BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, September 9, 2011

Devotees - Rindu Ramadhan

Sunday, August 21, 2011

HILANG JEJAK

RAMADAN BULAN BERPUASA
 
"Mengapa lama tidak up date blog?"

Saya diam. Dalam kepala terisi seliratan bayang peristiwa yang menyebabkan jejak saya hilang di teratak sendiri.

"Orang tanya, diam pula."
Saya masih diam sambil bibir memaksa senyum segera lahir di bibir.
 "Ramadan, bulan untuk kita berpuasa. Bukan sekadar puasa daripada makan dan minum sahaja, lidah juga harus berpuasa dari perkara yang tidak memberi apa-apa makna." Akhirnya jawapan itu menjadi penyelamat. Harapan saya, dia tidak bertanya lebih lagi.

Dia kerling wajah saya, saya buat tidak tahu. Walaupun serasa saya tahu apa yang bermain di hatinya.

"Tapi, kamu menyepi sebulan sebelum Ramadan tiba lagi." Ha, kan betul apa yang saya rasa. Soalan dia kali ini membuatkan saya tersipu-sipu, malu sendiri. 

"Insyaallah, tiba masanya nanti akan saya ceritakan." Memang dalam kepala terakam banyak peristiwa dan cerita yang membuatkan saya hilang jejak di teratak sendiri. Hanya masa seringkali tidak mengizinkan untuk saya berlama-lama menghadap screen laptop. Lagi pula, nanti ada yang bising =).

SUNNATULLAH  

Tidak semua takdir Allah sama untuk hamba Nya.  Kadangkala, kita sering mahukan sesuatu, tetapi belum tentu apa yang kita inginkan itu berjaya kita dapatkannya, dan belum tentu juga apa yang kita inginkan itu terbaik untuk diri kita.

Suatu hari dahulu, saya memandang suami dalam perasaan yang bergaul entah apa-apa. Ada masanya, air jernih tumpah tanpa saya zahirkan kata-kata. Sesekali saya jadi murung dan banyak menghabiskan masa sendiri. Sungguh sukar membina kembali semangat gunung berapi dalam diri setelah berkali-kali diuji dengan cubaan yang sama.

"Sabarlah, mungkin belum rezeki kita."
Saya telan genang yang berlinang. Memandang suami mengharap beliau mengerti. Entah kali yang ke berapa beliau cuba memujuk dan menenangkan.

Bukan saya menidakkan ketentuan yang tercatat, jauh sekali memarahi perencana sebaik-baik takdir setiap yang bergelar makhluk.

Sunnatullah telah menetapkan; hukum manusia apabila dilanda duka akan disinggahi gharisah sedih. Sementara airmata adalah sinonim yang cukup rapat untuk melambangkan kesedihan. Manakala, saat manusia didatangi berita suka,  gharisah gembira menghias atma. Begitulah sunnatullah yang terakam indah dalam kanvas sirah. Seorang Nabi yang menjadi penghulu sekalian nabi dan umat manusia turut menangis saat kehilangan puteranya. Inikan pula saya seorang umat baginda yang biasa-biasa.

TELADAN KISAH KAMBING

"Ketika kamu diamanahkan untuk menjaga sesuatu oleh si tuan punya, dan apabila suatu masa dia datang mahu mengambilnya kembali apakah dia harus meminta keizinan mu?"

Saya benar-benar tersentak. Sudah beberapa hari saya melayan perasaan. Banyak kalam pemugar yang datang daripada mulut insan-insan tersayang, tidak satu masuk ke tangkai hati. Hanya singgah di kepala sebentar, kemudian hilang dibawa angin entah ke mana. Namun kata-kata yang yang satu ini seakan benar-benar menyedarkan.

Kisah yang sangat simple. Tetapi mengandungi iktibar yang sangat besar bagi sesiapa yang sentiasa memikir akan hikmah kejadian aturan Tuhan.

Ia kisah tuan kambing yang mahu menyembelih dan menjual kambing-kambing peliharaannya. Tetapi beliau memohon keizinan terlebih dahulu kepada kambing-kambingnya. Satu cerita yang barangkali menurut kita tidak masuk akal sama sekali.

Memang jika diteliti daripada segi logiknya, nampak benar kebodohan tuan punya kambing tersebut. Kambing itu makhluk yang dijaga dan dipelihara olehnya, tetapi mengapa harus dia meminta izin apabila kambing-kambing itu mahu dijual dan disembelih?

"Tuan aku ini tidak siuman agaknya?" Mungkin itu yang dikatakan oleh kambing-kambing tersebut di dalam hatinya.

ADA APA DI SEBALIK KISAH KAMBING?

Ia sebenarnya sebuah kisah mengandungi pengajaran dan perumpamaan yang sangat rapat dengan diri kita dalam memahami konsep hamba kepada Tuhan. Ia juga perumpamaan yang sangat baik bagi menyedarkan mereka  yang bergelar hamba, yang mengaku beriman dengan Tuhannya.

Berbalik kepada kisah kambing tadi. Di antara kambing dan tuannya, tentulah si tuan lebih berkuasa. Memandangkan kambing-kambing tersebut adalah kepunyaannya, dia berhak membuat keputusan samada untuk mengorbankan, menyembelih atau diapakan kambing-kambing tersebut kerana dia sangat tahu apa yang terbaik untuk kambing-kambingnya.

Apakah perlu dia terlebih dahulu meminta keizinan kambing-kambing peliharaannya setiap kali ingin dijual atau disembelih? Tentu tidak sama sekali.

Ketika si tuan memutuskan untuk menjual atau mengorbankan kambing-kambingnya, dia menilai dengan memilih kambing yang cukup syarat tertentu untuk memenuhi tujuannya itu.

KAMBING, MENEMUKAN KONSEP HAMBA KEPADA TUHAN

Kadangkala, kita sering terlepas pandang. Kita merasakan diri sudah berbuat baik, jadi balasannya kita harus menerima yang baik-baik juga.

Ketika seorang lelaki difitnah melakukan perkara keji, seorang isteri solehah dikhianati suami, seorang suami soleh dikufuri isteri, seorang anak soleh solehah disakiti umi abi dan kedua ibu bapa beriman dikecewakan dengan perlakuan buruk anak yang dimiliki, kita lalu menyalahkan mengapa ujian ini harus kita lalui.

Sekiranya kita fahami kisah kambing tadi, kita akan temukan titik persamaan yang membawa kita kepada konsep hamba kepada Tuhan.

Hakikatnya, kita dimiliki Allah Tuhan sekalian alam. Dia merencana dan mengendali seluruh urusan manusia. Tentu Dia lebih mengerti yang terbaik untuk hamba Nya. Seperti kisah kambing, kita layak diuji dengan cara berhikmah dan diapakan tanpa diminta keizinan.

Kita mengakui Allah adalah Tuhan yang kita imani, kita juga meyakini segala yang kita lakukan untuk Nya dan demi meraih redha Nya. Namun apabila kita sudah melakukan yang baik-baik, kita ditakdir jalani ketentuan yang tidak baik, kita mempersoalkan kerja Tuhan.

LUPA


*Kamu terlupa. Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlak baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka kamu harus menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. 


Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan memiliki.


Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kau sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.


Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu satu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa.


Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kama lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka,  hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

KAMU SENTIASA LAYAK DIUJI

Saya menyapu airmata.
"Percayalah, Allah sedang berbicara dengan kamu tentang ikhlas." Hati saya tersentuh. Benar diri sudah jauh. Jauh daripada mengingat diri adalah seorang hamba yang sentiasa layak diuji.

"Tuhan, ampuni hamba."

Tiga kali kami kehilangan zuriat yang dinanti, saya menyalahkan diri dan terlupa yang Allah sedang berbicara serta mengajar diri menjadi hamba yang benar-benar menyerah diri kepada Ilahi.

*Hamba sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.
 Hamba sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.
 Hamba sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk Dia.


Kita sentiasa layak diuji.
Kerana kita adalah hamba.
Justeru, hancurkanlah rasa memiliki.

*Bercinta Sampai Ke Syurga.

Thursday, June 9, 2011

MENGENANG AYAH

TIDAK tahu mengapa malam ini tiba-tiba saya sangat teringatkan ayah. Saya dan adik-adik menitip doa untuk ayah dari alam yang berbeza; semoga ayah semakin bahagia di sana. Maafkan anakanda kerana masih belum mampu menjadi anakmu yang terbaik. 


Ini karya yang pernah saya hasilkan untuk mengenang arwah ayah. Sudah berkali-kali dibaca, masih juga saya mahu mengulangnya. Pernah tersiar di Berita Minggu sekitar tahun 2007 juga turut termuat dalam Antologi Dalam Sepuluh Yang Ku Gelar Cinta tahun 2008. Kali ini, saya memilih untuk meletakkan ia di sini sebagai entry. Semoga ada manfaatnya untuk semua pembaca. Selamat membaca!



CERPEN
HATI SEORANG ABAH
OLEH SAMMAITUHA NAJWA
SATU

DIA pernah marahkan abah. Kalau bukan kerana abah, pasti dia tidak akan tercampak di situ. Bergelumang dengan debu pepasir, terkejar ke sana ke mari hingga lelah mengurus diri. Memang abah punca keberadaan dia di situ. Keputusan abah ibarat batu besar menghempap diri. Dia diserang amarah tidak terluah apabila  abah menyuara keputusan.

            “Adik harus patuh kata abah. Kalau kata abah adik sanggah, abah terpaksa jadikan ia satu perintah.”

            Mengapa abah begitu berkeras? Sedang pintanya tidaklah seruwet mana untuk ditunaikan. Dia hanya mahu menyusul jejak abang-abang dan kakak-kakaknya memilih haluan hidup atas tangan sendiri. Itu sahaja, takkan itu pun abah tidak mengizinkan. Bukan tiada yang sudi membela dirinya, tetapi sikap abah yang membatu diri, memekak telinga dan menuli gegendang menghalang ibu dan adik-beradik mempertahankan pilihannya.

            “Manusia dikurniakan dua telinga dan satu lidah supaya dia mendengar dua kali dan berbicara satu kali.” Dia mencenung wajah tenang abah, cuba memahami maksud kata-kata abah.

DUA
“Luqman, kamu harus cepat. Kita tidak akan dapat mengikuti kelas jika tidak segera.” Lambat baru dia menoleh Elyath yang memeluk erat bahunya. Gontai menghayun langkah, keluh terpacul dari bibir. Mengingat dia dihalau pensyarah kelmarin akibat terlewat tiba di dewan kuliah hatinya bertambah sakit pada abah.  Dia belum mampu menyesuaikan diri di bumi itu biarpun sudah hampir sebulan dia menyandang gelar siswa Al-Azhar cawangan Kaherah.

            Dia sudah letai berurusan dengan masyarakat tempatan di situ apalagi segala urusan pengajian harus diberesi sendiri. Minggu sudah dia berurusan di Madinatil Bu’uth untuk urusan menyambung visa pelajar. Seawal jam enam setengah dia menapak ke perhentian bas. Sudahlah keletaian menunggu bas yang tidak mempunyai waktu perjalanan tetap, perut bas pula sendat melebihi tin sardin hingga dia terpaksa berhimpit rapat dengan penumpang lain yang punya perangai entah apa-apa – terjerit-jerit apabila berkomunikasi antara satu sama lain. Bas juga tidak berhawa dingin, ditambah jalanraya yang senantiasa sesak, hangar-bingar dengan bunyi hon – masing-masing keras kepala mahu tiba dahulu tanpa mahu patuhi peraturan lalu lintas. Selamat tiba ke destinasi telefon bimbitnya pula kecopetan.

            Hampir setiap hari dia menghubungi ibu mengadu kesulitan yang dihadapi, tidak putus juga dia memohon bantuan ibu agar memujuk abah membatalkan keputusannya. Namun setiap kali itulah abah menitip pesan, “Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata. Kalau adik tidak rasai kesulitan hari ini, adik tidak akan rasai kemanisan kemudian hari.”

            Ah! Abah hanya tahu berfalsafah, bukannya mahu memahami masalah. Semenjak itu dia tidak lagi mahu berbicara dengan abah apabila menghubungi keluarga. Terasa marahnya pada abah kian membara.

TIGA          

Ramadhan yang bertandang menyingkap hikmah keputusan abah. Dia mula sedar bahawa abah tidak pernah silap dalam menentukan masa hadapannya. Orang tua biasanya menilai sesuatu berdasarkan mata dan imannya, sedang orang muda hanya menilai melalui matanya sahaja. Bukankah orang tua sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka?

            Ternyata Ramadhan di situ lebih meriah daripada Aidilfitri di bumi Malaysia. Dari celah fanus yang bergantungan pada setiap penjuru rumah dan bangunan-bangunan bagai terasa cahaya pembentukan syakhsiah yang mulia. Meski pernah diajar abah suatu ketika dahulu, dia kini kembali melazimi amalan menjaga solat lima waktu berjamaah, bertadarus al-Quran, berzikir – memperbanyak selawat ke atas Nabi saw, solat tarawih, berqiamullai dan muhasabah diri. Saat itu, jiwanya hidup atas kebesaran Tuhan yang selama ini dibutakan.

Pada kemerduan alunan mashaf yang dibacakan dalam sembahyang membuatkan jiwa rohaninya betul-betul mempunyai keterikatan pada Allah swt. Marahnya pada abah lebur dalam satu juz alunan Al-Baqharah. Meski kaki terasa penat, nafas terasa lelah berhimpitan, dia tegak berdiri, sedikit pun tidak berganjak meninggalkan saf. Dia jadi cermat memandu emosi agar tidak keluar dari saf akal yang dibumbu nafsu.

Pada maidah ar-rahman yang dijamah dalam lembut kunyahan kunafah dan qutaiyaf juga pada kelazatan firakh yang dicicah tahinah dia temui keteguhan ukhwah, sifat meringankan beban yang susah dalam huluran sedekah. Luhur akhlak perilaku mahmudah yang harus dimiliki setiap insan.

Betapa besar limpahan nikmat dan kasih sayang Tuhan yang terkandung dalam hidup yang diberkati. Dan dia cukup tahu, ia tidak datang begitu sahaja. Perlu ada usaha dan kesungguhan mendapatkannya. Melalui hari-hari Ramadhan, berembesan manik jernih dia mensyukuri hidup di lantai Kaherah.

            Benar abah tidak salah, dia yang silap memahami. Pada debu pepasir yang menjerba dia menilai ketulusan keputusan abah, menyalin ketabahan tentera Islam yang menjulang panji kemenangan dalam peperangan Badar 17 Ramadhan 2 Hijrah. Jumlah seteru yang jauh lebih besar bukan bermakna mereka akan tewas, sedang senjata manusia beriman adalah doa pengharapan kepada Tuhan Yang Esa. Begitu dia mencantum persamaan; kerumitan yang wujud bukan penyebab dia berputus asa. Dia mahu lahir sebagai pejuang di bumi kelahiran Musa as.

EMPAT

            Dia tercegat di kaunter bagasi. Menanti ketibaan barang-barang yang dikargo sebelum berlepas kelmarin sambil rongga trakea menyedut dalam-dalam oksigen tenang lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur. Aromanya yang jauh berbeza dengan geger kota Kaherah mengundang ketenteraman jiwa.

            Kedengaran pengumuman ketibaan bagasi. Kelibat barang-barang yang berpusing memakai tanda CAI – KUL jelas di hadapan. Kira-kira 15 minit dia akan menaiki train ke balai ketibaan cukup untuk dia melangsai zikir dan doa penghujung Syaaban melangkaui angka puluhan. Sesekali korneanya menangkap isi kandungan telegram abah di tangan.   
            Tiba di balai ketibaan, abah sudah menanti.

            “Assalamualaikum, bakal pejuang.” Abah menghulur tangan. Dia menyambut kejap membawa ke hidung. Tubuh abah dirangkul erat bersulam rasa terima kasih yang sarat.

            “Bagaimana sekarang?”

            “Alhamdulillah, semakin baik. Berkat kedatangan Ramadhan terdahulu adik sudah boleh menyesuaikan diri. Banyak perkara yang dipelajari. Kesulitan mengajar manusia bahawa lorong seorang pejuang jalannya berliku.”  Abah tersenyum. Rangkulan terlerai, rindu berpapasan pergi.

“Baguslah. Abah dengar, durian yang ditanam masak elok di padang sahara. Bau yang enak belum tentu menjamin isi dalamnya. Manalah tahu enak hanya pada baunya, tapi isinya lompang. Bagi memastikan, abah mahu belah dan rasai manis ranumnya.” Dia mencenung abah dengan cepu kepala masih terisi tanda tanya.

            Kepulangan dia ke tanah air setelah hampir tiga tahun bermukim di bumi Musa atas permintaan abah. Apabila ditanya, jawapan abah tetap macam dahulu sarat dengan falsafah yang memerlukan kepada tafsiran kata-kata lain. Berpaling pada ibu, ibu segera menyatakan yang abah mahu rasai pengalaman Ramadhan bersamanya.

LIMA 

Petang menjelang Ramadhan di kampong, abah membawa dia menjenguk madrasah. Memperkenalkan pada Imam tua di kampong. Abah bersungguh-sungguh membantu jamaah madrasah bergotong-royong membersih madrasah yang sederhana besar kawasannya.

            “Sudah lama madrasah ini sunyi Haji, elok juga kalau kedatangan Ramadhan kali ini diserahkan pada orang muda. Saya pun sudah terlalu tua, kalau mengajar orang-orang kampong sudah jemu. Untung ada orang muda. Orang muda ni lain Haji, kudrat kuat, akal pun cerdas. Tambahan pula mengaji di Negara Arab, banyak yang tersimpan dalam kepalanya tu.” Senyum abah melebar mendengar kata-kata Imam Sidek, sedang dia berkordial di tangkai hati masih cuba memahami falsafah abah kelmarin.

            Ramadhan musim itu dia diawasi abah. Waima tidak semeriah di Kaherah, Ramadhan tetap indah bersama abah. Rutinnya banyak dihabiskan di madrasah. Sebelah pagi sesudah subuh, memberi kuliah. Menjelang tengah hari, dia disuruh abah membetulkan bacaan al-Quran penduduk kampong. Manakala apabila sore menjelang, dia akan mengepalai majlis tadarus al-Quran.  Kala malam menjelma dia mengimami sembahyang tarawih dalam qiraat Hafs satu juz satu malam. Usai tarawih abah merencana kelas agama untuk dia kendalikan bagi santapan rohani penduduk kampong.

            Masanya banyak dihabiskan bersama abah. Jika dia mengendali kelas, abah akan duduk di belakang jamaah. Terkadang, iris dan korneanya menangkap senyum di bibir abah dari kejauhan.

ENAM

“Kenapa tidak kejut abah tadi?” Abah baru selesai berwuduk menyua pertanyaan kepadanya sebelum tertib mengangkat takbiratul ihram.

 “Ingat abah tidak mahu qiamullai,” dia menjawab tenang keharuan dengan kesungguhan abah mahu merebut malam Lailatul Qadar di akhir sepuluh Ramadhan.

“Adik lupa, Nabi bersabda: Siapapun mengintainya, maka hendaklah dia mengintai pada malam ke dua puluh tujuh.”

Dia mengangguk memahami maksud abah. Meniti malam-malam terakhir Ramadhan adalah kesempatan emas bagi umat Muhammad saw untuk meraih keutamaan ibadah yang sangat istimewa dengan modal ketekunan maksima. Dan keutamaan yang istimewa itu dilipat gandakan pahala ibadah seribu bulan.

Dia menyeka kolam mata dengan kura tangan apabila mendengar patah-patah bicara abah menitip doa dan munajat yang diiringi empangan jernih yang pecah. Terasa dekatnya abah dengan Allah swt sebagaimana dia mencari diri di permulaan Ramadhan di bumi Kaherah. Cukup besar harapan dia agar doa dan munajat abah dimakbulkan dengan keberkatan sepertiga malam di hujung Ramadhan yang berlimpahan rahmat.

“Ramadhan hanya tinggal sehari. Esok atau lusa kita akan beraya. Entah bertemu lagi dengan Ramadhan atau tidak di tahun akan datang. Sayang, biarpun ramai yang mengetahui kehebatan bulan ini tetapi kesempatan Ramadhan hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tujuh hari kita berpuasa sudah banyak kempen menyambut hari raya.” Kata abah kedengaran di telinganya apabila lembar mashaf ditutup. Cerlang matanya dihalakan pada abah mohon pengertian.

“Keingkaran manusia terhadap agama hari ini adalah akibat daripada keterasingan agama dalam kehidupan alamiah, sehingga manusia tidak merasakan erti agama kecuali dalam sembahyang Jumaat, ketika azan dikumandangkan dan ketika Ramadhan.”   
“Maafkan abah kerana pernah memaksa adik akur pada kehendak abah.”

TUJUH

            “Adik, waktu berbuka hampir tiba.”   Lembut suara ibu singgah di corong telinganya. Dia mengangkat wajah lalu sinar matanya mengambus dua musim Ramadhan yang berlalu bersama abah dan pengalaman di lantai Kaherah.

            Dia duduk membetulkan posisi tafakur memperkemas layar ingatan pada seraut wajah yang telah pergi setahun yang sudah. Moga dua musim Ramadhan yang berlalu tidak sekadar mentradisikan agama. Mengakui kata-kata abah, agama bukan falsafah. Tetapi dengan merenungi falsafah akan bertambahlah iman dan agama seseorang.

            Dia mahu menghantar gugusan doa dan jambangan al-Fatihah untuk abah pada malam terakhir Ramadhan. Syawal kali ini terasa pilu tanpa kehadiran abah.



Glosari:   
1. Fanus: lampu yang dinyalakan oleh masyarakat mesir di rumah-rumah atau bangunan bagi meraikan kedatangan Ramadhan.
2. Maidah ar-rahman: juadah berbuka puasa yang disediakan oleh golongan tertentu di mesir bagi menjamu tetamu terutamanya orang asing.
3. Kunafah: hidangan istimewa sewaktu berbuka puasa masyarakat mesir berupa kepingan roti bulat besar yang berbentuk seperti roti canai.
4. Qunafah: hidangan istimewa sewaktu berbuka puasa masyarakat mesir berupa roti kecil bulat yang berbentuk roti canai.
5. Firakh  masywi: ayam panggang.
6. Tihanah: pencicah yang dimakan bersama ayam panggang.   

Berita Minggu 2007 & Antologi Dalam Sepuluh Yang Ku Gelar Cinta 2008.

Friday, May 6, 2011

MELAKAR IMPIAN DALAM KEBERSAMAAN


SUATU HARI DAHULU

“Assalamualaikum”. Suami ketuk pintu, sementara saya senyum dalam takut-takut sambil malu-malu.

“Najwa seganlah.”

“Tak payah segan-segan. Diorang semua ok. Lagipun Najwa belum jumpa Puan Ainon lagi sejak pulang daripada Mesir.”

Malam itu, saya dan suami ke rumah pengerusi PTS di Kuala Lumpur. Memandangkan suami adalah salah seorang anak didik pengerusi syarikat penerbitan PTS itu, saya turutkan juga kehendak beliau untuk ke sana. Lagi pula, keesokan hari suami dan sahabat-sahabatnya ada aktiviti dengan masyarakat Orang Asli di kediaman rasmi Puan Ainon di Janda Baik.

Saya pujuk diri, apa salahnya memanjangkan ukhwah. Bukankah ia sangat dianjurkan dalam agama.

Sebenarnya, hati keberatan bukan kerana saya seorang yang sombong. Jauh sekali meninggi diri. Jujurnya sejak kecil, saya ini sifatnya agak takut dan segan dengan siapa sahaja yang belum dikenal rapat. Tambahan pula, kalau orang itu punya kelebihan dan berjawatan, saya akan menjadi tidak pandai untuk mencipta kemesraan.

Jangankan dengan orang yang tidak dikenali, dengan saudara-mara yang ‘kerja besar’ dan jarang berjumpa sahaja malunya berdepa-depa, inikan pula seorang orang yang memiliki syarikat besar dan punya nama.

DUDUK BERSAMA MENCARI IDEA

Aktiviti biasa penulis-penulis PTS di bawah bimbingan Puan Ainon.

"Wa'alaikumussalam." Salam bersambut, kami diajak masuk. Kelihatan Cikpuan Azzah yang membukakan pintu.

Di dalam rumah, kelihatan Cikpuan Waida, Cikpuan Norhayati dan Puan Ainon. Kami bersalaman dan berpelukan. Buah tangan daripada Mesir, saya hulurkan untuk teman-teman yang baru disalami. 

Turut kelihatan Tuan Iskandar atau Dr Bubble.

Tidak lama kemudian, Puan Fatimah Rodhiah  keluar dari bilik dan menyalami saya. Seperti tadi kami turut berpelukan. 

Setelah dipelawa duduk, Puan Ainon ke dapur menggoreng pisang Kramel untuk kami. 

"Jemput makan Puan. Jangan segan-segan. Buat seperti rumah sendiri." Saya hanya senyum, masih cuba untuk menyesuaikan diri.

"Tengoklah Puan, budak-budak ini (sambil menunjuk ke arah teman-teman yang ada di dalam rumah) kalau datang sini semua sudah buat macam rumah sendiri. Makanan ini saya sediakan untuk mereka. Ada yang minta itu, minta ini, macam-macam."

Rasa takut dan segan beransur-ansur hilang. Mata terarah kepada papan putih yang ada di dalam rumah. Kelihatan nama-nama binatang sedang dibincangkan. 

Diam-diam saya bertanyakan suami, apa yang sedang mereka lakukan. Menurut suami, mereka dalam perancangan menerbitkan buku siri Fabel untuk bacaan kanak-kanak. 


Ibunda guru.

"Rusa."
"Gajah"
"Kucing."

"Lalat." Saya bersuara malu-malu. Syukur, didengar suami. Dikuatkan pula suaranya membantu saya melontar kata. Sesekali tawa berhamburan. Saya turut ketawa biar tanpa suara. 

Tidak lama kemudian, pintu rumah diketuk sekali lagi. Kali ini, kedengaran suara lelaki memberi salam. Tuan Zamri, Tuan Azree dan seorang lagi (saya kurang pasti namanya) pula muncul.  Mereka turut menyertai kami malam itu. 

"Bersih."
"Rajin."
"Amanah."

Kali ini, sifat baik haiwan yang patuh Syariah pula kedengaran. 

Saya senang dengan suasana malam itu. Dalam hati, saya memuji kesungguhan mereka bekerjasama. Saling bantu-membantu untuk kelahiran buku baru. Paling mahal, mereka jauh dari sifat iri dan sendiri-sendiri. 

Suasana baru malam itu mengajar hati pengalaman baru. Kebersamaan yang mereka tonjolkan sungguh memberi kesan kepada diri. Patutlah mereka sering tidak putus idea, ada yang membantu apabila rasa putus asa bertamu. Ada yang memotivasi apabila penulisannya menemui jalan buntu.

SERUPA TETAPI SUSAH BERSAMA
Saya masih ingat, sepanjang diri belajar menjadi penulis sejak tahun 2005 di Mesir, suasana seperti malam itu sangat jarang dijumpai. Kalau pun ada, hak esklusif diberikan kepada mereka yang tertentu sahaja. 

Aneh, kita berkongsi minat yang serupa, tetapi susah bersama. Sudah banyak kata-kata yang kurang enak sampai di telinga saya. Daripada generasi yang baru belajar menulis tentunya, mereka rasa tersisih dan terabai di satu-satu ruang bicara. Penumpuan dan kebersamaan hanya diberikan kepada mereka yang aktif dan punya nama. Sungguh tidak adil.

Sifat sebegini yang sering membuatkan tunas yang baru hendak tumbuh terbantut pertumbuhannya. Sedikit sebanyak, sifat negatif itu terpalit kepada mereka yang tidak melakukannya.

"Orang agama harus keluar daripada bidangnya Puan." 
"Harus mempunyai nilai tambah yang lain."

Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata pengerusi PTS tersebut. Saya akui, kita terbentuk dengan acuan yang satu. Kadangkala taksub dengan apa yang kita miliki, sehingga susah sekali untuk diteguri. Sayangnya, sifat degil itu tidak dirasai merugikan diri.

UNIKNYA PERTEMUAN

Ini Tuan Abdul Latip Talip; penulis novel Sejarah no 1 Malaysia.


"Pak Latip tawarkan Asiah menulis."

Tentunya saya dan suami amat terkejut. Siapa tidak kenal penulis novel Sejarah no 1 Malaysia itu? Belum pernah Tuan Abdul Latip Talip menulis berdua. Tetapi kali ini?

Lafaz hamdalah kami panjatkan. Nampaknya usaha kecil kami menampakkan hasil. Adik kecil kami yang bernama Asiah itu asalnya seorang yang meminati novel-novel cinta, tidak pernah sama sekali membaca buku-buku PTS, dan paling mendukacitakan, beliau tidak pernah menulis (sekiranya menulis pun akan menggunakan bahasa rojak).


Menemani suami ketika sesi bertemu peminat ciliknya.


Hanya saja tempoh hari kami berjaya 'melarikan' beliau ke satu seminar. Kemudian ke Akademi Penulis bertemu sahabat suami untuk sesi temujanji bersama peminat di sebuah gedung membeli-belah ibu kota. Selepas itu, ke mana sahaja kami pergi akan diekori.

Satu hari, kami ke PTS membeli buku untuk diskaun hujung minggu. Kami memborong pelbagai jenis buku. Antaranya karya-karya Tuan Baharuddin Bekri. 

Dalam kereta, sebuah buku yang bertajuk Diari Mat Despatch saya hulurkan kepadanya. 

"Cuba baca buku ini." 
Novel Tuan Baha; Diari Mat Despacth yang dibaca adik saya.

Sebaik perjalanan dimulakan, beliau mula membaca. Sesekali kedengaran tawa yang keras. Saya hanya senyum sambil berdoa dalam hati agar selepas ini beliau jatuh hati dengan buku-buku seperti itu.

Allah sangat tahu ketentuan terbaik untuk beliau.  Selepas khatam buku itu, buku-buku lain pula dipintanya untuk dibaca. Suami yang sememangnya 'hantu buku' tidak lokek memberi pinjam. Beliau mula berkenalan dengan penulis-penulis PTS. Tuan Zamri Mohammad dan Tuan Baharuddin Bekri adalah antara penulis terawal yang disapanya di laman sosial Facebook. 

Seperti kebiasaannya, majoriti penulis PTS adalah orang yang sangat tidak lokek memberi galakan dan membantu apabila beliau hadapi satu-satu persoalan. Indahnya, mereka tidak saling mengenali, tetapi kemesraan dan layanan yang ditunjukkan sangat mengusik nubari.



Tuan Abdul Latip Talip berkongsi pengalaman.


Pertemuan saya dengan Tuan Abd Latip Talip bermula di stesen Petronas. Ketika itu, adik saya hanya duduk di dalam kereta. Beliau langsung tidak menyedari yang saya dan suami tersempak Tuan Abd Latip di hadapan tandas.

Kerana rasa tidak puas hati (tidak dapat bertemu), beliau menegur Tuan Abdul Latip di laman sosial Facebook. Teguran bersambut. Beliau dilayan sebagaimana peminat karya Tuan Abdul Latip yang lain. Namun benarlah, Allah akan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka kepada hamba Nya.


Adinda saya; Asiah bersama Tuan Abdul Latip Talip di PBAKL baru-baru ini.

Hari ini, beliau bergandingan menulis sebuah buku sejarah dengan Tuan Abdul Latip. Insyaallah, bakal terbit dalam bulan Jun atau Julai tahun ini. Siapa sangka, beliau melangkah lebih laju daripada saya.


Ini pula bersama novelis popular Puan Ain Maisarah.

Malah ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 berlangsung, beliau berkenalan pula dengan seorang novelis popular Ain Maisarah. Kabarnya, beliau akan turut ditawarkan menulis dua bab dahulu sebagai tempoh percubaan menulis bersama Puan Ain Maisarah.  

MELAKAR IMPIAN DALAM KEBERSAMAAN
"Ada satu kosong, isteri Tuan tidak mahu cuba?" Suami diaju soalan mengenai penulis siri Fabel yang telah dibincangkan tempoh hari.


"Boleh juga". Jawapan suami sentiasa komited dan optimis mahu melibatkan saya dalam penulisan sepertinya.


Namun, peluang itu tanpa fikir panjang saya tolak. Suami akur. Sifatnya yang tidak mahu memaksa membuatkan saya sentiasa berasa tenang di zon selesa.


"Abang ya yang masukkan nama Najwa?"
"Bukan. Puan Ainon yang cadangkan." Serasa menyesal. Namun apa daya, peluang dan kepercayaan tersebut sudah tiada.


"Kenapa Puan tolak? Marilah menulis bersama kami." Satu hari, kami disapa salah seorang penulis siri Fabel di bengkel Puan Ainon.


Saya fikir, saya orang baru. Pasti penulisan entah apa-apa. Malu adalah sebab utama tawaran itu ditolak. Tidak sangka, ramai pula yang mengambil perhatian. Mereka sangat ingin saya menulis. Semangat kebersamaan mereka sangat mengharukan.


Pagi itu, proposal yang telah diluluskan sebuah syarikat penerbitan saya ajukan kepada Tuan Abdul Latip. Beliau membaca dan menilai kelebihan dan kekurangan yang ada.


Kekurangan ditampung dengan saranan berasas berdasar pengalaman beliau. Harapan dan sifat kebersamaan yang ditunjukkan membuatkan saya tidak mahu menyia-nyiakan peluang. Sehingga hari ini, ada sahaja jalan yang boleh membantu kemajuan penulisan saya, beliau akan segera memaklumkan.


Saya bahagia bersama golongan penulis sebegini. Semoga apabila anda membaca entry ini, anda akan turut merasa ingin melakar impian dalam kebersamaan. 

Thursday, April 21, 2011

MELIHAT HARI TUA DALAM DIRI NENDA


Ini nenda yang telah melahirkan bonda ke dunia. Dari bonda, saya pula dilahirkan.

Sudah hampir dua bulan nenda sakit. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan nenda akan pulih seperti sebelum dimasukkan ke hospital (boleh berjalan sendiri menggunakan tongkat tanpa dipapah).

Sudah hampir sebulan juga saya menjadi penjaga nenda yang setia. Saya tidak mahu peduli apa jua kata orang kerana saya lebih memilih untuk menjaga nenda (setelah mendapat keizinan suami) daripada semua perkara.

