Sudah lama ingin menulis, namun sering sahaja halangan tiba. Situasi kesihatan yang baharu pulih daripada kemalangan kerap kali tidak mengizinkan diri berlama-lama menghadap komputer. Sementara keripuhan mengurus pelbagai urusan penting sebelum pulang ke Malaysia juga sering membantutkan niat untuk mengemaskini entry di blog ini. Syukurlah, hari ini kesempatan ada sekalipun terpaksa mencuri-curi masa.
“Saya ada minat mahu menulis, tetapi saya tidak tahu mahu memulakan daripada mana.”
“Akak, macam mana ya kalau kita nak menulis, tetapi kita tak tahu diri kita ini berbakat ataupun tidak.”
“Ustazah, kalau ana nak jadi penulis macam ustazah, bagaimana caranya? Boleh ustazah terang atau ajarkan?”
“Ana nak tanya; macam mana kalau kita dah pernah menulis, tapi apabila sudah lama tinggal nak mula balik jadi susah?”
Dialog di atas sudah lali di telinga saya apabila satu-satu topik mengenai penulisan dibicarakan. Malah, ketika berlangsungnya program Kem Latihan Penulis PMRAM pada 23 Oktober 2010 yang lalu, soalan-soalan seputar dialog di atas masih tetap diutarakan baik secara terang-terangan atau persendirian kepada saya.
Jujurnya, untuk menjawab persoalan mengenai perkara ini tidaklah mudah. Ia nampak persis soalan lazim (kebiasaan), namun menjawabnya bagi saya harus melihat kepada si penanya. Analogi saya begini; jawapan untuk banyak persoalan yang tujuan atau pokoknya serupa. Intinya tetap sama iaitu bagaimana saya mahu menulis?
Pertama: Sekiranya anda seorang yang tidak pernah menulis, tidak pernah mengikuti apa jua bentuk pendedahan mengenai penulisan baik kreatif mahupun none kreatif, saya mencadangkan anda memulakan langkah pertama dengan menulis (apa jua jenis genre yang diminati) tanpa mengetahui apa itu teknik sebuah penulisan. Tidak kiralah penulisan tersebut cerpen, puisi, novel, artikel, laporan dan sebagainya. Inilah yang saya amalkan ketika awal-awal menjinakkan diri dalam dunia penulisan suatu masa dahulu.

Sesudah anda menulis, jangan pula anda cepat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan. Rujuklah pada mereka yang luas pengalaman untuk menilai tahap dan kemampuan anda terhadap satu-satu penulisan. Ketika ini, saya amat menggalakkan anda mengikuti seminar atau bengkel penulisan. Setelah anda mendengar serta mendapat input tentang satu-satu teknik penulisan, aplikasikanlah dalam karya anda tadi. Bedah atau ringkasnya, potonglah mana-mana yang tidak berkenaan dalam karya yang telah anda hasilkan tadi dan tampunglah karya tersebut dengan bahan, maklumat, atau mungkin komponen yang masih kurang. Mudah bukan, anda sendiri pasti mampu melakukannya tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
Namun alangkah baik, sekiranya ada penulis berpengalaman yang membantu anda dalam gerak kerja tersebut. Jangan malu menghubungi mereka via emel atau apa jua perantaraan. Kebiasaannya, seorang penulis yang telah mempunyai pengalaman menulis dan karyanya sudah pernah tersiar di media, fikiran dan cara mereka menulis sudah boleh dikira matang. Dengan mudah apabila mereka membaca karya anda, mereka akan dapat melihat kejanggalan yang tidak sepatutnya ada dalam sesebuah karya. Jangan mudah berkecil hati atau kecewa apabila karya anda dikritik. Tidak kiralah kritikan tersebut dilihat negatif mahupun sebaliknya. Ajarlah diri untuk menerima dan membiasakan diri dengan kritikan. Kritikan memang pada awalnya kelihatan amat menyakitkan, namun lama-kelamaan ia akan menjadi ubat yang menyembuhkan, akan banyak membantu perkembangan sesuatu karya.

Selain itu, anda harus tetap membaca, membaca dan terus membaca! Ini kerana hanya orang yang memiliki sesuatu dapat memberi, dan orang yang tidak memiliki apa-apa mana mungkin dapat menyumbang, memberi, apa lagi membantu. Hanya dengan membaca jugalah usaha karya yang berterusan dapat dilakukan. Dan, kerana membaca jugalah satu-satu karya akan mampu bertahan serta membetulkan kepincangan yang sedia ada dalam perjuangan mengislah masyarakat melalui mata pena.
Suka saya ingatkan, sekiranya anda sudah berhasil menghasilkan satu karya yang baik atau karya anda diterbitkan, janganlah cepat berpuas hati. Cepat berpuas hati dengan apa yang ada merupakan suatu yang sangat bahaya. Ia akan membuatkan anda angkuh dan menumpulkan kemajuan anda dalam satu-satu genre penulisan. Ini kerana, tidak semua karya yang diterbitkan adalah karya terbaik. Kadangkala, ia diterbitkan kerana ketiadaan karya (yang lebih baik daripada karya anda ketika itu). Kadangkala juga, satu-satu karya itu terbit juga kerana beberapa tujuan. Seperti karya kreatif yang banyak diterbitkan di Mesir ini.
Saya tidak mahu mengulas panjang akan isu ini. Cukuplah kalau saya katakan, saya amat tidak berpuas hati dengan majoriti karya kreatif yang diterbitkan di Mesir. Terdapat banyak kesalahan dan kesilapan baik daripada sudut penulisan itu sendiri mahupun terdapat perlanggaran etika-etika penerbitan yang harus dipelajari dan dibaiki.
Kadangkala, suatu genre yang tidak layak diiktiraf sebagai puisi, cerpen mahupun novel diterbitkan dengan mudah di sini. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak mahu berburuk sangka. Suka saya nyatakan sekali lagi, teruslah menimba ilmu dan pengalaman baik dalam bidang penulisan mahupun penerbitan agar kita tidak digelar buta Bahasa Melayu sekalipun diri berketurunan Melayu. Memadailah sekadar ini respon saya terhadap isu ini.

Benar menulis itu satu fardhu kifayah. Tetapi saya kira, kita tetap berdosa apabila mempersiakan ruang dan peluang yang ada dengan membiarkan bahan bacaan porno dan hendonis berleluasa tanpa satu usaha untuk membendungnya.
Mulakanlah dengan langkah yang pertama untuk membendung kebobrokan yang sedang menular. Harus diingat, untuk satu hasil yang baik tentulah memakan masa. Tidak ada manusia yang lahir daripada perut seorang wanita yang bergelar ibu terus boleh berjalan atau berlari sebaik dilahirkan. Mereka harus melalui proses demi proses untuk dapat berjalan dan berlari.
Mulakanlah dengan langkah yang pertama untuk membendung kebobrokan yang sedang menular. Harus diingat, untuk satu hasil yang baik tentulah memakan masa. Tidak ada manusia yang lahir daripada perut seorang wanita yang bergelar ibu terus boleh berjalan atau berlari sebaik dilahirkan. Mereka harus melalui proses demi proses untuk dapat berjalan dan berlari.
Begitulah juga dalam dunia penulisan. Untuk menjadi seorang penulis yang hebat, anda harus bermula daripada bawah. Harus memulakan langkah yang pertama untuk sampai kepada ribuan langkah. Harus melalui anak tangga pertama untuk tiba di tangga terakhir. Harus juga melalui detik-detik susah untuk tibanya suatu detik mudah, (tidak tahu kepada tahu, tidak pandai kepada lebih pandai). Usah biar diri menjadi mereka yang mengaku kalah sebelum ada usaha untuk berjuang. Mereka ini adalah manusia yang telah mati, sebelum sempat dikuburkan. Setakat ini dahulu untuk entry kali ini. Salam mangsi ulamak daripada saya!
1 comments:
syukran atas nasihat berguna ini.doakan penulis-penulis KELAP dpt terus istiqamah dlm usaha membilang anak-anak tangga yang panjang.
Post a Comment