Kami
bertemu lewat malam hujung minggu di stesen Komuter Sungai Gadut.
Melihatkan wajahnya yang kelelahan, saya senyum sambil mengalih barang
dari tempat duduk menunggu ketibaan komuter. Biarpun banyak kerusi
kosong yang lain, dia memilih duduk berdekatan saya.
"Dari mana? Kasihan, tentu penat." Saya menyapa ramah, senyum masih di bibir.
"Pulang dari kerja." Jawab dia setelah lelahnya hampir hilang. Saya mengangguk, senyum lagi.
"Biasa saya pulang naik bas sahaja. Tetapi hari ini, kerja lebih masa.
Itu yang naik komuter. Tidak berani mahu naik bas seorang." Jawabnya.
Saya mengangguk lagi.
"Uncle!" Katanya teruja (sebaik terpandangkan bapa saudara saya yang menemani saya ketika itu).
"Hai!" Bapa saudara saya menyapanya. Mereka bertanya kabar dan bertukar
cerita. Rupanya mereka pernah berkhidmat di satu tempat kerja yang
sama.
"Uncle mahu jemput anak seorang lagi." Kata bapa saudara saya.
"Oh, tidak mengapa. Saya boleh temani anak uncle ini." Katanya lagi.
"Namaku Gresha." Jawabnya ketika saya bertanyakan panggilan dirinya.
Kami berbual dan bercerita sementara komuter sampai. Pertemuan yang
baru beberapa ketika, terasa seperti sudah kenal lama. Barangkali kerana
percayakan saya, dia menceritakan latar peribadinya sambil menunjukkan
foto anak kesayangannya.
"Wah, comelnya! Tentu seronok punya
anak seperti ini." Jujur ayat itu terlantun dari mulut saya, sebaik
melihat foto anaknya di telefon bimbit yang sedang dipegangnya.
Dia menceritakan kisah pahitnya. Dia seorang balu yang pernah berkahwin
dengan seorang lelaki kaki botol. Kerana tidak tahan dengan sikap
suami, mereka bercerai. Setahun usia penceraian, suaminya pergi tidak
kembali lagi. Dia turut dibuang keluarga kerana mengejar cinta bersama
suami di zaman remajanya.
Sewaktu komuter tiba, dia masih
memilih untuk duduk bersama saya. Dia menyambung lagi kisah pahitnya.
Atas rasa simpati dan sayang sesama manusia, saya memeluk dan
menepuk-nepuk bahunya meredakan tangisnya yang mula kedengaran. Dia
menggenggam tangan saya erat.
Kerana dia tahu saya seorang guru yang mengajar mata pelajaran agama Islam, dia berkata, "Boleh aku tanya satu soalan?"
"Tentu, silakan Gresha."
"Aku sudah lama memerhatikan agama Islam. Boleh aku tahu mengapa ramai
orang yang asalnya bukan Islam boleh masuk Islam?" Saya menjelaskan
jawapan pertanyaan Gresha dengan begitu berhati-hati setakat ilmu yang
saya tahu. Syukur kepada Allah, jawapan saya menjawab persoalannya tadi.
Apabila komuter mengumumkan akan destinasi berikutnya (Seremban), dia
berkata kepada saya lagi, "Saya sudah lama memerhati agama Islam. Ramai
penganutnya tidak seperti yang saya tahu. Kamu berbeza Siti. Saya juga
tidak pernah bertemu teman beragama Islam seperti kamu. Keinginan saya
untuk masuk Islam semakin kuat." Setelah bertukar nombor telefon, kami
berpelukan.
"Jaga diri dan hati-hati ya Gresha. Saya akan mendoakan kamu. Tuhan akan pasti melindungimu." Pesan saya kepadanya.
"Kamu juga. Saya berat hati mahu turun. Saya suka kamu. "
Dia turun di stesen Seremban. Selepas itu, kami tidak pernah bertemu
lagi. Apabila rindu bertamu, saya hanya mengingat kenangan bersamanya.
Semalam, saya menerima pesanan ringkas (sms) daripada Gresha. Katanya,
"Doakan saya bahagia denga kehidupan baru yang bakal saya harungi Siti.
Esok, saya akan mengikuti kursus menjadi seorang muslim."
Saya lalu membalas, "Saya sayangkan kamu Gresha. Doa saya sentiasa mengiringi kamu."
"Terima kasih Siti. Saya sangat sayangkan kamu."
Allah berkati dirimu, wahai sahabatku! Selamat kembali ke agama fitrah!