BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, April 10, 2012

SELAMAT KEMBALI KE AGAMA FITRAH SAHABATKU!

Kami bertemu lewat malam hujung minggu di stesen Komuter Sungai Gadut. Melihatkan wajahnya yang kelelahan, saya senyum sambil mengalih barang dari tempat duduk menunggu ketibaan komuter. Biarpun banyak kerusi kosong yang lain, dia memilih duduk berdekatan saya.

"Dari mana? Kasihan, tentu penat." Saya menyapa ramah, senyum masih di bibir.
"Pulang dari kerja." Jawab dia setelah lelahnya hampir hilang. Saya mengangguk, senyum lagi.
"Biasa saya pulang naik bas sahaja. Tetapi hari ini, kerja lebih masa. Itu yang naik komuter. Tidak berani mahu naik bas seorang." Jawabnya. Saya mengangguk lagi.
"Uncle!" Katanya teruja (sebaik terpandangkan bapa saudara saya yang menemani saya ketika itu).
"Hai!" Bapa saudara saya menyapanya. Mereka bertanya kabar dan bertukar cerita. Rupanya mereka pernah berkhidmat di satu tempat kerja yang sama.

"Uncle mahu jemput anak seorang lagi." Kata bapa saudara saya.
"Oh, tidak mengapa. Saya boleh temani anak uncle ini." Katanya lagi.
"Namaku Gresha." Jawabnya ketika saya bertanyakan panggilan dirinya.

Kami berbual dan bercerita sementara komuter sampai. Pertemuan yang baru beberapa ketika, terasa seperti sudah kenal lama. Barangkali kerana percayakan saya, dia menceritakan latar peribadinya sambil menunjukkan foto anak kesayangannya.

"Wah, comelnya! Tentu seronok punya anak seperti ini." Jujur ayat itu terlantun dari mulut saya, sebaik melihat foto anaknya di telefon bimbit yang sedang dipegangnya.

Dia menceritakan kisah pahitnya. Dia seorang balu yang pernah berkahwin dengan seorang lelaki kaki botol. Kerana tidak tahan dengan sikap suami, mereka bercerai. Setahun usia penceraian, suaminya pergi tidak kembali lagi. Dia turut dibuang keluarga kerana mengejar cinta bersama suami di zaman remajanya.

Sewaktu komuter tiba, dia masih memilih untuk duduk bersama saya. Dia menyambung lagi kisah pahitnya. Atas rasa simpati dan sayang sesama manusia, saya memeluk dan menepuk-nepuk bahunya meredakan tangisnya yang mula kedengaran. Dia menggenggam tangan saya erat.

Kerana dia tahu saya seorang guru yang mengajar mata pelajaran agama Islam, dia berkata, "Boleh aku tanya satu soalan?"
"Tentu, silakan Gresha."
"Aku sudah lama memerhatikan agama Islam. Boleh aku tahu mengapa ramai orang yang asalnya bukan Islam boleh masuk Islam?" Saya menjelaskan jawapan pertanyaan Gresha dengan begitu berhati-hati setakat ilmu yang saya tahu. Syukur kepada Allah, jawapan saya menjawab persoalannya tadi.

Apabila komuter mengumumkan akan destinasi berikutnya (Seremban), dia berkata kepada saya lagi, "Saya sudah lama memerhati agama Islam. Ramai penganutnya tidak seperti yang saya tahu. Kamu berbeza Siti. Saya juga tidak pernah bertemu teman beragama Islam seperti kamu. Keinginan saya untuk masuk Islam semakin kuat." Setelah bertukar nombor telefon, kami berpelukan.

"Jaga diri dan hati-hati ya Gresha. Saya akan mendoakan kamu. Tuhan akan pasti melindungimu." Pesan saya kepadanya.
"Kamu juga. Saya berat hati mahu turun. Saya suka kamu. "

Dia turun di stesen Seremban. Selepas itu, kami tidak pernah bertemu lagi. Apabila rindu bertamu, saya hanya mengingat kenangan bersamanya.

Semalam, saya menerima pesanan ringkas (sms) daripada Gresha. Katanya, "Doakan saya bahagia denga kehidupan baru yang bakal saya harungi Siti. Esok, saya akan mengikuti kursus menjadi seorang muslim."
Saya lalu membalas, "Saya sayangkan kamu Gresha. Doa saya sentiasa mengiringi kamu."
"Terima kasih Siti. Saya sangat sayangkan kamu."

Allah berkati dirimu, wahai sahabatku! Selamat kembali ke agama fitrah!