Sebelum ini, hati saya sangat tersentuh apabila melihat orang-orang tua. Ketika masih di Mesir, apabila melihat orang tua mengemis di tepi jalanraya, saya akan terbayangkan bagaimana sekiranya yang meminta itu adalah bonda mahupun nenda saya. Saya juga akan cepat berasa kasihan kepada mereka. Berapa juga wang yang ada dalam beg atau poket saya, akan saya berikan tanpa melihat terlebih dahulu.

Kini, yang terlantar dan sakit itu adalah nenda saya. Mana mungkin saya biarkan begitu sahaja. Saya sering dibayangi hari tua apabila melihat ke dalam diri nenda. Sungguh Allah telah mengajar saya dengan memberi peluang untuk berkhidmat kepada nenda.

Hari ini, tiada lain yang mahu saya kongsikan dengan anda semua melainkan satu kata-kata; "Hargai orang tua yang ada di sekeliling kita. Kita juga bakal tua. Sekiranya kita tidak bersikap belas kepada mereka, tentu di hari tua kita nanti tiada yang akan bersikap belas kepada kita."

Mohon sifat belas sahabat-sahabat berdoa untuk kesihatan nenda saya.

Monday, April 11, 2011

BELAJAR MENJADI DEWASA

SENYUM, apabila ada yang bertanya mengapa tidak sekerap dahulu mengemaskini entry terbaru di teratak ini. Malas berbicara panjang, cukup Allah dan saya sahaja yang tahu atas apa berlaku.

"Belajar menjadi dewasa?" Saya senyum lagi. Meski usia sudah hampir ke angka 30an, saya masih perlu banyak belajar.  Senyum lagi. 

"Siapa berkehendakkan dunia, dia harus punya ilmu. Begitu juga dengan mereka yang berkehendakkan akhirat, tetap dia harus punya ilmu." 


Melugu senyum tanpa menutur kata membuatkan orang sekeliling kadangkala silap mentafsir. Tetapi saya tetap tidak mahu peduli. Belajar menjadi hamba dan umat yang baik tidak akan pernah terhenti selagi manusia masih bernadi. Sekalipun merasa tersakiti, ilmu itu akan meluruskan nafsu yang membuak mahu membalas setiap kesakitan yang menghuni kalbu.

Jujur, saya merasa terganggu. Sangat terganggu. Hampir sahaja berputus mahu berhenti menulis di teratak ini. Namun syukur, kesakitan itu hakikatnya mengajar diri menjadi dewasa. Ya, dewasa dalam menangani isu.


Maklum, setiap yang bernama manusia punya salah kecuali Junjungan Mulia, penghulu segala Nabi. Bertitik tolak daripada itu, saya memilih untuk memikir lama akan isu ini. Berbincang dengan suami, sekalipun saya tahu ada cemburu bakal berbaur sekiranya berterus-terang.
Saya tidak punya pilihan.
"Pertemuan hatiku dan hatimu diatur Allah setelah selesai istikharah dan restu keluarga." Prasangka baik menggunung.

"Bagaimana kalau abang membenciku?" Syaitan mula mengambil peluang meruntuh optimis yang baru tumbuh.

"Doa mereka yang teraniaya cepat diterima Tuhan." 
"Setiap orang punya kisah silam. Biar apapun kisah itu, kita telah berusaha untuk menjadi lebih baik pada hari ini."  

Serba-salah. Dengan perlahan, kisah itu terungkai. Tentunya menyakitkan apabila ada air jernih jatuh satu-persatu.

"Hiduplah seperti biasa, usah pedulikan dia. Berhenti berhubungan dengannya."

Seharusnya kamu mengerti, saya dan kamu sudah saling tidak mengenali. Benar, kehadiran kamu kembali membuat saya belajar erti dewasa. Namun tetap harus kamu ingat, apabila kehadiranmu tidak direstui suami saya, kamu berdosa kerana terus mengekori saya.

Saya tidak mahu menunding jari. Belajarlah menjadi dewasa, kalau benar kamu berniat baik. Kisah itu biarlah menjadi rahsia kamu, saya dan Allah. Tolong jangan membuatkan kehidupan saya merasa terganggu. Saya yakin dan percaya, kisah yang dahulu ada seribu satu hikmah yang masih kita tidak tahu. Cukup saya katakan sekali lagi, antara satu hikmahnya; kita harus belajar menjadi dewasa. Bertindak bukan mengikut telunjuk nafsu, tetapi berlandaskan ilmu.  


Maaf sekiranya kamu rasa ada sakit di kalbu. Itulah konklusinya, saya tidak mahu memberi apapun respon terhadap kamu kerana saya mahu ilmu itu menahan nafsu amarah saya terhadap kamu. Semoga kamu akan lebih dewasa dan mengerti. Semoga Allah meluaskan rahmat Nya terhadap kamu dan kami. Terima kasih kerana telah membuatkan saya belajar menjadi dewasa.

Sunday, April 10, 2011

HARAP MAAF

SALAM BUAT SELURUH PENGUNJUNG BLOG SAYA. BLOG INI SEDANG DIKEMAS KINI. INSYAALLAH, BAKAL AKTIF SEPERTI BIASA TIDAK BERAPA LAMA LAGI.

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos