BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 8, 2011

SELAMAT TINGGAL KAHERAH


04 DISEMBER 2010- Saat pesawat membelah awan gelap, fikiran  saya terbang. Entah ke mana. Nuansa perasaan berbaur. Hiba dan  gembira bercampur. Benar; merantau akan membuatkan kita  mengenal diri seorang yang bergelar manusia alias hamba.

Meski pesawat yang kami naiki berhawa dingin dan cuaca di luar  baru saja merai kedatangan musim dingin, hati dan jiwa saya  masih terasa hangat. Peluh di dahi juga masih merenik  sekalipun sudah berkali-kali kertas putih lembut bertukar  ganti.

Allah, benar kami hanya insan biasa yang tidak memiliki apa- apa. Saat diuji dengan sedikit kesusahan, semaian sabar hampir  berterbangan. Namun syukurlah, segalanya menjadi lancar atas  kehendak dan pertolongan daripada Mu Tuhan. 

Sunyi. Saya membuang pandang jauh ke luar jendela. Langit  gelap pekat. Tidak nampak apa-apa.

Tuhanku, jangan Engkau biarkan jiwaku segelap langit dan malam  ini. Hati kecil saya berbisik perlahan. Airmata jatuh  perlahan-lahan. Hiba, terasa sekali kesayuan detik kepulangan  kali ini.

Tujuh tahun bergelar perantau, baru kini saat ini tiba. Entah  mengapa, tiga tahun yang lalu; saat dan detik begini yang saya  nantikan. Namun apabila ia tiba, saya menjadi serba salah. Bustan jiwa diselubungi sayu. Persis tidak mahu terbang pulang. Mahu dikatakan kerana tidak pernah pulang sepanjang musafir,  tidak mungkin.

Ini bukan kali pertama saya terbang pulang. Sudah kerap kali  saya pulang ke tanah air dengan menaiki pesawat udara. Emirate  airline, Malaysia Airline, Singapore airline, Gulf airline dan  Egypt airline.

Malah, sejak pemergian arwah ayah tiga tahun yang lalu, saya  mula menjadi seorang musafir setia yang akan tetap pulang  setiap kali musim libur tiba. Biar tepaksa mengikat perut  berhari-hari, saya rela. Hanya kerana ingin mendapatkan sekeping tiket penerbangan.

Lantaran kekerapan pulang ke tanah air, saya sering diusik  teman-teman, orang berduit seronoklah. Setiap tahun boleh  balik.

Hanya senyuman yang menjadi balasan. Kalau kalian tahu,  betapa susahnya saya mengumpul perbelanjaan pulang, pasti  usikan sebegitu tidak akan lahir daripada bicara kalian.
Malas mengambil pusing, saya menganggap usikan tersebut  sebagai suatu yang tidak akan membawa kerugian atau apa-apa  makna. Bukan semua perkara peribadi boleh kita kongsikan  kepada semua. Allah itu sangat tahu situasi diri saya, mengapa dan kenapa biarlah ia menjadi rahsia saya.

Saya telan genang yang mula berlinang. Entah mengapa,  kepulangan kali ini terasa lain amat. Kali ini, di skrin minda  muncul beberapa wajah setiap kali saya cuba memejamkan mata.


S.A.H.A.B.A.T, ia cukup untuk membuatkan airmata melebat.  Sungguh, mengenalimu merupakan suatu hadiah istimewa  yang tidak ternilai daripada Allah untuk manusia seperti saya.

Betapa tidak, setelah ketiadaan keluarga dan saudara terdekat di rantau orang, sahabat adalah tempat diri berkongsi segala suka duka.

Bukankan kanvas sirah mencatatkan junjungan agung Rasulullah saw juga amat mengasihi sahabat-sahabat baginda setelah ketiadaan kaum kerabat? Malah, baginda pernah menuturkan bahawa sahabat-sahabat baginda seumpama bintang. Siapa sahaja yang mengambil tauladan daripada salah seorang sahabat baginda,mereka tidak akan tersesat.

Layar minda diwara-wiri bayangan seorang sahabat yang amat baik. Orangnya tinggi lampai, berkulit putih bersih, akan terserlah kedua lesung pipitnya apabila tersenyum. Ah, amat manis! Perawan sunti daripada daerah selatan tanah air itu, berjiwa kental.

Beliau bukan sahaja cemerlang dalam bidang pengajian, tetapi juga akhlak dan syakhsiahnya turut terpuji. Sangat merendah diri apabila didampingi. Tidak pernah membangga diri sekalipun usianya jauh lebih muda berbanding saya dan sahabat-sahabat (yang mengulang tahun pengajian lebih sekali).

Nubari sayu menggempur atma. Rindu saya pada beliau membuncah. Sesekali memori bersama menjengah ingatan. Saya senyum sendiri. Dan ada ketikanya jemari kembali menyapu airmata.

"Akak, si fulan kata, tasfiah (saringan @ ulangan) bukan jaminan najah. Ramai je orang yang tasfiah, tapi tak najah." Bicara itu terlantun daripada bibir beliau saat keputusan penuh pelajar fakulti Syariah Islamiah dan Bahasa Arab  diumumkan. Kami harus menduduki peperiksaan tasfiah bagi melayakkan diri bergelar graduan 2010 (sedangkan sebelumnya keputusan mahasiswi tasfiah cawangan Kaherah tidak mencatatkan nama beliau dan saya).

Saat rasa optimis dibunuh sahabat dengan kalam pesimis, kami saling meneguhkan. Benar, tasfiah itu bukan jaminan najah. Tetapi usaha, doa dan sifat bersangka baik kepada Allah akan boleh membuatkan kami bergelah najihah (seorang yang berjaya). Kami amat yakin.

Alhamdulillah, Allah itu sangat adil. Akhirnya keputusan akhir kami maklumi setelah beberapa bulan menduduki peperiksaan saringan. Kami kembali berkongsi perasaan dalam syukur yang bertali atas anugerah jayyid yang diperolehi. Terasa berbaloi perjuangan selama tujuh tahun di sini.

Lampu pesawat dimatikan. Saya terus dibuai perasaan.

Benarlah, berjauhan akan mula membuatkan kita menghargai sebuah pertemuan. Entah untuk kali ke berapa saya menghapus airmata.

Kesulitan ketika 'chek in' tadi yang menyebabkan kami tidak dapat berjumpa. Ada nada amarah yang saya kesani telah mula tumbuh di tangkai hati.

Astaghfirullah! Lafaz ta'awuz berkali-kali diulangi agar semilir dingin segera mengganti. Mungkin ada hikmahnya. Saya berusaha memujuk diri.

Bukankah menurut Imam Ghazali, persahabatan mahupun ukhwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan juga pada manisnya ucapan di bibir. Tetapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya.

Moga Allah menaungi seluruh sahabat-sahabat saya yang masih tinggal, dan menganugerahkan nikmat kejayaan sebagaimana saya dan sahabat-sahabat yang telah pulang.

Suhu pesawat makin dingin. Sahabat di sebelah sudah terlena. Saya terus dibayangi bilah hari kehidupan di Mesir. Antara perjuangan meraih segulung ijazah dan perjuangan membiarkan diri ditarbiah, saya lebih memilih proses tarbiah.

Meski tarbiah itu memakan masa, ia bukan sahaja menghasilkan jiwa yang berjaya di bangku kuliah. Tetapi juga satu jiwa yang lebih sempurna dalam menuju sebuah cinta dalam mengejar redha Allah.

Pemergian ayah membuatkan saya kehilangan tempat berdiri selaku mahasiswi setelah biasiswa dan zakat dipotong. Tetapi ia menghadirkan satu jiwa yang harapnya lebih banyak tertumpah pada Allah.

Dan, siapa sangka. Meski tanpa ayah, tanpa huluran sedekah, biasiswa dan wang zakat. Saya dihadiahi satu jiwa yang berjiwa tabah. Kesusahan itu melahirkan keakraban pada Tuhan. Jauh daripada sifat meminta-minta. Kesusahan itu juga membenihkah rasa qanaah (cukup) terhadap apa yang ada.

Meski keluarga bukan daripada golongan berada, akhirnya berkat usaha bersama perjuangan yang tertangguh sekian lama langsai jua. Malah terasa amat manis apabila dana ke arah kejayaan ini atas usaha sendiri.

Saat biasiswa dan wang zakat dipotong, saya telah mula bertatih dalam mandala penulisan. Semakin gigih setelah ayah pergi. Lalu, atas usaha yang pada mulanya nampak enteng di pandangan kebanyakan teman-teman di Mesir suatu ketika dahulu, ia akhirnya membuahkan hasil. Honorarium itu banyak membantu melancarkan pengajian saya.

Saya menjadi dewasa dalam tarbiah Allah di bumi Kaherah. Malah, beberapa hari lepas setelah mengalami pelbagai kesulitan sehingga menyebabkan saya hampir putus asa, Allah masih menghadiahi saya pengalaman yang amat bermakna.

Saat permohonan dan rayuan tambang kepulangan ke tanah air ditolak, saya hampir habis usaha. Belanja perjalanan pulang dan urusan tamat pengajian yang memakan dana yang tidak sedikit terasa memeritkan.

Saat saya sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi daripada mereka yang bergelar manusia, pertolongan Allah tiba. Sampul surat yang berisi dana mencecah ribuan daripada seorang hamba Allah yang tidak dikenali diterima.

Bagaimana mungkin bumi tarbiah ini saya tinggal atau lupakan sebegitu mudah.

Akur, saya akhirnya menelan realiti. Sebuah kehidupan itu ada permulaan dan akan ada pengakhiran. Perjuangan menjadi khadim ilmu di bumi para nabi ini akan menjadi kenangan tidak terlupakan.

Kegigihan seorang pensyarah yang tidak sempurna penglihatan turut bermain di fikiran. Ia juga sebuah pengalaman dan hadiah yang akan kukuh saya sematkan di bustan jiwa.

Biar buta mata, jangan buta hati. Biar lambat menjadi orang berjaya, asal tidak meninggi diri.

Selamat tinggal Kaherah. Selamat tinggal bumi tarbiah, selamat tinggal  bumi yang telah mengajar diri erti sebuah tabah. Paling muhim (penting), bumi yang telah banyak menyempurna diri selaku hamba Allah.

Hati,tenanglah! Saya mahu lena dalam dakapan kenangan bilah hari di bumi Kaherah!

3 comments:

Si Kandil Hijau said...

selamat pulang...pastinya kenangan di sana sesutau yg termanis dalam hidup!

khadamgerakanislam.blogspot.com said...

Selamat pulang.. Salam Mujahadah.. Salam Perjuangan di medan asal.. Medan Amal Islami..Akak tinggal di mana?

Ustazah Siti Khadijah said...

Cik Puan Si Kandil Hijau: Amin. Ya, pastinya begitu kerana sebahagian hidup saya menjadi lebih baik dan bermakna ketika di sana.

Ibnu Selangor: Terima kasih. N.Sembilan.

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos