BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, September 9, 2011

DIARI RAMADAN & AIDILFITRI 1432H

MALAM 29 RAMADAN 1432H
Hujan menimpa bumbung rumah kami dan tempiasnya mengenai telapak tangan saya. Seakan ia berbisik; “Aku menangisi pemergian Ramadan kali ini.”

“Duhai Hujan, kami turut sayu dengan berlalunya Ramadan.”

Saya duduk berdiam diri; cuba memahami bahasa alam yang bernama Hujan. Lantas buku ditangan ditutup untuk merenung lama hujan yang sedang turun dengan lebatnya. Tanpa sedar, air jernih turut mengalir di kelopak mata.

“Jika Hujan menangisi pemergian Ramadan, apatah lagi perindu-perindu akan hadirnya diri mu wahai Ramadan.”

Sebaik mungkin saya cuba memahami bahasa alam yang satu ini.

“Kadangkala, tarbiah dan petunjuk Allah tidak datang  secara terus kepada kita. Ia juga datang dalam bentuk bahasa alam dan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita.” Konklusi daripada pembacaan firman-firman Allah yang diimani saya kejapkan dalam diri.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata; “Tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami daripada azab api neraka.” Al-Imran 190-191.

Akur pada kebenaran firman ini, saya biarkan jemari bermain kekunci menaik status di ruangan fb. Tiada lain niat di hati melainkan mahu bersama berkongsi rasa yang sedang menjalar di nubari.

Mahasuci Allah, bahasa alam yang sedang cuba difahami bukan hanya saya yang merasai. Malah, beberapa orang sahabat lagi berkongsi rasa yang sama. Setelah berbalas dan berkongsi perasaan, akhirnya saya benar-benar merasai yang Sang Hujan benar-benar menangisi pemergian Ramadan.

Ramadan yang memberi erti
MENGENANG hari-hari Ramadan yang telah dilalui, saya mengucap syukur. Ramadan kali ini sangat memberi erti. Meski tidak lagi berpuasa di bumi Nabi (Mesir), kemeriahan Ramadan di sini sangat dirasai.

Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai seorang isteri.
Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai hamba Allah yang sedar diri.
Bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai insan yang dibimbingi.

ANGKA perkahwinan saya dan suami mencecah tahun kedua. Meski pernah menerima kunjungan Ramadan di tahun pertama, kelainan dan meriahya sangat beda.

Di tahun pertama, pelbagai kesibukan melanda hingga adakalanya Ramadan terabai tanpa dicakna sempurna.

Memang Ramadan menjadi amat istimewa apabila kehadirannya difahami sempurna dalam penghayatannya. Maafkan kami kerana tidak cermat menerima Ramadan setahun lalu. Terima kasih Allah kerana memberi peluang bertemu Ramadan lagi di tahun kedua ini.

Ramadan seorang isteri yang ditemani suami di sisi adalah menjadi impian seluruh wanita muslimah. Itulah juga yang saya impikan selama bergelar isteri.

“Najwa nak makan apa lagi untuk berbuka?”
“Cukuplah dengan apa yang telah ada ini abang. Inipun sudah lebih dari cukup.”

Ramadan adalah bulan untuk kita belajar dan mengambil pelajaran. Dengan Ramadan, Allah memberi kita merasai bagaimana sukarnya saudara seislam yang susah menahan kelaparan.

Berbanding mereka, kita hanya merasai kepedihan perut menahan lapar sekitar 7-8 jam. Pun begitu, masih ramai yang tidak mahu belajar dengan pelajaran yang disusun Allah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan yang lebih menjimatkan bertukar menjadi pembaziran.

Statistik kajian menunjukkan masyarakat Malaysia melakukan pembaziran sebanyak 930 tan sehari di bulan puasa. Alangkah ruginya mereka yang menyambut Ramadan tanpa penghayatan. Na’u zubillahi min zalik.

Ramadan turut mengajar umat bergembira saat tibanya waktu berbuka sebagaimana gembiranya saudara seislam kita yang susah ketika bertemu sedikit rezeki sebagai makanan.

Hikmah ini merupakan satu pelajaran Allah untuk melatih kita menjadi hamba yang mensyukuri nikmatnya. Namun, kegembiraan sewaktu berbuka bukanlah membawa erti kita harus menjamu diri dengan makanan yang berlebihan. Memadailah untuk tenaga dan kesihatan badan bagi meneruskan ketaatan kepada Tuhan.

“Bagi orang yang berpuasa itu, ada dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan sewaktu bertemu Tuhannya.” –Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai seorang isteri yang tidak menyusahkan suami. Saya juga bersyukur mempunyai seorang suami yang sering menegur ‘keborosan’ dalam mengurus rezeki sepanjang menjalani hari-hari Ramadan.

ISTIMEWANYA Ramadan bukan ditutur oleh seorang manusia biasa. Tetapi ia diungkapkan sendiri oleh penghulu sekalian umat manusia; “Telah diberikan kepada umat ku di bulan Ramadan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelum ku, iaitu; 1- Di permulaan Ramadan, Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa yang Allah melihat kepadanya, nescaya dia tidak akan diazab selama-lamanya.
2- Bau mulut orang yang berpuasa ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
3- Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
4- Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepada ya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hamba Ku. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju rumah Ku dan kemuliaan Ku.”
5- Pada malam terakhir bulan Ramadan, Allah mengampuni dosa mereka semuanya. Seorang sahabat bertanya; “Adakah kerana malam itu Lailatul Qadar?” Jawab Rasullah saw; “Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada para pekerja yang bekerja? Apabila mereka telah selesai daripada pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah mereka.” –Hadith riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Baihaqi.

“Alang, tadi orang DBKL cakap pada lelaki itu; “Hai, awal dah beli makanan berbuka.” Tengok muka pun kita dah boleh tahu puasa ke tidak.”

Saya kerling jam di tangan yang baru menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Sebolehnya pandangan saya palingkan daripada lelaki yang dimaksudkan. Ramadan, bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga menahan daripada berburuk sangka sesama manusia.

“Semoga Allah memberi hidayah kepadanya. Sudahlah, mari kita pergi. Tidak baik berburuk sangka, nanti Allah murka.”

Saya akui, suasana Ramadan sangat sukar dirasai di Malaysia sekiranya kita sendiri tidak menghidupkannya. 
Pagi itu, saya menemani adik-adik ke Kuala Lumpur untuk beberapa keperluan. Kami menaiki komuter. Saya sangat rindukan suasana bacaan al-Quran di dalam pengangkutan awam seperti di Mesir. Namun tidak dijumpai di Malaysia. Baik ketika pergi mahu pun pulang, tiada seorang yang kami temui memegang mashaf menghidupkan Ramadan dengan membaca Al-Quran.

Kami cuba berbaik sangka, ‘semoga hidayah Allah akan memenuhi jiwa kalian.’ Perlahan, mashaf hadiah suami saya keluarkan daripada beg sandang.

Terima kasih Allah kerana menyedarkan diri akan kedatangan Ramadan. Sungguh saya bersyukur diizinkan menyambut Ramadan sebagai hamba Allah yang sedar diri.

JUMAAT terakhir sebelum hari raya tiba, UIA dan Kolej Kejururawatan Murni tutup menjelang tengahari. Kami sedikit lapang. Sehari sebelumnya baru saya sedari yang persiapan hari raya belum lagi dibuat. Dengan baju raya yang entah bagaimana, kueh raya, persiapan rumah dan lain-lain persiapan belum sempat kami sempurnakan.

“Kita ke rumah Tuan Fazla dahulu, kemudian pulang ke kampong. Selepas itu sekiranya sempat, kita ke Putrajaya.” Saya memberi cadangan kepada suami yang bakal menempuh perjalanan yang agak jauh hari ini.

Semuanya gara-gara tidak sedar yang Ramadan hampir benar ke penghujung.

Sungguh ini kali pertama saya benar-benar asyik menyambut tibanya Ramadan. Hamdalah mercup di tangkai hati. Semoga kami tergolong dalam mereka yang telah berusaha menghidupkan Ramadan kali ini.

Kami selamat tiba di Kuala Johol (kampong saya) hampir jam enam petang. Memandangkan tahun ini giliran beraya di sebelah keluarga suami, balik ke kampong saya sebelum hari raya tidak termasuk dalam perancangan kami.

Setelah diberitahu yang baju raya harus diambil di sana, kelam kabut juga jadinya. Kami hampir tidak ingat akan kain baju yang telah dijahit jiran sekampong Mei yang lalu. Alhamdulillah, ada juga baju raya kami.

“Macam mana ni? Macam balut nangka saja? Abang izinkan ke Najwa pakai baju macam ini?” Sengaja saya menduga suami.

Jujur, saya sedih melihat kain-kain hadiah semasa perkahwinan kami dua tahun yang lalu menjadi baju yang tidak menepati syariat. Aidilfitri semakin karib. Saya walang jeda merenungi dua pasang baju yang sudah tidak mungkin dapat dipakai ketika hari raya yang bakal tiba.

“Anggaplah baju itu ujian. Mungkin Allah nak suruh Najwa bagi pada orang lain. Redha sudahlah. Abang tidak kisah tentang duit. Duit kita boleh cari. Kalau kita letak diri kita dalam orang susah, kita ini sudah jauh lebih baik daripada itu. Bersyukurlah dengan apa yang ada.”

Saya menangis. Kalau tadi kerana sedih kain-kain pemberian insan istimewa diperlakukan sedemikan rupa. Kini bertukar keharuan dan bersyukur dengan teguran Allah melalui suami yang menutur kata.

Benarlah Ramadan kali ini sangat memberi erti. Terima kasih ya Allah kerana dengan Ramadan syaksiah diri dapat dihalusi. Terima kasih ya Allah kerana Engkau melengkapkan kehidupanku dengan kehadiran seorang lelaki bernama suami. Terima kasih ya Allah kerana Engkau mengizinkan diri menyambut Ramadan sebagai insan yang dibimbingi.

Untuk kesekian kalinya, kami tiada berhenti mengutus doa semoga Ramadan yang telah dijalani diterima Allah dan turut diberatkan timbangan amal kebaikan menuju syurga Allah nanti. Juga semoga akan dipertemukan lagi dengan Ramadan yang akan datang. Allahumma amin…amin…amin.


AIDILFITRI 1432H
SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati masyarakat Arab ketika itu menyambut dua hari raya. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw tentang dua perayaan yang dirayakan, mereka menjawab bahawa dua hari raya tersebut diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah saw menyatakan kepada orang Arab Madinah; “Islam menggantikan dua hari raya yang lebih bermakna iaitu Aidiladha atau Hari Raya Korban dan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah”. –sumber hasil kajian kertas kerja di internet.

“Hari raya adalah hari kemenangan.”

Saya yakin, kita semua sudah kerap mendengarnya. Tetapi siapakah yang layak merayakan hari kemenangan tersebut?

Mereka yang menang adalah mereka yang keluar daripada madrasah Ramadan dengan tidak menderhakai Allah swt. Mereka adalah pemenang yang layak menerima sebuah piala Aidilfitri.

“Baju raya aku tahun ni 5 pasang.”
“Raya tahun ini kami akan beraya sakan.”
“Untuk raya sahaja bajet mencecah ribuan. Setahun sekali, bila lagi nak betul-betul beraya.”
“Hari raya pertama-hari raya ketujuh ada rancangan best di televisyen. Mesti tonton, rugi kalau tak tengok.”

Allah, berapa ramai manusia sebegini di hari raya? Mereka memahami tafsiran hari raya mengikut hawa nafsu sendiri. Hakikatnya, mereka tidak layak sama sekali merayakan Aidilfitri. Mereka biadab dengan Allah swt. Mereka meletakkan Aidilfitri lebih besar daripada Ramadan, mereka bukan pemenang tetapi mereka petualang yang dimurkai Allah. Merekalah insan keluar daripada madrasah Ramadan, tetapi tidak diredhai Allah. Na’u zu billahi in zalik.

Aidilfitri adalah hari kembali kepada fitrah. Disiplin sepanjang sebulan Ramadan harus kekal di jiwa setiap hamba yang menjalani tarbiah Ramadan. Malah, diri wajib lebih baik daripada sebelumnya. 

Sekiranya dalam Ramadan kita ahli al-Quran yang membaca al-Quran, berlalunya Ramadan kita harus berubah kepada ahli al-Quran yang bukan hanya membaca al-Quran, tetapi juga memahami isi kandungan dan bersedia melaksanakannya dalam kehidupan harian.

Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap tarbiah Ramadan.
Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap zakat fitrah yang dikeluarkan dengan tujuan meringan beban persaudaraan.
Takbir Aidilfitri yang dilaungkan adalah takbir kemenangan terhadap kejayaan menjadi ahli al-Quran. Allahu akbar! Allahu akbar, besarnya kemenangan sebuah madrasah Ramadan.

Saya tunduk muhasabah diri sewaktu dingin pagi solat Aidilfitri. Sungguh Ramadan membuatkan kehadiran Aidilfitri lebih bererti. Doa saya, semoga Ramadan dan Aidilfitri tidak sekadar tradisi, tetapi keduanya difahami teliti dalam membentuk diri menjadi hamba Allah yang lebih terpuji dan diredhai. 

"Salam Aidilfitri buat semua pengunjung teratak Saat Jemari Bermain Kekunci;
تقبل الله طاعتك
Semoga Allah menerima amalan ketaatan kamu
واتم بالعيد فرحتك
dan menyempurnakan hari rayamu dengan kegembiraan
واقر عينيك بنصر امثك
dan menyejukkan matamu dengan kemenangan umatmu."

Devotees - Rindu Ramadhan