mahu memulakan daripada mana.”

“Akak, macam mana ya kalau kita nak menulis, tetapi kita tak tahu diri kita ini berbakat ataupun tidak.”

 “Ustazah, kalau ana nak jadi penulis macam ustazah, bagaimana caranya? Boleh ustazah terang atau ajarkan?”

“Ana nak tanya; macam mana kalau kita dah pernah menulis, tapi apabila sudah lama tinggal nak mula balik jadi susah?”

“Akak lainlah. Akak hebat, kalau menulis ramai orang nak baca. Ayat akak sedap, tak macam saya.”

 

Dialog di atas sudah lali di telinga saya apabila satu-satu topik mengenai penulisan dibicarakan. Malah, ketika berlangsungnya program Kem Latihan Penulis PMRAM pada 23 Oktober 2010 yang lalu, soalan-soalan seputar dialog di atas masih tetap diutarakan baik secara terang-terangan atau persendirian kepada saya.

Jujurnya, untuk menjawab persoalan mengenai perkara ini tidaklah mudah. Ia nampak persis soalan lazim (kebiasaan), namun menjawabnya bagi saya harus melihat kepada si penanya. Analogi saya begini; jawapan untuk banyak persoalan yang tujuan atau pokoknya serupa. Intinya tetap sama iaitu bagaimana saya mahu menulis?  

Pertama: Sekiranya anda seorang yang tidak pernah menulis, tidak pernah mengikuti apa jua bentuk pendedahan mengenai penulisan baik kreatif mahupun none kreatif, saya mencadangkan anda memulakan langkah pertama dengan menulis (apa jua jenis genre yang diminati) tanpa mengetahui apa itu teknik sebuah penulisan. Tidak kiralah penulisan tersebut cerpen, puisi, novel, artikel, laporan dan sebagainya. Inilah yang saya amalkan ketika awal-awal menjinakkan diri dalam dunia penulisan suatu masa dahulu.  

Menulis tanpa disekat adalah suatu yang akan memudahkan calon penulis. Ini kerana, terdapat sebahagian golongan apabila diajar menulis melalui teknik-teknik tertentu akan menyukarkan mereka untuk menulis. Apabila dikatakan kepada mereka, “Menulis itu harus ada plot, ada tema, ada latar dan ada lain-lain lagi,” mereka kadangkala tidak mahu menulis kerana terlalu memikirkan susahnya untuk mengadakan apa yang telah disebutkan tadi. Ini kerana, mereka baharu sahaja mahu bermula, tetapi telah disusahkan dengan banyak perkara. Tindakan ini menurut saya, samalah seperti kita mencabut tunas yang baharu tumbuh daripada permukaan tanah. Khali, sifar, dan tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Tanah akan terbiar tanpa sebarang hasil tanaman, dan tanaman pula akan mati tanpa sempat hidup subur setelah usaha disemai.

Sesudah anda menulis, jangan pula anda cepat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan. Rujuklah pada mereka yang luas pengalaman untuk menilai tahap dan kemampuan anda terhadap satu-satu penulisan. Ketika ini, saya amat menggalakkan anda mengikuti seminar atau bengkel penulisan. Setelah anda mendengar serta mendapat input tentang satu-satu teknik penulisan, aplikasikanlah dalam karya anda tadi. Bedah atau ringkasnya, potonglah mana-mana yang tidak berkenaan dalam karya yang telah anda hasilkan tadi dan tampunglah karya tersebut dengan bahan, maklumat, atau mungkin komponen yang masih kurang. Mudah bukan, anda sendiri pasti mampu melakukannya tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.

Namun alangkah baik, sekiranya ada penulis berpengalaman yang membantu anda dalam gerak kerja tersebut. Jangan malu menghubungi mereka via emel atau apa jua perantaraan. Kebiasaannya, seorang penulis yang telah mempunyai pengalaman menulis dan karyanya sudah pernah tersiar di media, fikiran dan cara mereka menulis sudah boleh dikira matang. Dengan mudah apabila mereka membaca karya anda, mereka akan dapat melihat kejanggalan yang tidak sepatutnya ada dalam sesebuah karya. Jangan mudah berkecil hati atau kecewa apabila karya anda dikritik. Tidak kiralah kritikan tersebut dilihat negatif mahupun sebaliknya. Ajarlah diri untuk menerima dan membiasakan diri dengan kritikan. Kritikan memang pada awalnya kelihatan amat menyakitkan, namun lama-kelamaan ia akan  menjadi ubat yang menyembuhkan, akan banyak membantu perkembangan sesuatu karya.

Kedua:  Bagi golongan yang sudah pernah menulis dan mengetahui teknik-teknik suatu penulisan pula, saya mencadangkan anda teruskan langkah dengan banyakkan membaca karya-karya penulis mapan dan professional. Bacalah sebanyak-banyaknya karya mereka disamping mempraktikkan teknik penulisan yang dipelajari di dalam satu-satu karya yang bakal ditulis. Cari dan perhatikan bagaimana penulis tersebut mengadun idea, buah fikiran sehingga menjadi  sebuah karya. Perhatikan juga penulisan tersebut, apakah teknik yang anda pelajari terdapat di dalamnya atau tidak. Mudah kata, jika sebelum ini anda hanya membaca sebagai pembaca yang tidak tahu apa-apa, tetapi kali ini bacalah dengan menyemak letak duduk langgam sebuah genre penulisan. Jadikan diri anda seorang pembaca alias pengkritik. Setelah itu, menulislah berdasarkan penilaian berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus karya yang telah dibaca. Dengan cara ini, kemajuan menulis anda akan bertambah mudah, cantik, dan baik.

Selain itu, anda harus tetap membaca, membaca dan terus membaca! Ini kerana hanya orang yang memiliki sesuatu dapat memberi, dan orang yang tidak memiliki apa-apa mana mungkin dapat menyumbang, memberi, apa lagi membantu. Hanya dengan membaca jugalah usaha karya yang berterusan dapat dilakukan. Dan, kerana membaca jugalah satu-satu karya akan mampu bertahan serta membetulkan kepincangan yang sedia ada dalam perjuangan mengislah masyarakat melalui mata pena.

Suka saya ingatkan, sekiranya anda sudah berhasil menghasilkan satu karya yang baik atau karya anda diterbitkan, janganlah cepat berpuas hati. Cepat berpuas hati dengan apa yang ada merupakan suatu yang sangat bahaya. Ia akan membuatkan anda angkuh dan menumpulkan kemajuan anda dalam satu-satu genre penulisan. Ini kerana, tidak semua karya yang diterbitkan adalah karya terbaik. Kadangkala, ia diterbitkan kerana ketiadaan karya (yang lebih baik daripada karya anda ketika itu). Kadangkala juga, satu-satu karya itu terbit juga kerana beberapa tujuan. Seperti karya kreatif yang banyak diterbitkan di Mesir ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang akan isu ini. Cukuplah kalau saya katakan, saya amat tidak berpuas hati dengan majoriti karya kreatif yang diterbitkan di Mesir. Terdapat banyak kesalahan dan kesilapan baik daripada sudut penulisan itu sendiri mahupun  terdapat perlanggaran etika-etika penerbitan yang harus dipelajari dan dibaiki.

Kadangkala, suatu genre yang tidak layak diiktiraf sebagai puisi, cerpen mahupun novel diterbitkan dengan mudah di sini. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak mahu berburuk sangka. Suka saya nyatakan sekali lagi, teruslah menimba ilmu dan pengalaman baik dalam bidang penulisan mahupun penerbitan  agar kita tidak digelar buta Bahasa Melayu sekalipun diri berketurunan Melayu. Memadailah sekadar ini respon saya terhadap isu ini.
  
Perjuangan kita tidak terhenti di sini. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mengkreatifkan apa yang telah dipelajari di sini bagi manfaat masyarakat di Malaysia. Ilmu agama yang kita timba di sini jika tidak disampaikan dalam bentuk kreatif, akan membuatkan kita semakin jauh daripada masyarakat. Tidak semua masyarakat kita di Malaysia memiliki kefahaman agama sebagaimana kita di sini. Lantaran itu, jangan terperanjat mahu pun terkejut apabila masyarakat lebih memilih bahan bacaan berbaur hendonis berbanding buku-buku agama. Salah itu berpunca daripada kita. Kita yang tidak mahu belajar memudahkan kefahaman mereka terhadap agama, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah nanti.

Benar menulis itu satu fardhu kifayah. Tetapi saya kira, kita tetap berdosa apabila mempersiakan ruang dan peluang yang ada dengan membiarkan bahan bacaan porno dan hendonis berleluasa tanpa satu usaha untuk membendungnya. 

Mulakanlah dengan langkah yang pertama untuk membendung kebobrokan yang sedang menular. Harus diingat, untuk satu hasil yang baik tentulah memakan masa. Tidak ada manusia yang lahir daripada perut seorang wanita yang bergelar ibu terus boleh berjalan atau berlari sebaik dilahirkan. Mereka harus melalui proses demi proses untuk dapat berjalan dan berlari.


Begitulah juga dalam dunia penulisan. Untuk menjadi seorang penulis yang hebat, anda harus bermula daripada bawah. Harus memulakan langkah yang pertama untuk sampai kepada ribuan langkah. Harus melalui anak tangga pertama untuk tiba di tangga terakhir. Harus juga melalui detik-detik susah untuk tibanya suatu detik mudah, (tidak tahu kepada tahu, tidak pandai kepada lebih pandai). Usah biar diri menjadi mereka yang mengaku kalah sebelum ada usaha untuk berjuang. Mereka ini adalah manusia yang telah mati, sebelum sempat dikuburkan. Setakat ini dahulu untuk entry kali ini. Salam mangsi ulamak daripada saya! 

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos