BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 22, 2010

NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH KAMU DUSTAKAN


Mahu menghayati ciptaan Tuhan! Itu alasan utama saya meninggalkan Kaherah beberapa hari yang lalu. Berhijrah daripada suatu tempat kepada suatu tempat yang lain itu sangat perlu untuk diri saya bagi membina semula struktur-struktur iman yang hampir layu. Niat saya tidak lain hanyalah  benar-benar mahu menghayati dan mengiktibari ciptaan Tuhan. Manakala doa saya sebelum dan sepanjang perjalanan, semoga dengan penghayatan yang benar-benar tulus akan bercambah serta mekar suburlah pohon-pohon iman, dan akan  hilanglah keangkuhan yang sering meraja di dalam diri.

Hijrah merupakan suatu sunah. Sirah Islam mencatatkan, Rasulullah saw dan para sahabat melakukan hijrah bagi membina kekuatan sebuah daulah Islamiah setelah dakwah Rasulullah saw ditentang hebat oleh penduduk musyrikin Mekah. Antara punca yang menjadi sebab penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat ke Madinah (ketika itu dikenali dengan nama Yatsrib) adalah;

  1. Hijrah merupakan perintah daripada Allah untuk mempertahankan Islam.
  2. Ancaman terhadap Islam semakin memuncak dan menjadi-jadi daripada penduduk musyrikin Mekah.
  3. Permintaan daripada penduduk Madinah sendiri supaya Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke negara mereka. Mereka memberi jaminan terhadap keselamatan Rasulullah saw dan para sahabat.
  4. Hijrah merupakan suatu strategi dakwah Rasulullah saw dalam memperkukuh dan menguatkan Islam ketika itu.

Kemuncak hijrah inilah seluruh umat Islam menyaksikan Rasulullah saw telah menjadi seorang pemimpin pertama dunia  Islam. Malah, hijrah turut mengubah nasib kaum Muslimin yang pada awalnya hanya merupakan sebuah kelompok kecil dakwah di bawah kepimpinan Rasulullah saw di Mekah. Ia kemudiannya menjelma menjadi suatu kelompok dakwah yang besar dan umat Islam  memiliki satu identiti politik antarabangsa yang boleh dibanggakan ketika itu. Kedudukan Rasulullah saw sebagai ketua negara berjaya menerapkan sistem pemerintahan berdasarkan wahyu. Ini menjadikan perundangan dan pentadbiran  sistem pemerintahan ketika itu amat bersistematik. Demikian hijrah memainkan peranan besar terhadap sejarah Islam.

Mengambil iktibar daripada sirah ini, perjalanan ke suatu tempat baharu saya mulai setelah memperoleh keizinan suami. Perjalanan ini merupakan sebuah perjalanan kehidupan yang lebih baik menurut saya berbanding perjalanan sebelum-sebelum ini. Dan benarlah, jika di permulaan niat kita betul, Allah pasti melorongkan nusrah. Begitu yang saya alami sepanjang tiga hari perjalanan.

Hari pertama, meski hanya menemani sahabat-sahabat melepas lelah seusai konvo di sebuah taman permainan, sebuah pengajaran saya perolehi. Ketika semua yang ada berada di dalam nubari suka, saya didatangi bisikan halus jauh di dalam diri; “Bagaimana seandainya saat gembira begini Allah mengutus malaikat mencabut nyawa saya? Akankah saya akhiri kehidupan ini dalam redha Tuhan? Apakah nikmat pinjaman hidup yang diberikan, telah saya sempurnakan sebaik-baiknya?” Menahan kegelisahan ini, saya mematikan hasrat untuk bermain dan membiarkan diri daripada terlalu suka. Lalu menggantikan perasaan dengan menyebut lafaz istighfar berkali-kali. Saya mahu pergi dalam keadaan yang diredhai. Saat ini diri menyedari, tiada sekali nafas harus terbiar tanpa mengingati Ilahi. Nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan wahai diri?

Perjalanan tiga hari cukup memberi erti. Saya bertemu sepasang suami isteri warga tempatan di sebuah taman menjelang senja. Sebuah kerusi roda, sepasang suami isteri, dan sebidang tanah yang ditumbuhi rumput hijau meruntun hati. Seorang isteri begitu setia menemani suami yang sedang terlantar sakit di atas tanah yang ditumbuhi rumput. Allah, betapa diri jauh merasa beruntung. Sesusah manapun hidup, kami masih tidak seperti pasangan tersebut. Insaf, sebak menggempur nubari. ‘Ya Allah, tiada lain yang aku mahukan saat ini melainkan Engkau peliharalah suamiku. Jadikan kami pasangan yang tidak berkeluh-kesah terhadap ujian daripada Mu.’

Menutup tirai kembara adalah saat yang tidak akan dilupakan. Seorang wanita dan kematian guru tauladan terbaik saya meneruskan kehidupan. Kegigihan seorang wanita di perhentian keretapi mencuit rasa. Barangkali dia ibu tunggal, balu atau janda. Kegigihannya memberi pengalaman kepada saya bahawa wanita bukan makhluk biasa-biasa. Demi membesarkan anak-anak, mereka akan berusaha sehabis kudrat untuk melihat anak yang pernah dikandung sihat dan tidak mengalami nasib yang sama seperti dirinya. Sekiranya wanita ini adalah satu contoh Allah mengajar saya akan makna hidup, saya mahu lahir menjadi wanita yang luar biasa. Dan hanya mereka yang berani menentang arus akan berhasil menjadi orang yang berjaya. Tauladan di hadapan mata, saya sematkan kejap ke dalam minda. Alangkah beruntungnya mereka yang memerhati setiap kejadian Allah dengan menjadikan ia sebagai guru dalam merentas laluan menuju Tuhan.

Setelah berlalu sebuah kehidupan, pasti kematian akan segera datang. Lalu di mana jasad ini akan ditempatkan? Peluang bertawasul dalam kembara mencari damai di persisiran pantai tidak disia-siakan. Alhamdulillah, berpeluang menziarahi ahli bait Rasulullah saw dan para wali. Hati terasa dekat apabila tarbiah Rasulullah saw dan para sahabat diiktibari, terasa jauh apabila syariat dibelakangi. Moga Allah menerima kepulangan saya nanti ke sisinya sebagaimana insan-insan mulia ini. Amin ya rabbal alamin.

0 comments: