BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, October 17, 2010

HASRAT YANG TERTANGGUH

Musafir saya di bumi Mesir bakal berakhir sedikit masa lagi. Bumi ini bakal ditinggalkan. Tidak tahu bila akan tiba pertemuan berikutnya setelah kepulangan ke tanah air nanti. Saat ini, dalam kotak fikir beranting idea mahu meninggalkan usaha terakhir kepada seluruh sahabat yang masih tinggal di bumi ini. Saya bukanlah seorang yang hebat atau yang boleh dibanggakan berbanding sahabat yang lain. Perjalanan hidup saya di bumi ini juga begitu sederhana. Hanya sahaja ia menjadi istimewa menurut saya setelah ranjau gelora yang melanda berjaya saya iktibari dengan membiarkah kalimah redha terpahat kukuh di jiwa. 

Julai lalu sebelum kepulangan ke Malaysia, saya pernah menyimpan hasrat mahu menyumbang khidmat kepada Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP). Saya kira, ia merupakan usaha terakhir untuk Persekutuan Republik Arab Mesir (PMRAM) sebelum kehidupan di tanah air saya mulai. Hasrat ini sempat saya suarakan kepada sahabat terdekat KELAP. Sayangnya, hasrat yang satu ini tidak kesampaian. Akur, ketentuan ini membuatkan saya berlapang dada. Saya optimis, hasrat saya hanyalah sebuah sumbangan kecil yang tidak akan memberi apa-apa impak melainkan ada yang sudi memenuhi dan mempelajarinya.

Hasrat ini tidak lebih hanya sekadar perkongsian pengalaman sepanjang saya berkecimpung dalam dunia perjuangan melalui mata pena. Ia lahir daripada hati yang terlalu ingin melihat lebih ramai golongan Azhari terjun ke dalam dunia penulisan setelah diri sendiri menghadiri rencam seminar dan bengkel penulisan di Malaysia sebaik berumah tangga. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya seorang teman hidup yang turut berjuang melalui mata pena. Barangkali, berkat meneliti dan memerhati perjalanan suami terhadap kerja-kerja yang melibatkan penulisan, penterjemahan dan penerbitan bersama sebuah syarikat penerbitan di Malaysia mencetuskan satu hasrat. Hasrat inilah yang masih kekal hingga ke hari ini. Hasrat yang telah tertangguh kerana ketiadaan ruang yang sesuai untuk dikongsikan.

Cinta terhadap penulisan tidak pernah pudar daripada jiwa saya. Meskipun kebelakangan ini, saya banyak mendiamkan diri, tidak bermakna penulisan telah saya abaikan apalagi tinggalkan terus. Saya masih menulis, hanya sahaja penulisan saya di masa mendiamkan diri lebih kepada mahu menghasilkan penulisan terbaik untuk tatapan pembaca karya-karya saya. Tempoh mendiamkan diri ini merupakan tempoh saya belajar berdiri sendiri secara penuh dalam dunia penulisan. Diajar bagaimana mahu menjadi seorang penulis yang tidak hanya menulis secara berkala atau menghadkan penulisan terhadap genre-genre tertentu.

Tempoh senyap ini juga menemukan saya pada kesungguhan menjadi seorang penulis. Melalui kesungguhan tersebut saya akan mampu berdiri, bahkan berlari dalam dunia mata pena. Tentunya mereka yang terlibat dalam membantu saya berjalan dan kadangkala berdiri dengan lebih yakin adalah usaha dan ketekunan suami terhadap kerja-kerja penulisan. Setelah banyak input masuk ke kotak minda, saya mula terfikir. Alangkah baiknya jika apa yang saya ketahui dapat dikongsikan bersama orang lain. Bertitik tolak daripada ini menyusullah hasrat yang telah saya sebutkan tadi.

Selama berada di Malaysia (sebaik Mesir saya tinggalkan pada Julai 2010), hasrat itu tidak pernah lagi saya fikirkan. Saya lebih banyak memikirkan tentang bagaimana saya ingin menjadi penulis sepenuh masa dengan melibatkan diri dengan penulisan-penulisan yang lebih besar dan mencabar. Saya mahu menjadi salah seorang daripada agamawan yang serba boleh dalam dunia penulisan. Lantaran itu, saya tidak pernah berhenti belajar memantapkan diri melalui segala cara dan pemerhatian. Ringkasnya, usaha saya ketika itu lebih tertumpu untuk diri sendiri dan tidak orang lain.

Tanpa diduga, rencana Allah menghendaki saya segera pulang ke Mesir kerana urusan pengajian. Sebaik melayari internet di Mesir kala itu, saya disapa oleh salah seorang sahabat KELAP yang menawarkan peluang menjayakan program KELAP yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi. Saya keharuan, betapa Allah sangat mengetahui apa yang pernah menghuni hati ini. Dan kerana itu, saya masih setia bertahan demi sebuah hasrat yang telah tertangguh. Saya percaya, apabila kita mengajar diri menulis kerana Allah di situ akan ada pertolongan Allah. Dan apabila kita memberi tanpa mengharapkan balasan, di situ akan lahir sifat qanaah (rasa cukup) biarpun kadangkala usaha kita tidak dihargai.

Sebentar tadi, telah terialisasi sebahagian hasrat saya dengan wujudnya sebuah pertemuan dengan mantan peserta KELAP di Rumah Kelantan Baru Kaherah. Meski yang hadir tidaklah penuh dewan, memadailah bagi saya dengan kuantiti yang sedikit tetapi punya jiwa yang bernyala-nyala untuk sebuah penulisan. Satu penghormatan juga saya kira, apabila salah seorang daripada yang hadir adalah wakil pelajar Merocco yang turut sama memerhati pertemuan perjalanan dunia penulisan di bawah seliaan Kem Latihan Penulis PMRAM.

Saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi terhadap perjalanan dunia penulisan di bumi Mesir ini. Tetapi sebelum menutup entry kali ini, suka saya memetik kata-kata seorang sahabat yang pernah menjadi salah seorang guru kepada saya dalam perjuangan mata pena; "Biarlah jika hanya tinggal seorang peserta yang ada kesungguhan dalam dunia penulisan di Mesir ini itu lebih baik. Sastera atau penulisan tetap akan terus hidup. Tidak akan mati ditelan zaman". Saya pula menambah; "Apa gunanya kuantiti yang ramai, tetapi menulis sekadar hangat-hangat tahi ayam." Moga Allah bantu diri kerdil ini untuk terus istiqamah berjuang melalui mata pena. Allahumma amin...amin..amin.

3 comments:

Ahmad Ulwan b Hassim said...
This comment has been removed by the author.
Ahmad Ulwan b Hassim said...

Salam ustazah..

syukran atas perkongsian petang tadi..bagi ana ia amat bermakna membangkitkan semangat ana untuk lebih mendalami bidang penulisan..

perkongsian kisah tentang bagaimana filem laskar pelangi difilemkan cukup menarik..

mabruk2..

Sammaituha Najwa said...

Wsalam.

Afwan. Alhamdulillah, saya kembalikan penghargaan tersebut kepada DIA YANG HAQ. Saya doakan semoga ustaz adalah salah seorang calon pejuang mata pena yang akan lahir daripada rahim PMRAM untuk menyumbang bakti kepada Islam yang kita anuti dan cintai.

Selamat datang ke dunia penulisan Islam!