BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, January 18, 2011

ETIKA PENERBITAN

SETIAP manusia yang mahu digelar seorang penulis @ pengarang harus melalui medium penerbitan untuk melayakkan mereka mendapat gelaran penulis @ pengarang. Apa gunanya menulis jika bahan atau karya yang ditulis tidak sampai kepada pembaca. Apa gunanya menulis jika bahan atau karya yang ditulis hanya disimpan untuk bacaan sendiri. Paling penting, bagaimana mungkin kita menjadi penulis yang baik (dari semasa ke semasa) jika penulisan kita hanya dibenarkan  untuk dinilai oleh diri sendiri atau mereka yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai penulisan dan etika penerbitan.

Penulis yang baik akan sentiasa memajukan tahap penulisannya dengan pelbagai cara. Dia juga harus memahami etika-etika penerbitan untuk membolehkan karyanya diterima oleh satu-satu media penerbitan. Malah, dia juga harus benar-benar memahami etika penerbitan untuk menghalang dirinya  daripada disenarai hitamkan oleh pihak media penerbitan sekiranya mahu karyanya diterbitkan.

Entry kali ini, saya lebih memfokus tulisan kepada penulis-penulis baru di Mesir. Amat besar harapan saya agar kalian yang pernah mengikuti seminar atau bengkel penulisan di Mesir (bersama saya atau tidak) meneliti dan teruslah membaca entry ini untuk membantu anda menjadi seorang penulis yang memahami etika dan menjauhkan kalian daripada menjadi 'penulis bodoh sombong'. 

Sikap menulis membuta-tuli mengikut emosi harus dihentikan. Belajarlah menjadi penulis bertaraf mapan atau professional sekalipun kita baru saja menulis.

Sepanjang hampir tujuh tahun keberadaan saya di Mesir, saya amat maklum. Mahasiswa Al-Azhar (bangsa Melayu) adalah mahasiswa yang tidak pernah berhenti menulis dan menerbitkan bahan tulisan baik secara kreatif mahupun none kreatif. Ia merupakan suatu usaha yang patut dipuji serta diteladani oleh semua mahasiswa tidak kira di negara manapun mereka berada.

Namun, ada beberapa perkara yang harus diperhati juga dibaiki. Saya akui, tidak semua mahasiswa Al-Azhar terdedah kepada dunia penulisan dan penerbitan sebenar. Justeru, sikap mahu belajar tanpa henti haruslah dimiliki oleh setiap  warga Azhari. Dunia hari ini bukanlah dunia mendekati masyarakat atau berdakwah melalui ceramah atau pengisian di masjid sahaja. Tetapi konsep dakwah telah meluas dengan berkembangnya kemajuan teknologi. Lantaran itu, dunia penulisan amat memainkan peranan dalam kelangsungan dakwah Islam hari ini.
Seandainya seruan dakwah kita (melalui penulisan) main hentam keromo atau semberono, agaknya berapa ramai mad'u yang berminat mempelajari Islam. Mungkin akan ada yang menyatakan, apa kaitannya penulisan di Mesir dengan dakwah masyarakat? Jawapan saya memang sangat ada kaitannya!

Seperti yang selalu kalian tuturkan, "Di Mesir ini adalah medan tarbiah untuk kita menjadi seorang da'ie (pendakwah), dan di Malaysia adalah medan sebenarnya kita menjadi pendakwah". Begitulah juga dengan penulisan. 

Jika di Mesir penulisan main hentam keromo atau semberono, agak-agaknya akan terjaminkah kelangsungan dakwah melalui penulisan mendapat tempat di hati pembaca @ masyarakat? Lantaran itu juga, jangan kalian marah atau mengomel  kepada masyarakat hari ini yang wataknya begitu begini sekiranya mereka lebih memilih bahan bacaan berunsur hendonis berbanding karya-karya ilmiah mahupun sastera.

Setelah puas memikir bagaimanakah caranya mahu menulis mengenai etika yang satu ini sekian lama, akhirnya saya temui surat pembaca ini di ruangan Luahan Minda dalam sebuah majalah di Malaysia. Saya kira, ia akan amat membantu mereka yang baru belajar mahu jadi penulis atau mahu karya diterbitkan. Semoga ianya bermanfaat bukan sahaja kepada penulisnya dan saya, tetapi juga buat semua yang membacanya. Selamat membaca, jadilah penulis yang beretika.

Pengarang Muda dan Pengarang Tersohor Hormati Etika!

Assalamualaikum saudara editor,
Saya berbangga melihat perkembangan karya penulis-penulis muda di halaman Tunas Cipta. Mereka benar-benar menggunakan wadah ini untuk memajukan aspek kepengarangan sebagai landasan permulaan.
Saya mendapat beberapa pertanyaan di blog saya tentang isu karya yang sudah disiarkan di blog bolehkah disiarkan di media seperti Tunas Cipta? Jawapannya sudah pastilah tidak boleh kerana Tunas Cipta, seperti juga media lain mempunyai hak eksklusif kepada penyiaran sebarang tulisan dalam majalah ini, selagi tempoh pengedaran majalah itu masih berlangsung.
Eksklusif bererti satu-satunya, tiada di tempat lain. Dengan itu, setiap pengarang dibayar honorarium kerana membenarkan karya itu disiarkan. Ini suatu bentuk kontrak jika dilihat dari sudut undang-undang. Apabila karya yang disiarkan di majalah ini merupakan karya yang sudah terbit di media lain (termasuk sudah disiarkan di blog sendiri), pengarang secara tidak langsung sudah "menipu" penerbit dengan menghantar sebuah karya tidak lagi eksklusif sifatnya. Penerbit yang tidak dimaklumkan akan hal ini seterusnya membayar honorarium kepada pengarang kerana percaya bahawa karya itu eksklusif untuk Tunas Cipta misalnya. Adakah wajar bagi penulis memakan hasil karya melalui kaedah penerbitan yang melanggar etika penulisan?
Pelanggaran etika yang kedua juga sering berlaku di blog. Biasanya seorang pengarang yang karyanya diterbitkan di media tertentu sangat teruja dan ghairah untuk berkongsi karyanya itu kepada pembacanya di blog. Tidak salah jika pengumuman tentang karya tersiar diuar-uarkan di blog dan menggalakkan pembaca membeli majalah tersebut di pasaran. Yang melanggar etika ialah menerbitkan bulat-bulat karya yang disiarkan di blog semasa tempoh pengedaran majalah itu masih lagi berlangsung.
Untuk menyiarkan semula artikel yang sudah terbit di media cetak di blog sendiri, pengarang haruslah menunggu tempoh pengedaran majalah tamat (sebulan selepas itu, iaitu pada bulan berikutnya) dan beri kredit atau nyatakan sumber tempat artikel itu disiarkan.
Jika hal ini dapat dikuasai, ternyatalah pengarang itu mempunyai kesedaran dalam hal yang sangat asas dalam penulisan dan memiliki minda kepengarangan kelas pertama!
Pengarang muda hati-hatilah tentang permasalahan ini dan bagi pengarang yang sudah tersohor janganlah buat pura-pura tidak tahu!

NISAH HAJI HARON
Ampangan, Seremban
Tunas Cipta edisi November 2010

0 comments: