BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 11, 2010

MANUSIA BIASA

MENANGIS. Hari ini, jiwa saya terlalu rapuh. Sehingga entry ini ditulis, saya tetap menangis. Menangis kerana saya amat sedar akan kerdilnya jiwa yang bergelar seorang manusia. Saya juga amat sedar, tidak akan berlaku sesuatu ujian melainkan akan ada rahmat Allah dan peringatan daripada Nya. Namun selaku manusia biasa, apabila keimanan diuji dan kesabaran sudah berada di penghujung, diri tetap akan menjadi manusia yang murah dengan air mata. Saya menangis bukan kerana kesal akan takdir yang tercatat, tetapi tangisan yang mengalir merupakan bukti betapa manusia yang bergelar 'hamba' itu sangat lemah dan perlukan penjagaan daripada Tuhannya.

Rasullah saw juga menangis apabila baginda diuji dengan kematian anak baginda bersama isteri baginda yang bernama Maryatul Qibtiah. Apalagi saya yang hanya manusia biasa, yang tidak punya apa-apa keistimewaan. Tangisan baginda ketika itu kerana kesedihan jiwa seorang manusia, bukan kerana menyesali takdir Yang Sangat Berkuasa. Itulah yang saya rasakan saat ini. 

"Najwa tahu, Najwa lalui macam-macam di sini sebab Allah nak kuatkan Najwa. Sebagai manusia, Najwa tetap punya perasaan sedih. Kadang-kadang, Najwa bagitahu abang bukan sebab Najwa tak tahu apa yang bakal abang cakapkan. Tapi Najwa perlukan tempat untuk luahkan. Najwa mahu ada yang mendengar."

Perbualan saya dan suami sebentar tadi cukup mengesankan. Alhamdulillah, suami sangat memahami. Hari ini, kami berkongsi tiga perkara yang amat menyedihkan. 

Pertama; "Belum rezeki kita sayang. Kalau dah empat puluh hari, mungkin dah ada roh. Kalau Allah izinkan, kita mohon janin itu beri syafaat untuk kita."

Kedua: "Ikut dasar, permohonan 'claim' tambang balik hanya boleh dibuat di Malaysia." -Pegawai N9.

"Insyaallah Allah akan berikan jalan keluar daripada rezeki yang tidak disangka-sangka. Kena yakin dan usaha setakat yang kita mampu." 

Ketiga: Keselamatan terancam apabila diri diekori dan dikejar seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Kita dapat bayangkan perasaan akak. Buat masa ini, akak jangan keluar untuk beberapa hari. Kita rasa, mungkin dia dah lama perhatikan akak" -Sahabat.

Tetap bersyukur. Meski kini berada di hujung kembara, tarbiah Allah terhadap diri masih berkesinambungan. Allah, saksikan saya telah redha akan takdir ini.

"Tengah malam macam ni teringat awak. Cekal, sabar dan sangat kuat. Mungkin taqarub kita tak sama, maka akak tak setabah dan sematang kamu. Semoga Allah pelihara ukhuwah ini. Akak bersyukur dapat kenal Najwa. Moga Najwa terus dipelihara dan dilindungi Nya." -Kak Sharliza Sha'ari.

Mudah-mudahan, saya benar-benar sebagaimana yang dinyatakan sahabat ini. Tuhan, jadikan ujian ini sebagai penambah mizan untuk kami menuju syurga Mu. Anugerahkan kami kesabaran yang sangat tinggi biarpun terpaksa melaluinya sendiri. Kami mohon agar kesedihan ini akan diganti dengan yang lebih baik daripada sebelumnya. Amin.

0 comments:

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos