BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 14, 2010

MENERIMA TAKDIR DALAM RASA SYUKUR

10 Oktober 2010 saya selamat dinobatkan sebagai salah seorang graduan Al-Azhar. Alhamdulillah, perjuangan hampir tujuh tahun akhirnya membuahkan hasil. Tiada lain yang mampu saya ungkapkan saat ini melainkan puji-pujian atas takdir yang tercatat. Jiwa diselubungi nuansa sebak dan keharuan. Allah, akhirnya Engkau perkenankan hasrat arwah ayah. Sehari sebelum majlis, ingatan terhantar pada seraut wajah yang sudah tiga tahun meninggalkan kami sekeluarga.

"A.Y.A.H" Satu nama yang tidak akan mungkin kami sekeluarga lupakan. Tarbiah ayah mengajar kami adik-beradik menelan takdir dalam rasa syukur yang sarat. Tarbiah ayah juga menemukan kami bahawa Allah sentiasa dekat. Tarbiah ayahlah yang menyebabkan saya masih tetap berjuang meski sering dihempas badai  gelora yang amat hebat. 

"Allah itu sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Ayah tidak pernah impikan anak-anak ayah berjawatan besar dan hidup mewah. Cukuplah jika ilmu yang kalian timba boleh memberi manfaat pada diri sendiri dan orang lain. Ayah sudah cukup bersyukur."

"Alang pergi Mesir ya. Kat sana ada angah, tentu urusan belajar akan lebih mudah. Nanti ada rezeki boleh pergi haji sama-sama." 

"Dah cukup sekali. Lepas ini jangan balik lagi sampai habis belajar." 

Luruh air mata saya mengingati bait-bait kalimah ayah. Dia terlalu ingin melihat anak-anaknya berjaya di negeri Arab. Namun apakan daya, Allah lebih menyayangi ayah daripada kami. Ayah pergi sebelum sempat melihat saya atau angah berjaya di bumi ini. 

Hari ini, hasrat itu terpenuh tanpa ayah, suami atau tanpa keluarga meraikan kejayaan saya. Hanya sahabat terdekat sebagai pengganti ayah, suami dan keluarga. Lafaz hamdalah tetap menjalar ke seluruh urat nadi. Syukurlah, biar tanpa ayah, suami dan keluarga di sisi, Allah menggantikan sahabat-sahabat yang elok budi pekerti menemani. Kesedihan bubar saat mereka di sisi. Mereka hadiah Allah buat saya di sini. 

Biarpun suami dan keluarga tiada di sisi, saya tahu. Restu dan doa mereka tidak pernah putus. Itu lebih bererti buat saya. Rantaian doa-doa mereka adalah kekuatan yang telah menyuburkan obor perjuangan, rantaian doa mereka pelengkap tawakal sesudah benih usaha disemai, dan doa-doa mereka adalah baja yang menyuburkan sebuah bustan kejayaan saya hari ini. Tanpa doa-doa mereka, barangkali saya bukan diri saya yang hari ini. Lantaran itu, kejayaan ini bukan hasil usaha saya sendiri, tetapi ia sebuah usaha bersama. Moga kejayaan ini mampu memberi damai pada ayah yang telah pergi. Kejayaan ini buat mu ayah! Moga Allah menaungi ayah di bawah lembayung rahmat kasih sayang Nya. Terima kasih ayah kerana telah melorongkan jalan ini sebagai arah laluan hidup saya.

" Salam. Siti, Mu sihat ke? Mu dah nak konvo eh? Tujuh tahun mu duduk sana? Ya Allah, lamanya mu berjuang. Macam mana hampir tujuh tahun tu?" 

Satu mesej masuk di kotak facebook saya tempoh hari. Seorang sahabat yang pernah sama-sama menimba ilmu di Kelantan menyapa ramah. Saya terselingar. Bagaimana harus dijelaskan agar sahabat ini mengerti. Lambat-lambat jemari menekan kekunci;  "Susah nak jelaskan. Allah takdirkan saya belajar lama. Maaflah tak tahu nak terangkan macam mana. Situasi Malaysia dengan Mesir kontra. Mungkin mu kena datang sini, baru senang nak jelaskan =). Lama atau sekejap tidak lagi jadi persoalan. Yang penting, mohon doa darimu supaya ilmu yg saya timba berkat sepanjang hidup." 

Akhirnya jawapan itu terlontar menjadi balasan. Dalam hati, saya sama sekali tidak bermaksud mahu meninggi diri apa lagi berlagak sombong. Allah itu sangat mengerti, betapa saat itu saya tidak punya jawapan terhadap persoalan yang diutarakan. Tambahan pula situasi dua benua yang berbeza dalam bidang pengajian sering mengundang salah faham masyarakat terhadap golongan seperti kami.

Bagi yang menilai daripada zahir, akan tampaklah tempoh tujuh tahun tersebut lama. Namun bagi yang sudi menghalusi, akan tampak pula rahsia-rahsia Allah penuh hikmah tersembunyi. Lama itu suatu proses melahirkan saya menjadi manusia yang lebih terpuji. Lama itu suatu anugerah pengalaman daripada Ilahi yang tidak akan mampu dibeli. Lama itu suatu rahmat bagi saya mengenali diri sendiri.

Saya tidak menyesal, apa lagi malu dengan tempoh waktu yang telah ditakdirkan. Setiap manusia punya takdir yang telah tertulis, dan inilah takdir saya. Saya harus bersyukur menerimanya. Bukankah manusia yang tahu bersyukur disayang Allah dan para rasul? Sebaliknya manusia yang kufur dilaknat Allah, dibenci para rasul. Menyedari hakikat ini, saya bersyukur dan merasa beruntung. Syukur pada Mu ya Allah kerana telah memilih saya untuk menjadi insan terpilih melalui episod-episod kehidupan selama tujuh tahun di sini.

Dengan kejayaan ini, saya berdoa; "Ya Allah, jangan Engkau jadikan ilmu yang pernah kami timba sebagai fitnah kepada kami. Jadikanlah ya Allah, kejayaan ini sebagai titik permulaan bagi kami untuk terus menjadi pengemis ilmu. Bantulah kami ya Allah, mengamalkan ilmu yang kami pelajari dalam urusan kehidupan kami."

4 comments:

Hjh Zae said...

Salam Ustazah,

Tahniah dan syabas dah bergelah graduan Al-Azhar. Tujuh thn mengharungi pelbagai cabaran dalam mengejar impian memperoleh segulung ijazah, semoga apa yang diharapkan dpt menjamin masa depan yang lebih gemilang.

Ustazah nak mengajar ke?

Ustazah Siti Khadijah said...

Wa'alaikumussalam warahmatullah.

Terima kasiah atas ucapan dan doa puan.

Buat masa ini, saya masih belum berfikir soal kerjaya. Insyaallah, jika ada rezeki dan peluang saya bakal terus berjuang untuk ke peringkat selanjutnya. Mohon doa daripada puan sekeluarga.

siti fatimah bt abd.ghaffar said...

biar lama usia dipenuhi dgn tujuan menuntut ilmu.itu salah satu diantara tanda Allah swt menyayangi hambaNYA.Usia kita dipenuhi dgn melakukan perkara2 yg bermanfaat dr dipenuhi dgn benda2 yg sebaliknya.

Biarlah org lain menganggap menuntut ilmu bertahun2 lama sbg 1 pembaziran masa asalkn kita faham tujuan kita belajar dlm masa tersebut,biarkan mereka,mungkin mereka kurang faham..

ok selamat berblogging=)

Ustazah Siti Khadijah said...

Ya Mah. Alhamdulillah, amin mudah-mudahan. Terima kasih atas pemugar semangat dan kesudian menjadi salah seorang insan yang menguatkan alang untuk terus berjuang melalui jalan ini.

Terima kasih atas bantuan penghasilan blog baru ini =)

islamic Pictures, Images and Photos
islamic Pictures, Images and Photos