BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 27, 2011

KUASA PUJI MENGIKUT TEKNIK NABI

PAGI Rabu itu saya hadir ke Pusat Islam UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan perasaan sedikit gementar. Berbekal selawat dan surah Insyirah kaki melangkah masuk ke kawasan masjid UTM yang tersergam indah. Sudah lama tidak mengajar, apalagi terlibat dengan aktiviti seperti ini memang mengundang gugup dan sedikit resah di hati. Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. 
Sebahagian peserta Kem Generasi Qurani (Gen_Q 11)

Setelah melapor diri kepada pegawai Pusat Islam, saya dibawa masuk bertemu peserta-peserta Kem Generasi Qurani (Gen_Q 11) dan juga barisan fasilitator yang lain. Selesai bertaaruf ringkas, saya memilih untuk duduk di belakang barisan peserta yang telah diatur duduk dalam kumpulan masing-masing. Saat itu, slot pagi sedang dikendalikan oleh salah seorang pegawai Pusat Islam UTM. Menurut seorang fasilitator yang ada, aktiviti pagi yang bermula jam 8.30-9.30 merupakan slot wajib yang akan dikendalikan oleh pegawai Pusat Islam UTM.

Satu jam masa yang diperuntukkan untuk slot pertama pagi itu, saya hanya menjadi pemerhati. Pemerhatian menurut saya amat perlu untuk memudahkan kita berbahasa dan berusaha menunaikan amanah mengikut tahap keperluan seseorang. Itulah juga yang banyak dilakukan Nabi saw kepada para sahabat dan masyarakat sekelilingnya.

Satu jam berlalu. Sepanjang tempoh itu, saya perhatikan ada segelintir peserta yang tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang sedang disampaikan oleh pegawai Pusat Islam tersebut. Pandangan saya jatuh pada beberapa orang peserta lelaki yang berada di saf lelaki. Mereka bermain dan bergurau sesama mereka tanpa segan silu. Beberapa kali dimarahi dan dihukum pegawai tersebut, masih juga tidak menampakkan tanda mahu berubah. Terdetik juga di hati saya, apakah mereka ini pelajar yang nakal? Namun melabel atau menghukum mereka dengan gelaran itu adalah tidak adil sebelum terbukti kenakalan mereka.

Jam menunjukkan pukul 9.45 pagi. Sebaik selesai sarapan pagi, semua peserta diserahkan kepada fasilitator masing-masing untuk kelas hafazan al-Quran. Setelah diperjelaskan oleh pegawai tentang modul dan matlamat untuk slot kedua ini, saya masuk ke kelas. Masa untuk slot kedua tamat dengan baik meskipun ada beberapa orang pelajar mengantuk dan tidak menumpukan perhatian sepenuhnya.

11.30 pagi adalah slot ceramah. Fasilitator terpilih akan ditugaskan menjadi penceramah untuk tajuk tertentu. Hari itu, penceramah yang bertanggungjawab adalah seorang fasilitator lelaki. Beliau akan menghuraikan tajuk ‘Cinta Rasul’. Seperti pagi tadi, permulaan slot bermula dengan agak baik. Saya masih memilih untuk tetap menjadi pemerhati. Selain mahu menilai minat dan tahap peserta, saya juga perlu melihat cara dan gaya penyampaian fasilitator untuk memahami konsep kem yang sedang dijalankan.

Namun apa yang memeranjatkan ketika ceramah masih berlangsung, majoriti peserta bukan sahaja tidak fokus, pelajar yang bergurau dan bermain pagi tadi berlari mengekori dan menarik-narik baju fasilitator tersebut kerana mahukan gula-gula. Situasi ini mebuatkan suasana tidak terkawal. Daripada dua, tiga orang pelajar yang membuat perangai, bertambah menjadi jumlah yang lebih besar. Fasilitator atau ustaz yang ada cuba meleraikan, masih juga tiada perubahan.

Saya dapati, di kalangan peserta yang membuat perangai itu, ada seorang pelajar yang amat aktif atau istilah bahasa kurang baiknya ‘nakal’. Sekiranya fasilitator sedang berceramah, dia merupakan orang yang berani bermain, bercakap dan berlari ke sana ke mari sesuka hatinya. Ketika peserta diletakkan di dalam LDK (latihan dalam kumpulan), dia akan keluar kumpulan dan mengganggu peserta-peserta kumpulan lain.

“Saya pegang kumpulan pelajar tahap bawah, faham-faham sahajalah. Mereka itu nakalnya membuatkan saya rasa mahu lempang-lempang sahaja. Geram sugguh. Paling nakal pelajar yang bernama Fadzil. Saya cakap bukan dia dengar. Berlari ke sana kemari, ganggu kawan-kawannya yang lain. Tetapi kalau sebut tentang hafalan Al-Qurannya, dia seorang yang cepat menghafal.”

Saya kemaskan ingatan dengan memasukkan ayat positif terakhir luahan seorang fasilitator untuk mencari kunci mendekati pelajar yang bernama Fadzil tersebut. Memang saya akui, setelah hampir seminggu menjalankan amanah di Pusat Islam UTM itu, kenakalan peserta kem kadangkala menguji iman dan kesabaran. Dengan perangai peserta yang bising, panjat tembok masjid, bermain, berlari di dalam masjid (lebih-lebih lagi ketika ada jemaah luar) dan sebagainya benar-benar melatih diri agar lebih sabar. Namun di kalangan ‘kenakalan’ peserta-peserta, tiada pelajar yang mampu menandingi ‘kehebatan’ peserta yang bernama Fadzil tersebut.

Tengahari itu, kami berkongsi perkembangan pelajar yang diletakkan di bawah jagaan masing-masing. Boleh dikatakan, hampir semua fasilitator lelaki meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kanakalan peserta.

Sebagai seorang yang lebih tua, saya turut membuka mulut berkongsi pandangan, “Apabila kita melihat mereka, lihatlah mereka sebagai sebahagian daripada kita. Begitulah konsep dakwah yang diajarkan oleh baginda Nabi saw. Di dalam dakwah apabila kita melihat sesuatu, kita tidak boleh mengatakan, ‘Itu bukan kerja saya. Itu kerja ustaz dan ustazah’. Begitulah juga dengan peserta-peserta kem ini. Anggaplah mereka adik-adik dan anak-anak kita, jadikan mereka sebahagian daripada kita. Inshaallah saya yakin, mereka akan boleh menerima setiap teguran kita. Mari kita ikut cara Nabi Muhammad saw, baginda merupakan manusia yang paling banyak menghadapi masalah. Tetapi baginda tidak pernah sebut ‘masalah’. Kerana sebutan masalah itu merupakan satu doa, apabila berulangkali disebut, memang akan membuatkan kita bermasalah”

Kekuatan dan nasihat itu saya peroleh ketika berpeluang mengikuti kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot anjuran Tim Hadith Psikologi di hotel De Palma, Ampang pada 17 Disember yang lalu.

Tengahari itu juga, saya dipanggil oleh ketua pegawai program Gen_Q 11. Beliau memberikan amanah untuk saya menjadi penceramah pada keesokan hari. Tajuk yang diberikan adalah ‘Kelebihan Berzikir’. Saya menerima taklifan tersebut dengan hati yang cukup tenang, alhamdulillah. Dalam kepala, saya sudah merancang mahu menggunakan teknik Nabi Muhammad saw dalam mendorong pelajar corot. Corot yang dimaksudkan di sini, bukanlah corot dari segi akademiknya sahaja, tetapi juga akhlak dan peribadi seseorang. Wajah Fadzil terbayang. ‘Wahai Tuhan yang sangat penyayang, permudahkanlah.’

Sebelum semua peserta dibenarkan pulang petang hari itu, berlaku satu kemalangan yang agak mencemaskan. Seorang pelajar lelaki kakinya terseliuh kerana dihempap besi penghadang solat di ruangan wanita. Setelah diselidiki, ternyata pelajar yang bernama Fadzil tersebut turut terlibat dalam peristiwa ini.

Keesokan harinya ketika saya berdiri di hadapan barisan fasilitator dan hampir 100 orang peserta kem yang berumur 5-16 tahun, Fadzil masih nampak tidak mahu duduk diam. Saya melihat dia mengganggu kawannya dengan mengusik telinga dan beberapa bahagian anggota yang lain. Ketika melihat dia mahu berdiri, (mungkin mahu berlari) saya memanggil Fadzil.

“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.” Fadzil tersenyum-senyum mendengar pujian saya.

Saya menambah lagi, “Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu (Mawwaddah; kakak Fadzil merupakan peserta di bawah jagaan saya), kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat dengan menghafal al-Quran.” Fadzil terus tersenyum sambil mengangguk-angguk. Dia akhirnya duduk kembali di dalam saf sehingga saya selesai memberi ceramah dalam keadaan yang sangat baik. Peserta lain juga memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang saya sampaikan.

Petang itu ketika menanti imam masjid UTM mengimami solat Asar, masih ada beberapa orang peserta bermain dan bergurau. Saya mencari kelibat Fadzil, dia saya perhatikan memegang kertas hafalan zikir sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi. Allahu akbar, hampir menitis airmata saya. Dalam hati saya berdoa, ‘Wahai Allah, berkatilah anak-anak ini. Jadikan dia hamba-Mu yang paling baik.’

Sekali lagi saya tidak mampu menahan airmata ketika para peserta kem mahu pulang. 

Sebagaimana kebiasaannya, peserta lelaki akan menyalami fasilitator lelaki atau ustaz-ustaz mereka. Begitulah sebaliknya, peserta perempuan akan menyalami fasilitator perempuan atau ustazah-ustazah mereka. Sebaik semua peserta perempuan selesai menyalami saya, Fadzil datang memanggil nama saya. Saya menoleh, beliau menghulur tangan mahu menyalami saya. 

Memandangkan beliau baru berumur 9 tahun, saya rasa tiada salahnya saya menyantuni dia secara baik. Saya menyambut salam yang dihulur Fadzil. Tangan saya dicium Fadzil sambil berkata’ “Ustazah, terima kasih.” 

Keesokan harinya, ketika berada di dalam kelas hafazan, saya bertanyakan kakak Fadzil, bagaimana situasi Fadzil di rumah selepas dipuji semalam. Menurut Mawaddah, Fadzil merasa suka sekali apabila saya memujinya dengan berkata kepada keluarganya; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang budak baik.”


 Inilah Fadzil dan kakaknya Profesor Mawaddah

Kisah di atas hanyalah merupakan satu contoh kejayaan daripada penggunaan teknik Nabi Muhammad saw yang diajarkan di dalam kursus tempohari. Saya  telah menggunakan beberapa modul lembaran aktiviti untuk mendorong pelajar corot. 

Antara modul lembaran aktiviti yang telah saya praktikkan adalah hadith lembaran aktiviti  3 (Bila Pujian Patut Diucapkan), hadith lembaran aktiviti 5 (Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan), dan lembaran aktiviti 8 (Menaikkan Self-Esteem dengan memberi gelaran kepada pelajar mengikut kesukaan mereka). Kesemua modul atau teknik yang saya cuba membuahkan hasil yang luar biasa. Puji dan syukur hanya untuk Allah. Modul lembaran aktiviti 3 ini paling membekas di hati saya.

Dalam analisis hadith lembaran aktiviti 3, Nabi Muhammad saw memuji seorang sahabat yang melakukan perkara yang tidak disuruh. Boleh baca di sini.

Dalam kisah ini, terdapat beberapa prinsip yang harus kita faham.
Prinsip 1: Pujian/ penghargaan harus segera didahulukan daripada memberi ceramah
Saya segera memuji Fadzil sebelum menyelesaikan ceramah (ketika ceramah masih berlangsung).

Kebaikan memberi pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat adalah kerana:
-Supaya kita tidak lupa tingkah laku positif tersebut
-Supaya tingkah laku positif tersebut diulang-ulang
-Supaya orang yang mendengar tidak lupa
-Supaya dapat meninggikan maruah @ self esteem pelaku (kredit Puan Khairulaniza Khairuddin)

Prinsip 2: Apabila teknik dilakukan ditempat terbuka, kita harus puji secara terbuka
Dalam kisah ini, Fadzil berlari di dalam masjid, di hadapan peserta-peserta program dan fasilitator. Jadi, saya juga memujinya secara terbuka di hadapan para peserta program dan fasilitator.

Prinsip 3:  Pujian diberikan kepada perbuatannya, bukan dirinya
Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 4: Memuji satu orang, menyebabkan orang lain merasa termotivasi
Saya perhatikan Fadzil memegang kertas hafalan zikir, sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi.

Prinsip 5: Puji orang kecil di hadapan orang besar bagi menaikkan maruahnya
Saya memuji Fadzil di hadapan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazahnya (orang besar)

Prinsip 6: Daya usaha sendiri, diberi dorongan / apabila kita lihat dia membuat sesuatu yang baik tanpa disuruh, kita harus memujinya dengan kata-kata, “ Saya kagum dengan kerja kamu.”
Dalam kisah ini, saya memuji dengan kata-kata, “Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 7: Puji perbuatan pelaku dengan menyebut impaknya (action+impak)
“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.”
“Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu, kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat dengan menghafal al-Quran.”

Dengan menggunakan teknik Nabi Muhammad saw ini, saya telah berjaya mendorong Fadzil  tanpa disuruh menjadi lebih baik. Hasilnya adalah,
-Sementara menantikan imam mengimami solat Asar, Fadzil duduk menghafal zikir
-Fadzil datang sendiri menyalam dan mencium tangan saya sambil mengucapkan ‘terima kasih’
-Di rumah, Fadzil berkata; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik.”

Inilah sedikit pengalaman saya daripada menggunakan teknik Nabi Muhammad saw mendorong pelajar corot. Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd dan Tim Hadith Psikologi yang telah berusaha keras memperkenalkan pengajaran terbaik ini. Allah berkati kalian dengan pahala yang tidak kunjung putus. Terima kasih kepada suami yang mendesak saya hadiri kursus ini. Sesungguhnya benar setiap perlakuan, perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad saw mempunyai hikmah, pelajaran dan kebaikan yang tidak sedikit. Wallahu a’lam.

0 comments: