BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 21, 2010

AIDIL ADHA TERAKHIR

KERIPUHAN
SAYA benar-benar keripuhan. Sudah berhari-hari cuba mencuri masa untuk update blog, namun ada sahaja aral yang tiba. Detik waktu yang berlalu di bumi Nabi Musa a.s kini terasa amat mencemburui saya. Masih banyak urusan yang harus diselesaikan sebelum kepulangan ke tanah air. Saya mohon berbanyak-banyak kemaafan kepada sesiapa sahaja yang ternanti-nanti entry terbaru di teratak saya ini. Juga saya mohon berbanyak-banyak maaf kepada sesiapa yang menegur (melalui sms, ym, fb dan lain-lain), mahukan bantuan atau sebagainya andai permintaan mahupun keinginan kalian tidak terlayan.

Tidak pernah terfikir, akan seripuh ini di hujung kembara. Benarlah satu kata-kata bijaksana; “Apabila kita didatangi waktu sibuk, baru terasa waktu lapang itu suatu anugerah yang amat berharga”. Waima demikian, insyaallah dalam ruang dan masa yang amat terbatas seboleh mungkin saya akan tetap menulis demi memenuhi niat dan azam saya terhadap blog baru ini. ‘Seripuh apapun, blog akan tetap saya update untuk tujuan manfaat pembaca-pembaca tulisan saya’.




AIDIL ADHA TERAKHIR
Memilih untuk tidak berhari raya di ARMA mahupun Rumah Negeri adalah suatu keputusan sukar yang telah saya lakukan sempena Aidil Adha kali ini. Sementelah diri berada di hujung kembara, perasaan tidak enak sering sahaja menghuni relung jiwa. Di ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiah Kaherah @ Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah), saya punya teman serumah yang baru sahaja tiba daripada Malaysia. Membiarkan sahabat itu sendiri, terkapai-kapai menambah gusar yang sedia ada. Sedang membiar adik-adik senegeri tidak dijenguk juga bukan tingkah biasa saya. Meski adik-adik bersilih ganti, dan saya semakin tidak dikenali. Mereka tetap perlu saya ziarahi. Memperkukuh ukhwah suatu yang dianjurkan dalam agama. Tidak mengambil kira usia tua mahupun muda.

Sesukar menelan liur yang pahit ketika disapa demam, akhirnya saya terpaksa memutuskan. Aidil Adha kali ini tidak di ARMA, tidak juga di Rumah Negeri. Untuk mengelakkan salah satunya berkecil hati, saya memilih Aidil Adha bersama seorang sahabat yang tinggal serumah dengan teman-teman daripada negara jiran; Thailand. Lokasi rumah sahabat yang strategik memudahkan saya untuk berulang-alik. Dalam sela waktu tertentu, saya pulang menjenguk teman serumah di ARMA, dan berziarah adik-adik di Rumah Negeri Sembilan Kaherah.


Ternyata, Aidil Adha kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Di rumah sederhana kecil sahabat saya ini, mawaddah dan sakinah merimbun di celah pohon-pohon persahabatan yang baru berputik. Kuntuman ukhwah mekar dengan semaian benih kerjasama untuk persiapan Aidil Adha keesokan harinya. Malam raya, kami bersengkang mata menyediakan juadah untuk teman-teman yang bakal berkunjung ke rumah sederhana kecil sahabat saya ini keesokan hari. Sememangnya jika di Malaysia, masyarakat negeri-negeri Pantai Timur menyambut Aidil Adha tidak kalah seperti kebanyakan negara Arab seperti di Mesir. ‘Lebih meriah, lebih bermakna’ menurut saya dari kebanyakan kata-kata orang. Pengalaman itu yang saya rasai ketika bersama seluruh teman-teman serumah sahabat saya ini.

Meski tiada seorangpun daripada kalangan teman serumah yang akan melakukan amalan sembelihan binatang korban, hikmah dan makna Aidil Adha itu sendiri telah kelihatan daripada kuntuman ukhwah yang baru mekar dalam diri setiap ahli rumah sahabat saya ini. Betapa tidak, ibadah sembelihan korban itu jika dinilai berdasarkan hablu minallah (hungan dengan Allah), ia dilakukan kerana ketaatan seorang hamba Allah untuk Tuhannya.  Sebagai tanda syukur atas nikmat Allah yang telah melebihkan rezeki kepada umat manusia.

Manakala, hikmah melakukan amalan korban dari sudut hablu minannas (hubungan sesama manusia) pula, ia dilakukan untuk memperteguh persaudaraan antara umat Islam yang kaya dan yang kurang berkemampuan. Tanpa hati yang bersih, mana mungkin golongan kaya akan menyanggupi untuk mengorbankan harta mereka demi melakukan suatu amalan penyembelihan binatang korban. Ini kerana untuk menyembelih satu-satu binatang korban memakan belanja yang tidak sedikit.  Hanya mereka yang memiliki jiwa yang tulus dan hati yang suci akan menyanggupi perkara ini. Daging korban itu pula, apabila diagihkan akan mengeratkan ikatan persaudaraan di antara umat Islam. Ia mampu merapatkan jurang di antara yang kaya dengan yang kurang berkemampuan. Itulah hikmah yang jarang diselongkar oleh masyarakat dalam melakukan sembelihan binatang korban.

Sementara sirah Aidil Adha yang amat masyhur wajib menjadi teladan luhur kepada setiap umat Islam yang mengimani Tuhannya.

Korban Nabi Ibrahim a.s bukan korban biasa. Ia merupakan korban seorang manusia. Korban seorang manusia yang amat disayangi setelah lama baginda mendamba kepada Tuhannya yang hanya dikabulkan kala lanjut usia. Nabi Ismail a.s putera kesayangan Nabi Ibrahim a.s dan saidatina Hajar yang dinantikan sekian lama. Saat putera itu bisa membantu keluarga, dia harus dikorbankan. Segalanya dilakukan kerana ketaatan juga ketakwaan kepada Tuhannya. Malah, kronologi ini telah dinukilkan di dalam lembar al-Quran;

“Wahai Tuhanku, anugerahkanlah aku seorang anak yang soleh.” As-Saffat: 100.

“Kemudian, kami beri berita gembira kepadanya dengan kelahiran anak yang sangat sabar iaitu Ismail a.s.” As-Saffat: 101.

“Ketika anak itu cukup umur, Ibrahim berkata; “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi aku telah menyembelihmu! Bagaimanakah menurut pendapatmu?” Ismail menjawab; “Wahai ayahku, lakukanlah sebagaimana yang telah diperintahkan Allah kepadamu! Dengan izin Allah engkau akan mendapati aku seorang yang sabar.” As-Saffat: 102.

“Ketika keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas keningnya untuk melaksanakan perintah Allah, kelihatan amat nyata kesabaran kedua-duanya.” As-Saffat: 103.

“Lalu kami panggil dia; “Wahai Ibrahim!” ” As-Saffat: 104.

“Sesungguhnya kamu telah mempercayai mimpi itu benar daripada Allah swt. Sesungguhnya Kami memberi balasan kepada orang-orang yang membuat kebaikan.” As-Saffat: 105.   

Menerusi Aidil Adha ini harus kita ketahui, bukan cebisan daging atau titisan darah yang Allah mahukan. Tetapi sebuah pengorbanan ketakwaan kita sebagai kayu ukur seorang yang mengaku beriman kepada Tuhan. Itulah pengorbanan harta, jiwa, serta kesatuan membantu mereka yang serba kekurangan dalam nurani dan hati yang bersih untuk kemaslahatan bersama umat Islam.

Saya menahan air mata saat khutbah Aidil Adha membicarakan tentang pengorbanan saidatina Hajar singgah di telinga. Sirah ini juga tidak harus dilupakan. Kala Nabi Ibrahim a.s akan meletakkan saidatina Hajar di bumi Mekah yang kering kontang ketika itu, beliau sempat bertanya kepada Nabi Ibrahim berkali-kali; “Tidakkah kasihan kepada Ismail a.s yang masih kecil?” Sesudah pertanyaannya tidak dijawab baginda Ibrahim a.s, beliau lalu bertanya soalan yang berbeza; “Apakah ini perintah daripada Allah?” Lalu setelah diiyakan baginda Ibrahim a.s, beliau lalu berkata; “ Lakukanlah perintah Tuhanmu.”

Tawakal yang bertabung di jiwa Hajar berasaskan iman, takwa dan keyakinan yang jitu  terhadap Tuhannya. Tawakal itu yang telah melahirkan qanaah (rasa cukup), lantas mentarbiah kalbunya mensyukuri nikmah (nikmat). Dia merelakan dirinya berpisah dengan suami tercinta demi Tuhannya. Tabungan tawakal itu juga telah menukarkan wajah kota Mekah sehingga menjadi kiblat utama umat Islam sedunia hari ini. Allahu akbar! Saat itu saya segera membingkis doa di dada agar semangat Hajar ini turut menular di jiwa lantaran berjauhan dengan suami tercinta serta kehilangan zuriat yang kami nantikan sekian lama. Moga Aidil Adha terakhir di bumi Nabi ini benar-benar melengkap kesempurnaan diri bergelar hamba.

MEMORI TERAKHIR SEMBELIHAN KORBAN 1432H
Siapa berusaha, dia pasti berjaya. Alhamdulillah, keinginan yang satu ini terpenuh dengan bantuan rafik akrab abang saya; Ustaz Muhammad melalui lensa sahabat-sahabatnya. Atas permintaan juga, saya publishkan potret-potret kenangan terakhir penyembelihan binatang korban sempena Aidil Adha terakhir di bumi Mesir di sini. Jazakumullah khairal jazak kepada yang menghulur pertolongan sehingga potret-potret ini selamat berada di dalam simpanan saya. Moga Aidil Adha kali ini benar-benar memberi impak kepada kita semua, amin. Buat akhirnya, inilah potret-potret kenangan terakhir yang sempat diabadikan sempena Aidil Adha yang lalu untuk tatapan bersama.


Antara binatang yang akan dikorbankan sempena Aidil Adha di sini;

1. Kambing biri-biri.


2.Lembu.



 3. Unta.



Detik-detik penyembelihan binatang korban sempena Aidil Adha; 

Pisau yang tajam bagi mengelakkan binatang korban disakiti dan ia juga menjadi syarat sahnya korban yang dilakukan.


 Aksi menjinakkan binatang korban.


Masih tetap berusaha menenangkan unta yang bakal dikorbankan.



Alhamdulillah, berkat usaha bersama.
  

 Dengan nama Allah yang sangat pengasih lagi sangat penyayang.



Moga darah yang mengalir bakal menjadi saksi di akhirat kelak bagi pemilik-pemilik setiap bahagian korban unta ini.  



Berbahagialah unta ini menuju Penciptanya kerana telah menjadi sembelihan korban bagi orang-orang beriman.





Juga kambing biri-biri ini.


0 comments:

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos